kenapa sudut bulatan berjumlah 360 180

Sejak di sekolah rendah lagi, kita sudah diajar dalam subjek Matematik bahawa satu bulatan penuh dikira sebagai "360 darjah". Oleh itu, separuh bulatan penuh dikira sebagai "180 darjah". Angka 360 ini diterima oleh semua pihak tanpa mengira tahap intelektual dan kepandaian manusia.

Persoalannya, daripada pada manakah asalnya nombor 360 ni? Mengapakah nombor 360 ini dipilih dan bukan nombor yang lebih mudah dan "cantik" seperti '100' atau '10'? Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi beberapa teori daripada manakah asalnya nombor yang unik ini.

1. Teori daripada segi Matematik

sejarah 360 darjah 678

Nombor 360 dianggap sebagai nombor yang paling ideal jika dibandingkan dengan 10, 100 dll lagi bagi mewakili satu bulatan penuh. Pertama, nombor 360 ini boleh dibahagi dengan setiap nombor daripada hingga 10 (kecuali nombor 7).

Secara keseluruhannya, nombor 360 ini boleh dibahagi dengan 24 nombor yang lebih kecil daripadanya iaitu 1, 2, 3, 4, 5, 6, 8, 9, 10, 12, 15, 18, 20, 24, 30, 36, 40, 45, 60, 72, 90, 120, 180 dan termasuklah nomnbor 360 itu sendiri. Kesemua 24 nombor ini juga dikenali sebagai nombor pembahagi bagi nombor 360.

Jumlah 24 ini adalah nombor pembahagi paling tinggi bagi nombor 360. Sebagai perbandingan, nombor yang lebih mudah dan "cantik" seperti 100 misalnya, hanya mempunyai 9 nombor pembahagi. Ciri yang ada pada nombor 360 ini menjadikannya nombor yang sangat komposit.

Nombor yang mempunyai komposit yang tinggi merupakan satu nombor asas yang bagus untuk melakukan kiraan-kiraan mudah. Sebagai contoh, nombor 360 boleh dibahagi kepada 2, 3 dan 4 dan hasilnya adalah nombor bulat.

Jika nombor 100 diambil sebagai satu bulatan penuh, apabila dibahagi kepada 3 maka hasilnya adalah nombor dengan titik perpuluhan yang akan menjadikan kiraan susulan menjadi semakin sukar. Gambar di atas mungkin dapat memberikan anda sedikit gambaran mengenai perkara ini.

2. Teori daripada segi sejarah

sistem nombor purba

Terdapat pendapat lain yang mengatakan bahawa asal-usul 360 darjah dianggap sebagai bulatan penuh datang dari zaman peradaban Babylon lagi. Orang-orang Babylon dan Sumer (zaman Mesopotamia) dikatakan mengggunakan sistem nombor Sexagesimal.

Sistem Sexagesimal adalah sistem angka yang mempunyai nombor asas 60. Sebagai perbandingan, sistem nombor yang digunakan pada masa kini adalah sistem perpuluhan (decimal system) yang mempunyai nombor asas 10. Oleh itu, setiap kali mencecah nombor ke 10, kita akan bermula daripada nombor sebelum itu (0 hingga 9). Sebagai contoh, 1 hingga 10, kemudian kita akan sambung dengan 11 hingga 20 dan seterusnya.

Gambar di atas menunjukkan sistem nombor yang digunakan pada zaman Babylon. Mengapa nombor 60 dipilih? Sama seperti 360, nombor 60 merupakan nombor yang tinggi komposit dan boleh dibahagi kepada 12 dan ianya merupakan nombor terbesar yang boleh dikira menggunakan jari. Bagaimana?

Setiap jari manusia terdiri daripada 3 bahagian tulang (kecuali ibu jari). Oleh itu, untuk satu bahagian tangan, terdapat 12 bahagian (4 jari x 3 tulang). Setiap kali anda mengira 1 hingga 12 pada tangan kanan, naikkan satu jari pada tangan kiri. Ini bermakna, anda boleh mengira 1 hingga 60 menggunakan kedua-dua belah tangan (12 x 5 jari).

3. Teori berdasarkan pusingan bumi

bumi kelilingi matahari

Ahli astronomi pada zaman Parsi dan Cappadocia mendapati bahawa Bumi mengambil masa 365 hari untuk melakuka satu pusingan penuh. Bagi memudahkan kiraan, nombor tersebut digenapkan menjadi 360. Penggenapan ini mengambil kirae pendahuluan matahari dengan satu darjah setiap hari sepanjang Bumi mengelilinginya.

Orang Parsi dahulu mempunyai tahun lompat setiap 6 tahun untuk "diperbetulkan" dengan pertambahan 5 hari. Selain itu, kalendar lunar mempunyai sejumlah 355 hari manakala kalendar solar mempunyai 365. Maka, disebabkan nombor 360 adalah nombor komposit tinggi dan terletak antara kedua-dua nombor ini (355 dan 365), maka ianya telah dipilih untuk menggambarkan satu kitaran penuh.

Kredit:

  1. Popular Science
  2. Medium
  3. The Guardian


Hakcipta iluminasi.com (2017)