Eratosthenes lahir pada tahun 276BC di negeri bernama Cyrene, yang kini adalah negara Libya. Semasa zaman muda, Eratosthenes dihantar ke Athens untuk belajar dan dia beruntung kerana dapat belajar dengan beberapa orang guru yang terkenal, serta mempelajari bermacam jenis bidang termasuklah seni, penulisan dan juga kemahirannya yang paling terkenal - geografi dan matematik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kemahirannya dalam ilmu pengetahuan dimanfaatkan dan diterjemahkan ke dalam bentuk penciptaan, dengan ciptaan Eratosthenes yang paling terkenal bernama Sfera Armillary, sebuah alat mekanikal yang digunakan ahli kaji bintang zaman tersebut untuk menganggar pergerakan bintang di langit.

Walaupun banyak sumbangan beliau menerusi perkongsian ilmu, sumbangannya yang terbesar adalah perkiraan yang beliau lakukan untuk mengkaji saiz sebenar bumi. Eratosthenes adalah individu pertama berjaya mengukur saiz sempadan bulatan bumi dan ini semua dilakukan 2,000 tahun dahulu.

Fenomena solstis musim panas

eratosthenes glob bumi

Berikutan kebolehannya yang tinggi dalam pelbagai bidang, Raja Ptolemy III yang memerintah ketika itu menjemput Eratosthenes untuk berpindah ke Alexandria, untuk menjadi guru kepada anaknya dan juga mengetuai perpustakaan Alexandria. Perpindahannya itu yang berlaku semasa Eratosthenes berusia 30 tahun, membuka peluang lebih besar pada beliau.

Bekerja di situ, dia mula berkawan rapat dengan seorang lagi pengkaji bernama Archimedes. Hasil perkongsian ilmu di antara kedua-dua individu itu meningkatkan lagi daya ingin tahu Eratosthenes yang seterusnya memberikan dia lebih banyak idea untuk kajian.

Dalam salah sebuah buku yang terdapat di perpustakaan beliau, Eratosthenes membaca mengenai satu fenomena yang berlaku semasa solstis musim panas, di sebuah tempat bernama Syene (yang kini bandar Aswan, Mesir) terletak di selatan Alexandria.

Terdapat sebuah telaga di Syene, setiap kali tiba musim solstis musim panas dan matahari tegak, cahaya matahari akan menerangi keseluruhan permukaan telaga tersebut. Ini bermakna kedudukan matahari ketika itu betul-betul berada tegak di Syene.

Bagaimanapun, pada waktu yang sama - Eratosthenes mendapati di Alexandria, fenomena sama tidak berlaku. Bayang masih kelihatan pada setiap objek yang diterangi. Bermula daripada perbezaan itulah Eratosthenes mendapat idea awalnya untuk mengira saiz sempadan bulatan bumi dan seterusnya cuba membuktikan bumi ini tidak rata.

Formula perkiraan Eratosthenes

eratosthenes eksperimen

Menggunakan sebatang tiang di Alexandria, Eratosthenes mengukur sudut bayang yang ada semasa berlakunya fenomena tersebut. Dia mendapati pada waktu tersebut, bayang di Alexandria mempunyai darjah 7°14’, hampir 1/50 daripada jumlah 360 darjah saiz sebuah bulatan.

Mengambil idea itu, Eratosthenes menyimpulkan sekiranya dia berjaya mengukur jarak di antara Syene ke Alexandria, lalu mendarabkan angka itu dengan 50, besar kemungkinan dia akan berjaya menganggarkan saiz bumi berdasarkan jarak kedua-dua tempat itu.

Tidak dapat dipastikan bagaimana Eratosthenes mendapatkan jarak di antara Alexandria dan Syene kerana ada banyak versi bagaimana ia berlaku. Ada yang mengatakan dia menggunakan anggaran jarak dan masa yang diperlukan unta untuk bergerak dari Alexandria ke Syene.

Ada juga pendapat mengatakan Eratosthenes mengupah seseorang untuk berjalan kaki dan mengira langkahnya. Bagaimanapun, pendapat paling realistik mengatakan Eratosthenes mengetahui jarak di antara dua bandar tersebut berdasarkan rekod yang ada dan dikemaskini setiap tahun.

Bumi tidak rata!

eratosthenes lakaran

Unit perkiraan ketika itu menggunakan sistem stadia, jadi jarak di antara Alexandria ke Syene serta sebaliknya, dianggarkan sekitar 5000 stadia. Dengan menggunakan perkiraan asalnya, Eratosthenes menganggarkan saiz sempadan bulatan bumi adalah sekitar 250,000 stadia atau 44,100km sekiranya ditukar pada unit kita sekarang.

Berapakah saiz sempadan bulatan bumi yang kita ketahui sekarang? Lebih kurang 40,075 km. Ini bermakna perkiraan Eratosthenes mempunyai ralat 10% tetapi tidak boleh dinafikan, perkiraannya itu sangat berharga dalam membuka idea dan perbincangan pengkaji dalam meneruskan kajian bidang ini.

rajah perkiraan etasthotenes

Daripada perkiraan dan kajian yang telah dilakukan ini, Eratosthenes mengeluarkan teori tentang lima perkara. Daripada bidang geografi, kedudukan Alexandria dan Syene dapat dikenalpasti dengan lebih baik. Jarak di antara kedua-dua bandar adalah 5000 stadia (283 km).

Berdasarkan sudut bayang yang terhasil, Eratosthenes menganggap cahaya matahari hadir ke permukaan bumi dalam arah yang selari. Yang terakhir, dia menganggarkan bentuk bumi adalah sebuah sfera yang sempurna bentuknya. Ada sedikit kesilapan di situ, tetapi untuk sebuah kajian yang dilakukan 2,000 tahun dahulu - rasanya kesilapan itu boleh dimaafkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)