assyrian pahlawan dah gadis bertudung hijab

Zaman sekarang, apabila kita menyebut berkenaan hijab atau tudung - berkemungkinan besar persepsi yang pertama sekali difikirkan orang ramai adalah berkenaan wanita-wanita Muslim.

Ini kerana di seluruh dunia ketika ini, banyak pihak menyedari berkenaan kewajipan seseorang Muslimah atau 'wanita Muslim' untuk menutupi dan melindungi sebahagian besar kepalanya, daripada pandangan khalayak umum.

Bagaimanapun realitinya amalan pemakaian hijab ini sebenarnya sudah dimulakan jauh lebih awal, sebelum era Rasulullah saw. bermula lagi dan sejarahnya bermula pada sekitar tahun 2000SM, lebih 4000 tahun dahulu.

Penemuan Tablet Batu Kod Undang-undang Assyria

tablet batu kod undang undang assyria

Kajian sejarah telah menunjukkan sekitar tahun 2500SM-1000SM, wujud sebuah kerajaan berstatus empayar terletak di kawasan Mesopotamia, dikenali sebagai bangsa Assyria yang pada ketika itu merupakan antara tamadun paling maju di dunia.

Dalam proses carigali artifak sejarah yang dijalankan pada awal abad tahun ke 20 oleh sekumpulan penyelidik dari Jerman di sekitar wilayah dipercayai merupakan pusat pentadbiran Tamadun Assyria iaitu ibu kotanya yang bernama Asur; mereka menemui 15 kepingan batu setinggi 8 kaki mirip kepingan batu yang mengandungi Kod Undang-Undang Hamurrabi.

Usaha untuk menterjemahkan kandungan kod itu berjaya memberikan kumpulan penyelidik gambaran jelas kepingan batu itu yang sebenarnya mengandungi Kod Undang-Undang Assyria - sebuah empayar lebih besar berbanding masyarakat Babylon yang wujud serentak semasa pemerintahan Hamurrabi.

Malangnya isi kandungan kepingan itu tidak dapat diterjemahkan kesemuanya, disebabkan kerosakan yang telah berlaku. Bagaimanapun, usaha penterjemahan berjaya mengenalpasti salah satu bahagian penting melibatkan kaum wanita era tersebut.

Selain meliputi hak wanita, antara bahagian undang-undang yang disebut dalam kod undang-undang Assyria adalah kes kecurian, serangan, serangan seksual, undang-undang perkahwinan dan undang-undang jenayah.

Untuk artikel ini, kami hanya akan membincangkan berkenaan undang-undang hak wanita Assyria - dipercayai merupakan peraturan terawal (setakat ini) dibentuk sesebuah pemerintah dalam mewajibkan wanita mengenakan hijab.

Masyarakat Assyria mengawal ketat pergerakan wanita

wanita assyria awal

Berbeza dengan tamadun lain sezamannya seperti tamadun Babilon dan tamadun Sumeria, tamadun Assyria memperkenalkan banyak penambahan pada undang-undang kerajaan mereka dalam menjaga tindak tanduk wanita zaman tersebut.

Ini dipercayai berpunca daripada kepercayaan mereka pada zaman tersebut bahawa Tuhan kepercayaan mereka menghargai peraturan dan undang-undang yang ketat dikenakan; dalam memastikan kehidupan masyarakat mereka dilindungi.

Selain itu, kehidupan masyarakat Assyria zaman tersebut juga dikatakan senantiasa berdepan bahaya akibat kedudukan geografi yang mendedahkan masyarakat mereka kepada ancaman, baik alam semulajadi atau pencerobohan tamadun luar.

Disebabkan oleh faktor kepercayaan serta situasi hidup yang agak menekan, pemerintah Assyria memperkenalkan undang-undang yang yang ketat bagi melindungi kepentingan masyarakat mereka, khasnya dari segi moral dan sahsiah.

Salah satu sasaran utama undang-undang itu adalah kaum wanita, yang dimestikan menjaga kelakuan dan tingkah laku agar tiada bencana diturunkan kepada mereka selain kebimbangan agar ada pihak luar berjaya memperdayakan wanita Assyria, seterusnya memecah belahkan tamadun mereka.

Malangnya - berbeza dengan Kod Hamurrabi yang dilihat lebih adil kepada wanita, kod Assyria pula memilih untuk memalukan wanita dengan hukuman berat dan ringan; seandainya wanita itu memilih untuk melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Undang-undang khas meliputi wanita Assyria

kota tamadun assyria

Masyarakat Assyria membahagikan undang-undang berkaitan wanita kepada beberapa seksyen. Yang pertama adalah berkenaan jenayah yang berkaitan wanita, melibatkan kesalahan kecurian dan juga penghinaan terhadap individu lain.

Bahagian kedua pula melibatkan jenayah kekerasan yang dilakukan oleh wanita, sekiranya mereka bertindak menyerang suami. Wanita yang bertindak menyerang seseorang lelaki lain akan dikenakan denda sebanyak 1,800 shekel (matawang mereka ketika itu) serta dirotan dengan batang besi sebanyak 20 kali.

Bagi isteri pula, seandainya mereka bertindak memecahkan sebelah testikel suami, sebatang jari mereka akan dipotong. Kedua-dua testikel? Kedua-dua mata atau buah dada mereka akan dibutakan/dipotong.

Seksyen seterusnya melibatkan jenayah rogol dan kesalahan seksual terhadap wanita. Seandainya seseorang isteri digoda untuk menyetubuhi lelaki lain, wanita tersebut wajib menolaknya. Sekiranya didapati menyerah diri dan persetubuhan berlaku, kedua-dua pihak akan dibunuh.

Untuk menulis satu per satu undang-undang Assyria agak panjang, jadi lebih baik kita fokuskan kepada topik artikel ini; perintah bertudung.

Perintah berhijab di kalangan wanita Assyria

tamadun assyria di mesopotamia

Semua wanita yang berstatus isteri serta anak perempuan termasuklah perempuan-perempuan simpanan diwajibkan memakai hijab yang menutupi kepala mereka, semasa berada di luar kawasan rumah.

Status seseorang wanita juga membezakan cara pemakaiannya.

Seorang isteri wajib menutupi keseluruhan bahagian kepala dan wajah, sementara wanita yang belum berkahwin hanya perlu bahagian wajah dari mata ke bawah dagu, tanpa perlu menutupi keseluruhan bahagian kepala.

Undang-undang Assyria menetapkan isteri, anak gadis dan perempuan simpanan bebas untuk tidak menutupi wajah dan kepala semasa berada dalam kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, perintah sama dikecualikan ke atas golongan pelacur atau wanita yang terbukti menyundalkan dirinya.

Wanita berstatus pelacur pula diharamkan daripada memakai hijab, tak kiralah dalam apa saja bentuk sekalipun serta perlu membiarkan wajah mereka kelihatan semasa berada di khalayak umum.

assyrian masyarakat komuniti pertama wajibkan pemakaian tudung hijab 734

Seandainya ada di kalangan pelacur ditemui memakai hijab, orang awam yang menemuinya digalakkan untuk menangkapnya dan membawanya ke hadapan istana pemerintah.

Hukumannya adalah segala pakaian yang dipakai wanita tersebut ketika itu akan disita, pelacur tersebut akan disebat dan larutan pekat berwarna hitam hasil sebatian tar dan bitumen, akan dicurah ke atas wanita tersebut.

Begitulah secara ringkas undang-undang Kod Assyrian ciptaan manusia (hasil kajian setakat ini) antara undang-undang terawal mewajibkan pemakaian tudung terhadap wanita, sebelum budaya sama mula diikuti masyarakat-masyarakat lain di seluruh dunia.

Rujukan

Veiling in Ancient Assyrian

The Middle Assyrian law-book about women



Hakcipta iluminasi.com (2017)