Sekiranya kita rujuk kepada sistem kiraan masa - setiap satunya mempunyai sebabnya yang tersendiri.

1 hari bersamaan waktu putaran bumi berpusing di atas paksinya dalam satu pusingan penuh. 1 bulan pula mewakili tempoh masa di antara bulan penuh ke bulan penuh seterusnya, yang berlaku di antara 28 ke 31 hari. Satu tahun? Satu tahun datang daripada kiraan 365 hari yang diperlukan untuk bumi mengorbit matahari dalam satu pusingan lengkap.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimana pula dengan minggu? Dari mana datangnya 7 hari dalam seminggu dan apakah asal-usul konsep minggu itu sendiri? Siapa tahu?

Konsep awal orang Babylon

kiraan minggu orang babylon

Pemahaman berkenaan konsep 7 hari dalam satu minggu dimulakan oleh orang Babylon/ Mesopotamia sekitar 4,000 tahun dahulu. Ini kerana pada zaman mereka, orang Babylon sangat terkenal sebagai masyarakat yang mempunyai ramai pakar dalam bidang kajian astronomi.

Mereka sudah pun menemui cara mengira jumlah hari dalam sebulan, dengan menggunakan 28 hari untuk setiap satu pusingan bulan. Bagaimanapun, terdapat ralat yang mereka temui dalam kiraan mereka, menunjukkan perlunya penambahan hari bagi mencukupkan pusingan bulan yang mencukupi dalam kalendar mereka.

Walaupun menyedari wujudnya ralat itu, mereka memilih untuk menggunakan angka 28 sebagai jumlah hari dalam sebulan, agar mudah dibahagikan dengan 4 minggu supaya ada 7 hari dalam satu minggu. Angka 7 dipilih berdasarkan kepada 7 objek di langit telah mereka ketahui ada ketika itu - matahari, bulan, planet Marikh, Merkuri, Zuhrah, Zuhal dan Musytari.

Mengekalkan penggunaan 7 hari sempena 7 badan di langit, orang Babylon mengamalkan 3 minggu pertama mempunyai 7 hari di dalamnya sebelum minggu terakhir bulan tersebut, ditambahkan 1 atau 2 hari bagi mencukupkan jumlah hari yang perlu mengikut peredaran bulan.

Sistem mingguan masyarakat Greek purba

orang greek minggu

Idea untuk mewujudkan konsep minggu ini ditiru oleh masyarakat Yunani dan Rom, tetapi mereka mewakilkan Tuhan-Tuhan mereka kepada 7 hari yang ada, berbanding orang Babylon yang menggunakan objek-objek astronomi.

Bagi menggantikan konsep orang Babylon, setiap hari bagi orang Greek dinamakan sebagai hari matahari, hari bulan, hari Ares, hari Hermes, hari Zeus, hari Aphrodite dan hari Cronus. Sistem kalendar mereka yang menggunakan konsep ketuhanan ini digelarkan sebagai 'Theon hemerai' atau 'day of the Gods', sebagai satu bentuk penghormatan mereka kepada Tuhan-Tuhan yang mereka sembah.

Walaupun begitu, sistem Theon hemerai ini dijalankan tanpa kewujudan satu sistem yang seragam, menyebabkan tiap-tiap bandar masyarakat Greek purba mempunyai sistem kiraan sendiri serta kalendar berdasarkan kepada penduduk setempat.

Apabila berlakunya kekurangan amaun bulan yang diperlukan, bandar-bandar yang ketinggalan dalam kiraan hari akan menambah bilangan yang diperlukan. Teknik penambahan kiraan yang digelarkan sebagai 'intercalation' atau interkalasi ini akan menambahkan 3 bulan tambahan ke dalam kalendar mereka - setiap 8 tahun berdasarkan jadual solar bumi.

Orang Rom mengasaskan sistem sedia kala

kalendar orang rom purba

Semasa era Republik Rom, pemerintah Rom menukarkan sistem mingguan daripada 7 hari yang diamalkan sebelum itu kepada 8 hari, dengan menjadikan setiap hari kelapan sebagai hari berehat dan bersuka ria.

Setiap hari dinamakan dengan huruf A sehingga H, namun pertukaran daripada 7 ke 8 ini menyebabkan kiraan menjadi agak caca merba. Ini kerana sistem 8 hari seminggu menyebabkan kiraan minggu dan tahun menjadi tidak lagi sekata - mengakibatkan jumlah minggu dalam setiap tahun berubah-ubah kedudukan dan waktu tibanya.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Julius Caesar memperkenalkan reformasi kiraan kalendar pada tahun 46BC, yang kita kenali sebagai kalendar Julian. Caesar memperkenalkan beberapa perubahan besar, meletakkan satu tahun bersamaan 365 hari secara tetap dengan tahun lompat berlaku setiap 4 tahun sekali - kembali menjadikan kiraan minggu setiap 7 hari sebagai kiraan rasmi.

Maharaja Rom Constantine menyelaraskan kiraan minggu

calendar stone 7 hari

Bagaimanapun penerimaan terhadap sistem ini tidak meluas pada zamannya, menyebabkan ada bandar yang mengamalkan sistem baru 7 hari dan ada yang kekal dengan sistem lama 8 hari seminggu. Constantine yang memerintah Rom lebih 3 abad berikutnya menyamaratakan sistem ini, menjadikan 7 hari seminggu sebagai kiraan rasmi.

Constantine turut memperkenalkan sistem penamaan hari yang kembali kepada penggunaan nama objek yang terletak di langit, serta menggabungkan kepercayaan orang Greek, Rom, Norse dan Jermanik dalam menghasilkan 7 istilah yang akan digunakan bagi mewakili nama hari yang ada.

Begitulah kisahnya bagaimana sistem 7 hari seminggu dibentuk, berdasarkan kepada kiraan matematik, logik dan juga kepercayaan masyarakat barat zaman dahulu. Anda dah tahu mengapa kita menggunakan nama 'Monday', 'Tuesday', 'Wednesday' dan seterusnya dalam sistem hari bahasa Inggeris?

Kami sudah menjelaskan kenapa kita menamakan hari-hari kita sedemikian rupa dalam salah satu artikel kami yang paling popular - Asal-Usul Nama 7 Hari Dalam Seminggu Yang Kita Gunakan Setiap Hari.

Jangan terkejut pula bila anda dah tahu sebabnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)