Mungkin anda perasan, sesetengah kenderaan mempunyai kod warna tertentu yang dipakai di seluruh dunia (atau sebahagian besar tempat). Kapal terbang contohnya, biasanya berwarna putih dan bas sekolah biasanya berwarna kuning. Untuk penjelasan mengenai perkara ini, rujuk kedua artikel kami di bawah:

  1. Kenapa kapal terbang biasanya berwarna putih?
  2. Kenapa bas sekolah di seluruh dunia berwarna kuning?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimana pula dengan jentera bomba? Seperti yang biasa kita lihat di Malaysia ini mahupun dalam filem luar negara, jentera bomba biasanya dicat dengan warna merah. Apakah fungsi atau tujuannya warna merah digunakan pada jentera bomba?

Tidak semua jentara bomba berwarna merah

jentera bomba kuning

Walaupun warna merah sangat sinonim dengan bomba, sebenarnya tidak semua negara atau tempat yang menggunakan warna merah pada jentera bomba mereka. Di Amerika Syarikat dan di Eropah misalnya, warna lain seperti ungu, merah jambu dan hijau turut digunakan.

Malah, di ACT di Australia, warna kuning limau juga turut digunakan pada jentera bomba. Malah, terdapat satu kajian yang diterbitkan oleh The Journal of Safety Research pada tahun 1995 mengenai pengaruh warna pada kemalangan yang melibatkan jentera bomba membuat satu penemuan yang mengejutkan.

Melalui kajian ini, para pengkaji mendapati dimana jentera bomba yang berwarna merah terlibat dalam kemalangan 3 kali ganda lebih tinggi berbanding jentera bomba yang dicat warna kuning limau. Pelik bukan?

Sejarah penggunaan warna merah

jentera bomba terawal

Antara rekaan jentera bomba terawal yang dicipta pada tahun 1891

Alatan bomba dan jentera bomba sudah dicat menggunakan warna merah sejak sekian lamanya. Salah satu jentera bomba terawal dibina oleh pencipta Inggeris bernama Richard Newsham pada tahun 1721. Ciptaanya ini mampu memancutkan air 380 liter seminit, menjadikan jenteranya itu begitu popular pada waktu itu.

Walaupun sebab mengapa beliau memilih untuk menggunakan warna merah pada jenteranya itu tidak diketahui, beliau tetap dikreditkan sebagai manusia pertama yang menjadikan warna merah begitu sinonim dengan dengan peralatan dan jentera bomba sehinggalah ke hari ini.

Mengapa merah?

kereta ford

Antara rekaan terawal kereta Ford yang membanjiri jalan raya di Amerika Syarikat satu ketika dahulu

Secara umumnya, tiada jawapan khusus untuk persoalan ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa hipotesis bagaimana warna merah ini boleh digunakan pada jentera bomba.

Pada era 1900-an, di Amerika Syarikat kenderaan Ford memonopoli pasaran kenderaan di sana. Akibatnya, jalan-jalan di Amerika Syarikat telah dipenuhi dengan kenderaan jenama Ford yang biasanya di cat dengan warna hitam. Warna hitam dipilih memandangkan ianya lebih murah dan dipercayai tahan lebih lama.

Dalam kesesakan kenderaan berwarna hitam di jalan raya, warna cerah dan garang seperti merah dapat memberikan kontra dan mudah dilihat. Oleh itu, jentera bomba lebih mudah dilihat dan dikenalpasti oleh para pemandu kereta, seterusnya memberikan laluan kepada pihak bomba.

papan tanda stop

Penggunaan warna merah ini juga dapat disokong oleh sains kerana warna ini mempunyai gelombang terpanjang dalam spektrum warna yang boleh dilihat oleh manusia. Ini bermakna, warna merah dapat dikenalpasti daripada jauh.

Inilah juga sebab mengapa tanda "Stop" atau "Berhenti" pada jalan menggunakan warna merah sebagai latar belakangnya. Dalam kebanyakan budaya juga, warna merah merupakan simbol kepada amaran keadaan merbahaya.

Penggunaan warna merah dapat menonjolkan kewujudan jentera bomba di jalan raya dan memberitahu kepada pemandu lain bahawa mereka perlu segera ke sesuatu destinasi untuk menyelamatkan individu dalam keadaan bahaya seperti kebakaran.

Kritikan terhadap penggunaan warna merah

bomba kemalangan

Sekadar gambar hiasan 

Kajian terbaru yang dilakukan menunjukkan penglihatan manusia sebenarnya paling sensitif terhadap warna yang mempunyai gelombang antara 510 nm dan 570 nm (kuning limau). Inilah sebabnya mengapa kebanyakan bas sekolah di seluruh dunia menggunakan warna kuning.

Selain itu, kajian mendapati warna merah bukanlah warna yang terbaik sebenarnya memandangkan ianya sukar dikenalpasti dalam keadaan rendah cahaya seperti pada waktu malam. Dalam keadaan berkabus atau jerebu juga, warna merah lebih sukar dikenalpasti berbanding warna kuning limau.

lampu bomba

Kajian ini dapat dibuktikan melalui kajian pada tahun 1995 yang mendapati jentera bomba berwarna merah mempunyai risiko 3 kali ganda mendapat kemalangan berbanding dengan jentera berwarna kuning limau.

Seorang optometris dari New York yang bernama Stephen Solomon telah menjalankan kajian mengenai kemalangan trak bomba di jalan raya dan seterusnya menggalakkan penggunaan warna kuning limau di Amerika Syarikat bermula pada pertengahan 1970-an. Disebabkan inilah beberapa tempat di Amerika Syarikat mula menggunakan warna ini pada jentera bomba mereka.

Namun, terdapat juga pihak yang menyokong warna merah terus digunakan memandangkan sebahagian besar daripada kita sudah membesar dan terbiasa dengan penggunaan warna merah pada jentera bomba. Sekiranya ia ditukar, mungkin akan mengelirukan banyak pihak.

Satu ketika dahulu, jentera bomba dilengkapi dengan sistem penggera yang mempunyai loceng. Namun, pada masa kini, jentera bomba dilengkapi dengan siren yang lebih lantang dan boleh didengari dari jauh. Malah, jentera bomba juga dilengkapi dengan warna siren yang sangat cerah. Kedua-dua faktor ini menyebabkan warna merah terus digunakan walaupun dianggap tidak praktikal.

Kredit:

  1. Vice
  2. University of Washington



Hakcipta iluminasi.com (2017)