Kami andaikan setiap orang pernah mendengar nama Pythagoras, hasil daripada pelajaran matematik kita dalam mencari panjang sisi sebuah segitiga? Pasti ramai masih ingat tentang teorem Pythagoras kan?

Kalau tak ingat, ini bukan untuk mengingatkan anda tentang teknik perkiraan tersebut. Kita mungkin mengenali nama beliau sebagai seorang tokoh matematik yang banyak memikirkan teori-teori memudahkan perkiraan, tetapi salah satu kisah tentang Pythagoras yang jarang diperkatakan tentang beliau adalah tentang ajarannya yang menyerupai sebuah agama - dinamakan sebagai Pythagorean.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dengan menggunakan formula dan perkiraan yang diambil daripada prinsip matematik, Pythagoras membangunkan sebuah cara hidup yang tegas, unik serta ada kalanya tidak masuk akal. Ini kisahnya.

Siapakah Pythagoras?

pythagoras menulis pada plak batu

Pythagoras of Samos merupakan seorang ahli falsafah Yunani/Greek yang mempunyai ilmu mendalam dalam bidang politik serta kepercayaan. Tidak banyak yang diketahui tentang latar belakang Pythagoras ekoran ketiadaan rekod, namun dia dipercayai berasal daripada kawasan kepulauan Samos.

Bagaimana dia belajar sejak kecil tidak diketahui kisahnya. Bagaimanapun, dia terkenal sebagai seorang yang mempunyai pendidikan luas, mampu bermain alat muzik dengan baik, pandai membaca sajak serta mampu menghafal kisah-kisah dalam buku-buku karya penulis termahsyur Homer, seperti Iliad dan Odyssey.

Apa yang diketahui, ada tiga orang individu yang boleh dianggap memberikan pengaruh yang sangat besar dalam hidup Pythagoras semasa dia muda iaitu Pherecydes of Syros, penulis terawal yang cuba membincangkan tentang asal-usul kejadian alam, Thales of Miletus, salah seorang ahli falsafah terhebat Yunani dan anak murid beliau, Anaximander of Ionia yang menjadi ahli falsafah terawal merekodkan kerjanya dalam bentuk penulisan.

Membentuk komuniti rahsia dan eksklusif

Berikutan kedudukannya yang berpengaruh dalam masyarakat Yunani, Pythagoras ditakdirkan mempunyai jumlah pengikut yang agak besar berikutan pembukaan sekolah falsafah serta kepercayaan kelolaan beliau. Apatah lagi selepas dia menemui teorem Pythagoras.

Berbanding dengan ahli-ahli falsafah Yunani lain yang mempunyai perangai unik dan tersendiri serta ganjil, Pythagoras dipercayai layak digelarkan sebagai yang paling ganjil antara semua yang ada. Ini kerana dia terkenal sebagai seorang yang sangat berpegang kepada nombor dan perkara itu malangnya, turut sama diikuti pengikutnya.

Sebagai ketua kepada ajaran, Pythagoras mendidik pengikutnya untuk tidak mencintai harta benda jadi mereka hidup tanpa memiliki apa-apa harta selain barangan yang mereka perlukan. Kehidupan mereka juga nyata berbeza dengan orang lain kerana setiap pengikut Pythagoras diwajibkan mengamalkan tabiat pemakanan sayuran sahaja, tidak dibenarkan memakan daging.

Asas kepercayaan mereka semuanya berkisar kepada angka dan nombor. Ini kerana Pythagoras percaya semua yang berkaitan dengan alam ini, ada berkait dengan nombor. Pythagoras mengajar pengikutnya bahawa keharmonian alam perlulah meletakkan keharmonian matematik sebagai asas, kerana kiraan yang betul membentuk realiti.

Nombor 7, 8 dan 10 memainkan peranan yang besar dalam kepercayaan mereka, dengan nombor 10 menjadi nombor suci ajaran itu, melalui simbol yang dinamakan sebagai Tetracyts, sejenis segitiga yang dipercaya melambangkan sususan alam semesta.

Ajaran-ajaran Pythagoras yang kontroversi

gambaran pythagoras mengendalikan kelas

Mengambil kesempatan atas kedudukannya, Pythagoras menamakan dirinya sebagai ketua ajaran tersebut dengan semua pengikutnya dinamakan sebagai Pythagorean. Pythagoran sendiri dianggap sebagai jelmaan dewa, mempunyai kuasa ajaib serta mampu menjinakkan haiwan hanya dengan usapan tangan.

Setiap Pythagorian perlu mengikuti garis panduan hidup yang dinamakan sebagai 'acusmata.' Di dalam acusmata, wujud bermacam pantang larang yang bunyinya tidak masuk akal, tetapi bagi pengikut Pythagoras yang sudah taksub - mereka akan menurut tanpa membantah.

Semua pengikut baru Pythagorean tidak dibenarkan bercakap selama 5 tahun, sebagai latihan untuk belajar mengawal diri. Mereka juga diwajibkan memakai kasut di kaki kanan terlebih dahulu. Selain itu, pengikut Pythagoras tidak dibenarkan berjalan di jalan-jalan utama di bandar mereka.

Beberapa peraturan ganjil lain yang dimestikan untuk mereka ikuti adalah mereka tidak boleh membuang air kecil menghadap matahari, tidak dibenarkan mengahwini wanita yang gemar memakai barang kemas, tidak boleh melintasi depan seekor keldai serta tidak boleh menyentuh atau memakan kacang hitam - kerana terlalu menyanyangi kacang.

Setiap orang pengikut akan dibahagikan kepada dua kumpulan berbeza, akousmatikoi adalah mereka yang berstatus pengikut biasa sementara mathematikoi adalah kumpulan yang paling rapat dengan Pythagoras, serta menjadi kumpulan perbincangan dengan ketua mereka dalam bidang matematik dan falsafah.

Berakhirnya pengaruh Pythagoras

pythagoras dan anak murid

Selepas sekian lama cuba mengelakkan diri daripada kancah politik, berikutan jumlah pengikut yang semakin bertambah menyebabkan hendak tak hendak Pythagoras mula dilihat sebagai salah seorang pemimpin paling disegani.

Pada tahun 510SM, kumpulan pengikut Pythagorean diserang selepas wujud desas-desus mengatakan Pythagoras memainkan peranan dalam salah satu pertelingkahan politik pemimpin setempat.

Berikutan keenganannya untuk menyatakan sokongan kepada salah satu pemimpin yang berebut jawatan, orang-orang pemimpin itu bertindak menceroboh, merompak dan membakar kediaman komuniti Pythagorean. Dianggarkan seramai 50 ke 60 orang pengikut beliau dibunuh menyebabkan Pythagoras serta pengikutnya terpaksa melarikan diri ke Thebes.

Selepas berjaya menyelamatkan diri, kumpulan Pythagorean berjaya berkumpul semula dan kembali bergiat aktif. Bagaimanapun, ada juga pendapat mengatakan semasa serangan tersebut, Pythagoras merupakan antara salah seorang mangsa yang terbunuh.

Walau apa pun nasib Pythagoras, ajarannya diteruskan oleh dua orang anak muridnya iaitu Philolaus dan Archytas, sehinggakan nama Pythagoras disebut sebagai ahli matematik yang berjaya mempengaruhi ahli-ahli matematik dan falsafah selepas zaman beliau, seperti Plato, Aristotle dan juga menjadi antara sumber awal pembangunan falsafah barat.

Legasi beliau yang masih kekal digunakan dan terus popular, sudah pastilah 'teorem pythagoras' yang dinamakan sempena namanya. Begitulah secara ringkas kisah seorang ahli matematik yang kita semua pasti pernah mendengar namanya dan cerita tentang kumpulan ajaran agama, yang bertuhankan nombor dan juga guru mereka.

Rujukan

Stetson Edu Pythagoras




Hakcipta iluminasi.com (2017)