memahami masalah islamophobia di eropah

'Islamophobia' atau ketakutan terhadap Islam merupakan satu gejala yang telah lama wujud, namun hanya kebelakangan ini saja semakin menjadi-jadi. Penduduk kebanyakan negara ditakutkan dengan agenda-agenda anti Islam yang dengan mudah mengaitkan Islam sebagai agama keganasan, khasnya di negara-negara Eropah.

Walau pelbagai cubaan dilakukan untuk sekurang-kurangnya mendidik dan cuba membuka mata masyarakat Eropah tentang salah faham mereka terhadap Islam, ramai yang masih memilih untuk memekakkan mata dan membutakan telinga, didorong oleh rasa benci yang tidak diketahui datang dari mana.

Sebuah laporan yang telah diterbitkan oleh Political, Economic and Social Research (SETA) mendapati gerakan fobia terhadap Islam ini semakin menyusup ke dalam gerakan politik, media, politik jalanan dan bidang perniagaan di 25 negara Eropah. Tidak dibantu lagi dengan masalah yang timbul akibat pengasingan anak-anak muda Muslim Eropah yang lahir di negara-negara Eropah, namun dipinggirkan atas dasar agama.

Berikut adalah kesimpulan yang diperolehi hasil dari kajian SETA itu terhadap beberapa negara Eropah.

Finland dan Norway

finland defence league pro israel

Di Finland, komuniti Muslim di sana menghadapi tentangan selepas pelan pembinaan sebuah masjid di Helsinki diprotes kerana dianggap akan menyebarkan gerakan radikal serta menyebarkan pencemaran bunyi, pencemaran kebersihan serta sentimen kacau bilau. Sentimen anti Islam yang dikeluarkan oleh ahli politik Finland juga tidak dibanteras, selain daripada blog dan portal berita internet yang menyebarkan Islamophobic dibiarkan berleluasa.

perarakan anti islam norway

Parti sayap kanan Norway mendesak rakyat Norway untuk bangkit menentang Islam dan Muslim. Tunjuk perasaan di Oslo kerap diadakan bagi membantah hak Muslim di Norway anjuran badan-badan tertentu. Berlaku satu kes di mana seorang penunjuk perasaan secara terang-terangan menghina seorang wartawan berdarah Pakistan-Norway dengan mengatakan "aku di sini untuk menunjukkan bantahan pada orang tak guna seperti engkau orang Muslim. Pelarian jahanam."

Croatia dan Hungary

bantahan anti islam

Menurut laporan, sentimen Islamophobia semakin meningkat di Croatia selepas insiden pembunuhan seorang warga Croatia bernama Tomislav Salopek oleh pejuang DAESH di Mesir. Parti-parti politik di Croatia mula memainkan sentimen anti Islam serta mengkritik kemasukan pelarian Muslim ke negara mereka, yang mengganggu tradisi, budaya dan corak hidup masyarakat mereka.

Ahli politik Patriotic Coalition, Ladislav Ilcic menyatakan walaupun hak kanak-kanak pelarian yang lahir di Coratia sama, namun mereka tidak sama dengan kanak-kanak berketurunan Eropah. Kenyataan itu mendapat sokongan beberapa orang pemimpin lain serta media.

viktor orban

Sementara itu di Hungary yang mempunyai sejarah yang positif tentang Islam, Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban menyifatkan kemasukan pelarian ke Hungary sebagai satu ancaman pada masyarakat mereka. Orban mengatakan pengalaman Hungary yang pernah diperintah kerajaan Ottoman selama 150 tahun, membuatkan masyarakat Hungary tidak lagi mahu hidup bersama-sama dengan orang Muslim.

Perancis dan Jerman

islamophobia

Perancis yang mempunyai populasi masyarakat Muslim paling besar di Eropah mengalami kenaikan mendadak sentimen anti Muslim, tidak dibantu dengan serangan ke atas Charlie Hebdo dan Saint Denisoleh pengganas. Imam serta masjid diserbu puak anti Muslim dengan dasar kerajaan mula melakukan pengasingan agama daripada tempat awam.

Diskriminasi terhadap wanita Muslim melalui pengharaman pemakaian tudung serta persepsi negatif di tempat kerja menyulitkan lagi situasi orang Muslim di Perancis. Sehingga 2015, 63 kali serangan telah berlaku pada masjid-masjid di Perancis, dengan 7 kes cubaan membakar dan 4 kes telah dilaporkan menyebab kemusnahan teruk.

islamophobia tunjuk perasaan

Di Jerman pula, masyarakat di sana mendapat dorongan daripada gerakan Patriotic Europeans Against the Islamization of the West atau PEGIDA yang membantah sekeras-kerasnya kemasukan pendatang Muslim ke Jerman. Berjaya mengumpulkan hampir 25,000 penunjuk perasaan setiap kali perhimpunan, PEGIDA banyak mengapikan sentimen anti Islam di Jerman.

Pihak sekolah di Jerman juga diberikan kebenaran untuk memilih sama ada mahu atau tidak mengambil wanita Muslim bertudung bekerja dan memutuskan sendiri sama ada individu Muslim itu dikelaskan sebagai satu bentuk ancaman atau bukan kepada organisasi mereka.

United Kingdom

tunjuk perasaan bantah islam

Sentimen anti Islam semakin kuat kedengaran selepas kemenangan parti Konservatif pada tahun 2015. Gerakan anti Islam di UK didokong kuat oleh The Henry Jackson Society (HJS) yang kerap membawa agenda pro Israel serta menganjurkan aktiviti-aktiviti bersifat anti Islam.

Sentimen itu juga merebak pada sektor perniagaan. Statistik menunjukkan wanita Muslim yang memakai tudung sukar mendapat peluang pekerjaan atau akan dihina di tempat kerja, dengan kadar peratusan 65% tidak akan diambil kerja berbanding wanita beragama Kristian. Bagi lelaki pula, peluang untuk lelaki Muslim mendapatkan peluang pekerjaan adalah 34% berbanding lelaki beragama Kristian yang mempunyai umur dan kelayakan yang sama.

Tambahan : Video bagaimana menghentikan Islamophobia Oleh Russel Brand

Rujukan

European Islamophobia Report 2015 Google Books


tags : , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)