ziggurat

Dengan binaan teres besar yang semakin mengurang apabila bangunan meningkat tinggi, Ziggurat dengan mudah dikenal pasti sebagai gunung buatan manusia. Struktur binaan Ziggurat yang terkenal ini sering dikaitkan dengan agama Mesopotamia purba. Ziggurat ini dibina oleh penduduk di Empayar Sumeria, Akkadia, Assyria, Elamite, Eblaite dan Babylon untuk agama mereka.

Pada zaman itu, setiap kota utama di Empayar Mesopotamia mempunyai Ziggurat mereka sendiri. Namun, kebanyakan daripadanya telah musnah ditelan zaman. Antara beberapa Ziggurat terkenal yang masih selamat termasuk Ziggurat Besar Ur di Iraq dan Chongha Zanbil yang terletak di Iran.

Ziggurat adalah bangunan yang didedikasikan kepada tuhan-tuhan mereka. Setiap bandar di Mesopotamia mempunyai tuhan yang utama. Sebagai contoh, Marduk adalah dewa Babylon, Enki adalah dewa Eridu dan Ishtar pula adalah dewi Nineveh. 

Di bahagian atas Ziggurat terletak sebuah kuil tempat pemujaan tuhan-tuhan ini. Para sami akan melakukan pelbagai ritual, perayaan dan juga korban di sini. Kuil ini dibina pada bahagian atas Ziggurat kerana mereka mahu kuil itu berapa sehampir mungkin dengan syurga.

Menara Babil

lakaran menara babil

Perkataan 'Ziggurat' berasal daripada bahasa Akkadia iaitu 'ziqqurratu' yang diterjemahkan dengan pelbagai cara untuk maksud 'puncak gunung', 'bangunan tinggi' atau 'pembinaan kawasan tinggi'.

Nama ini sesuai dengan Ziggurat memandangkan beberapa binaan bangunan ini sememangnya menjulang tinggi. Di dalam kitab Bible, terdapat kisah mengenai Menara Babil yang menceritakan bahawa manusia ingin mendaki syurga untuk mencari tuhan.

Menara Babil dipercayai merupakan salah satu Ziggurat yang pernah dibina semasa Empayar Babylon. Ziggurat yang dimaksudkan itu dinamakan sebagai Etemenanki yang bermaksud 'Rumah asas langit dan bumi'.

lakaran namrud

Pembinaannya telah dimulakan oleh Namrud untuk menyatukan manusia selepas peristiwa Banjir Besar. Menurut Genesis 11: 1-9 di dalam Bible, para masyarakat ketika itu bertutur dalam satu bahasa sahaja di bawah pemerintahan Namrud. Dengan kelebihan komunikasi ini, pembinaan Menara Babil telah dilakukan dan menyasarkan ianya cukup tinggi untuk mencapai syurga.

Tuhan akhirnya telah mempelbagaikan bahasa pertuturan masyarakat itu dalam hanya semalaman dan mereka tidak lagi memahami antara satu sama lain. Penemuan rekod sejarah menunjukkan Ziggurat ini mempunyai ketinggian 92 meter namun malangnya Etemenanki telah dirobohkan dan terbengkalai sejak zaman dahulu lagi.

Seni bina Ziggurat

seni bina ziggurat

Secara umumnya, teras Ziggurat dibina dengan batu-bata lumpur dengan lapisan tambahan batu-bata yang dibakar untuk perlindungan. Ini bermakna Ziggurat adalah sebuah binaan yang kukuh, tidak berongga dan berstruktur. 

Bagi masyarakat Mesopotamia purba, lumpur dianggap sebagai salah satu bahan suci. Oleh itu, mereka memilih untuk menggunakan lumpur dalam pembinaan Ziggurat.

Tapak asas Ziggurat dibina sama ada berbentuk empat segi sama atau empat segi tepat. Kemudian beberapa teres akan ditambah di atas pangkalan ini secara berperingkat.

model 3d ziggurat 826

Apabila setiap tahap ditambah, kawasan platform akan semakin mengecil dan kedua-dua sisi mencondong ke atas. Pada puncak Ziggurat ini satu kuil akan dibina dan didedikasikan kepada salah satu dewa Mesopotamia.

Pembinaan struktur monumental yang besar ini sememangnya memerlukan sejumlah besar tenaga kerja manusia dan sokongan organisasi. Oleh itu, Ziggurat sentiasa dibiayai oleh penguasa negeri-negeri penting di Era Mesopotamia.

Pembinaan yang sering gagal

nebechadnezzar ii

Nebuchadnezzar II

Semasa abad ke-3 SM, terdapat ketegangan politik telah berlaku antara pihak kuil yang diwakili oleh sami dan istana yang diwakili oleh raja-raja. Melalui pembinaan Ziggurat, raja-raja telah menunjukkan bahawa kekuasaan mereka juga diperluaskan ke ruangan agama.

Pembinaan bangunan Ziggurat oleh pemerintah sekular diteruskan pada zaman yang seterusnya. Semasa Embayar Neo-Babylon, Nebuchadnezzar II yang memerintah antara abad ke-7 dan ke-6 SM telah melakukan pembinaan semula Ziggurat Etemenanki yang tergendala.

Namun, selama beribu-ribu tahun lamanya banyak Ziggurat ketamadunan Mesopotamia telah dirobohkan. Misalnya, Ziggurat Etemenanki telah terbengkalai ketika Alexander the Great memasuki Babylon.

alexander the great

Alexander the Great

Sebelum dia meninggalkan Babylon untuk pergi ke Timur, Alexander telah mengeluarkan arahan untuk Etemenanki dibina semula. Walau bagaimanapun, apabila dia kembali semula ke Babylon dia mendapati bahawa tiada kemajuan yang dibuat.

Alexander akhirnya mengarahkan agar tapak lama Ziggurat itu dirobohkan supaya Ziggurat baru dapat dibina di atasnya. Namun, kematiannya pada tahun 323 SM menjadikan rancangannya membina Ziggurat itu juga tergendala.

Ziggurat terkenal

chongha zanbil

Chongha Zanbil

Terdapat beberapa buah Ziggurat yang masih selamat sehingga hari ini. Di wilayah Khuzestan di Iran, terdapat Ziggurat yang dinamakan sebagai Chogha Zanbil. Ia merupakan salah satu Ziggurat yang masih terpelihara dengan baik.

Struktur Ziggurat yang besar ini bukan sahaja menempatkan beberapa buah kuil, malah juga terdapat beberapa buah istana yang dibina di dalamnya.

ziggurat besar ur

Ziggurat Besar Ur

Satu lagi Ziggurat yang terkenal dan masih terpelihara ialah Ziggurat Besar Ur di Iraq. Peranan Ziggurat purba ini juga dapat dilihat pada zaman moden. Pada tahun 1985, Presiden Iraq ketika itu iaitu Saddam Hussein telah mengarahkan agar Ziggurat Besar Ur ini dibina semula.

Setiap batu-bata yang digunakan dalam pembinaan ini mempunyai cetakan nama pemerintah itu. Saddam ini dilihat sebagai salah seorang pemerintah hebat seperti Nebuchadnezzar.

Rujukan:

1. Arch Eyes

2. Thought Co

3. Crystalinks

4. Livius



Hakcipta iluminasi.com (2017)