liverpool menangis

Tidak dapat dinafikan peminat bola sepak liga perdana Inggeris (EPL) di Malaysia jutaan orang jumlahnya, dengan setiap orang mempunyai pasukan kegemaran sendiri. Ada yang suka Manchester United, ada yang setia dengan Liverpool, penyokong tegar Arsenal, Chelsea, Manchester City dan mungkin juga fanatik pasukan Burnley.

Walau apa pun pilihan pasukan anda - ketahuilah bahawa 'British Exit' atau nama singkatannya 'BREXIT' bakal membawa perubahan besar kepada EPL di masa akan datang. BREXIT yang sepatutnya sudah pun dijalankan pada 29 Mac 2019 telahpun ditangguhkan buat sementara dengan tarikh barunya pula diletakkan pada pertengahan bulan ini.

Bagaimana BREXIT akan memberi kesan kepada liga EPL? Besarkah kesannya? Adakah selepas ini EPL masih sama atau akan jadi semakin hambar? Jom kita tengok.

1. Pemain di setiap kelab akan menjadi lebih 'tempatan'

pemain england

Menurut ura-ura FA England berkaitan kesan BREXIT ini, besar kemungkinan mereka akan melakukan perubahan pada jumlah pemain luar yang dibenar untuk didaftarkan. Ketika ini setiap kelab EPL boleh mendaftarkan 25 pemain secara rasmi, dengan 17 daripadanya berstatus bebas.

Angka 17 itu bakal dikurangkan kepada 12, bermakna selepas ini 13 orang pemain dalam setiap kelab perlu memegang status pemain 'berkelayakan tempatan' atau 'homegrown.' Pemain perlu didaftar sekurang-kurangnya 3 tahun sebelum mereka mencapai usia 21 tahun untuk melayakkan mereka mendapat status ini. Jadi kita akan nampak lebih ramai pemain muda diserap masuk ke dalam kesebelasan utama.

2. Masalah pergerakan pemain

pemain liga turki

Pada ketika ini, konsep tiada sempadan di amalkan di seluruh Eropah termasuklah di Britain. Walau bagaimanapun dengan (bakal) terjadinya BREXIT sudah pastilah akan diwujudkan sistem imigresen bagi mengawal kemasukan di antara negara-negara dalam Kesatuan Eropah dengan Britain. Pemain daripada Eropah yang sedang bermain di England akan perlu mendapatkan visa dan pas pekerjaan untuk bermain di England.

Untuk mendapatkan pas pekerjaan sebagai seorang pemain bola sepak, wujud beberapa kriteria yang perlu dipatuhi. Kriteria ini pada masa sekarang tidak dikenakan pada pemain dari Eropah tetapi dikenakan pada pemain dari Timur Tengah, Asia dan juga Afrika. Sekiranya syarat ini digunapakai tanpa sebarang kelonggaran diberikan kepada pemain sedia ada - ratusan pemain tidak layak bermain di England.

3. Tidak lagi boleh memancing pemain muda berbakat

bergkamp fabregas

Pemain-pemain muda Eropah yang memulakan karier di EPL sehingga menjadi bintang besar seperti Cristiano Ronaldo dan Francesc Fabregas mendapat peluang di England kerana dasar tiada sempadan di Eropah, memudahkan mereka melakukan perpindahan daripada Portugal dan Sepanyol ke England.

Sekiranya BREXIT dipenuhi, syarat FIFA yang diperkenalkan bagi melindungi pemain muda Eropah hanya membenarkan pemain berusia 16 hingga 18 tahun melakukan perpindahan di antara negara-negara anggota Kesatuan Eropah. Seandainya Britain keluar daripada Eropah dan tidak ada pindaan dilakukan pada syarat ini, pemain-pemain muda di sekitar Eropah tidak lagi boleh menjadikan EPL platform untuk mereka melonjakkan karier.

4. Pemain ternama akan kurang berminat ke EPL

lionel messi chelsea man united man city main

Ganjaran pendapatan yang lumayan merupakan sesuatu yang sudah semestinya sasaran setiap pemain, apatah lagi mereka mempunyai karier yang agak singkat. Kesan perubahan matawang Pound Sterling (GBP) berbanding Euro (EUR) pasti menjadi antara faktor menarik minat pemain untuk berhijrah ke EPL.

Ekoran langkah BREXIT ini, nilai matawang GBP menurun berbanding EUR menyebabkan kelab-kelab di England akan mengalami kesukaran dari segi kewangan sekiranya mereka perlu berlawan bidaan dengan kelab dari Eropah. Sekiranya kerajaan Britain terus gagal meningkatkan nilai matawang GBP ke paras yang lebih baik, pemain-pemain handal dari Jerman, Sepanyol, Itali dan lain-lain negara pasti merasakan lebih berbaloi untuk mereka kekal bermain dalam liga di Eropah sahaja.

Harapan penulis nak tengok Lionel Messi main di EPL bersama Liverpool takkan kesampaian lah agaknya.

5. Anda mahu tukar ke liga lain?

liga turki

Tidak dapat dinafikan, semenjak menemui rentak mereka ketika tahun 90-an, EPL berjaya berkembang menjadi liga terbaik serta menambat hati jutaan peminat sukan bola sepak. Bagi adik-adik yang tak tahu, sebelum EPL popular - orang Malaysia layan Serie A tau! Ya, satu masa dulu liga Itali sangat popular sampai semua orang borak tentang AC Milan, Napoli dan Fiorentina.

Dari segi pemasaran, EPL memang nombor satu dibantu daripada segi bahasanya yang menggunakan bahasa Inggeris - meletakkan EPL sebagai liga popular. Namun jangan terkejutlah sekiranya semua ini bakal berubah pula satu masa nanti dan majoriti peminat bola sepak luar di Malaysia, mula ikuti liga Jerman atau liga Sepanyol dengan lebih jitu, berikutan nama-nama besar yang beraksi di Eropah sahaja.

EPL mengambil masa hampir 30 tahun untuk sampai ke tahap mereka sekarang, mungkin 10 tahun lagi jutaan peminat bola sepak di Malaysia tak ada masalah nak sebut 'Borussia Mönchengladbach', hanya kerana BREXIT.


tags : , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)