Di dalam kalendar Hijrah yang diikuti masyarakat Islam seluruh dunia, ada dua tarikh yang dianggap penting dalam menentukan perjalanan ibadah dan sambutan Aidilfitri tahun tersebut.

Dua tarikh itu melibatkan 'tengok anak bulan' pada hujung bulan Syaaban dan Ramadan, yang akan menentukan bilakah bermulanya ibadah puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam konteks masyarakat kita, istilah 'anak bulan' menjadi sebutan standard yang cukup popular. 'Meneropong anak bulan' menjadi sesuatu ditunggu-tunggu masyarakat kita.

Persoalannya - adakah kita faham apa sebenarnya 'tengok anak bulan'?

Mencari 'hilal'

proses rukyah anak bulan hilal

Pasti semasa kita kecil kita pernah tertanya-tanya bermacam persoalan berkenaan 'anak bulan'. Bulan boleh beranak ke? Rupa anak bulan tu, macam bulan kecil ke?

'Anak bulan' sebenarnya merujuk bentuk bulan sabit terawal dalam kitaran bulan, dijadikan sebagai petunjuk atau petanda berlakunya pertukaran kalendar Hijrah.

Dalam bahasa Arab, 'anak bulan' disebut sebagai 'hilal'.

KItaran hilal memainkan peranan yang penting dalam hidup umat Islam. Ini berpandukan kepada firman Allah swt. dalam surah al-Baqarah ayat 189 yang jelas memerintahkan orang Islam menggunakan peredaran bulan sebagai jangka penanda waktu dalam urusan dan amalan ibadah.

Bentuk anak bulan ditentukan oleh kedudukan bulan dengan matahari, dengan hilal yang terbentuk mirip 'bulan sabit muda' menjadi petunjuk kepada bermulanya fasa bulan seterusnya.

Walaupun peredaran bulan melalui fasa-fasanya berlaku tanpa henti, kiraan selang waktu hari di antara fasa-fasa itu tidaklah konsisten serta boleh berubah-ubah.

Ini menyebabkan kalendar Hijrah jumlah harinya dalam sebulan boleh mengandungi 29 atau 30 hari, dengan 30 hari adalah jumlah maksima.

Dalam menentukan kemunculan hilal, ada lokasi di mana bulan sabit muda yang terbentuk dapat dilihat dengan mata kasar. Ada juga akan kelihatan dengan teropong. Di sesetengah lokasi berbeza pula, langsung tak kelihatan bulan sabitnya.

Oleh sebab itulah beberapa kaedah berbeza selain melihat anak bulan diperlukan, dalam menentukan kemunculan hilal yang dinantikan.

Rukyah dan hisab

rukyah dan hisab tengok anak bulan

Rakyat Malaysia pasti dah biasa mendengar istilah 'rukyah dan hisab' kan? Rukyah dan hisab adalah dua kaedah asas yang digunapakai dalam menentukan kedatangan anak bulan.

Rukyah adalah proses melihat secara fizikal anak bulan pada 29 Syaaban dan 29 Ramadan, di hampir 30 lokasi seluruh negara kita menggunakan mata kasar ataupun dengan bantuan alat optik seperti teleskop atau theodolite.

Bagaimanapun kaedah rukyah ini bergantung kepada keadaan cuaca, jadi kaedah hisab turut sama digunakan dalam mensahihkan lagi ketepatannya.

Proses hisab mempunyai 3 syarat utama yang sudah lama kita amalkan formula kiraannya : hilal mesti kelihatan melebihi jarak waktu minima sekurang-kurangnya 8 jam, kedudukan bulan pada garis horizon mestilah melebihi 2 darjah dan jarak lengkung di antara bulan dan matahari mesti melebihi 3 darjah.

Bagaimanapun bagi tahun 2022, negara kita telah mula menggunakan kaedah hisab berbeza, dimana kedudukan bulan pada garis horizon mesti melebihi 3 darjah dan jarak lengkung bulan dan matahari melebihi 6.4 darjah, tanpa perlu hilal kelihatan dalam selang waktu tempoh 8 jam seperti sebelum ini.

Sekiranya kesemua syarat ini dipenuhi disokong oleh kemampuan hilal dilihat dengan mata secara rukyah, ini menandakan peredaran bulan sedang memasuki fasa baru membolehkan kalendar Hijrah beralih kepada bulan seterusnya. 

Jika tidak dipenuhi atau diragui, bulan Syaaban dan bulan Ramadan akan ditambah satu hari menjadikannya genap 30 hari berdasarkan kepada persetujuan pihak berwajib.

Bermula dari Deklarasi Istanbul 1978

fasa kitaran bulan

Negara kita sebelum ini memfokuskan kepada penggunaan kaedah rukyah, dalam mengenalpasti fasa peredaran bulan.

Namun selepas negara-negara Islam bersidang di Istanbul, Turki pada tahun 1978 berjaya mencapai kata sepakat menentukan kaedah kiraan hisab, negara kta turut mengamalkan formula yang dinamakan Imkanur Rukyah; yang menjadi asas kepada syarat hisab yang kami sebutkan di atas.

Pada awal pengenalannya, syarat ketinggian hilal dengan garis horizon mestilah melebihi 5 darjah dan jarak lengkung bulan dan matahari ketika matahari terbenam, perlu melebihi 8 darjah.

Bagi memperkuatkan lagi kiraan, Malaysia sendiri menambahkan syarat 'minima 8 jam kemunculan hilal', membezakan kita dengan negara-negara lain. Walaupun begitu, kaedah ini masih menimbulkan kekeliruan.

Jadi satu pertemuan di antara wakil badan agama Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura diadakan pada tahun 1992 di Labuan, Sabah untuk memperbaiki kelemahan sistem Imkanur Rukyah yang digunapakai.

Hasil pertemuan itu, syarat yang diperkenalkan di Turki diubah kepada syarat yang telah kami nyatakan di atas sebelum kita mula menggunakan cara kiraan baru hisab dalam tahun 2022.

Oleh kerana itulah ada kemungkinan kita boleh berpuasa sama ada selama 29 atau 30 hari. Jika untung nampak anak bulan, beraya awallah kita. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)