Syarikat Honda dari Jepun menjadi pengeluar pertama kenderaan di dunia berjaya melancarkan model kereta yang mempunyai sistem yang ditakrifkan sebagai Tahap 3 autonomi pemanduan, yang baru saja dilancarkan di Jepun pada 5 Mac 2021.

Model Honda Legend yang hanya dikeluarkan sebanyak 100 unit pada harga RM415,550 menjadi kereta pengeluaran komersial pertama dunia mencapai tahap tersebut, didakwa sebagai satu langkah besar industri yang sedang menuju kepada pemanduan tanpa pemandu sepenuhnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pengeluar kenderaan di negara kita pun sudah mula rancak memasukkan fungsi-fungsi bantuan pemanduan dalam model yang dijual di negara kita. Mari kita fahamkan apa 6 tahap teknologi autonomi kenderaan yang cuba dicapai.

1. Tahap 0 - tiada automasi

proton saga lama

Sekiranya kenderaan anda memerlukan anda mengawal keseluruhan fungsi pergerakannya, ini bermaksud kereta anda berada pada tahap 0 dalam kategori autonomi kenderaan.

Tetapi jangan malu pula - majoriti kenderaan yang ada di jalan raya berada dalam kategori ini. Sebuah kenderaan tahap 0 bermakna semua input yang mengawal pergerakan sesebuah kereta, memerlukan pemandu sendiri mengaktifkannya.

Tahap 0 turut merangkumi kenderaan yang mempunyai sistem kawalan kelajuan (cruise control) bukan bersifat adaptif, di mana pemandu masih perlu mengawal kelajuan melalui input secara manual.

2. Tahap 1 - automasi kadar rendah

honda automasi teknologi

Kereta yang layak dikatakan berada dalam tahap 1 pula adalah kenderaan mempunyai sistem kawalan kelajuan bersifat adaptif, di mana kenderaan sendiri mampu menganggarkan jarak dengan kenderaan di depannya - bagi mengekalkan kelajuan yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, kawalan stereng dan brek masih lagi dipegang sepenuhnya pada bahu pemandu, masih memerlukan pemandu menumpukan perhatian pada lorong dan jalan raya di depan mereka.

Selain kawalan kelajuan automatik, kenderaan yang mempunyai sistem parkir kereta dan sistem pengesan lorong bagi menstabilkan arah kereta juga dikategorikan dalam tahap 1. 

3. Tahap 2 - automasi dengan fungsi khas

perodua axia adas

Semakin banyak kenderaan di negara kita sudah mencapai tahap ini, dengan beberapa model terkenal seperti Perodua Myvi dan Proton X50 layak dikategorikan berada dalam tahap ini. 

Namun sistem dalam tahap 2 masih tidak membenarkan pemandu mengalihkan perhatian mereka dari jalan, memerlukan fokus pemandu untuk mengawal kenderaan.

Model-model kereta berteknologi tinggi seperti model keluaran Tesla juga turut dikategorikan dalam kumpulan ini walaupun teknologi yang dipasang sudah cukup mengagumkan.

Masih berorientasikan keselamatan, beberapa fungsi tambahan seperti sistem mengelakkan pelanggaran, pengesan titik buta dan fungsi yang mampu membetulkan kedudukan kereta dalam situasi tertentu sudah mula digunakan orang ramai. 

4. Tahap 3 - pemandu tidak perlu memandu dalam sesetengah situasi

honda legends kereta pertama automasi tahap 3

Berbeza dengan dua tahap sebelum ini, tahap 3 merupakan satu langkauan jauh yang mula membolehkan kereta sendiri mula mempunyai kemampuan bersifat autonomi dan pemandu boleh untuk 'tidak memandu' dalam situasi yang ditetapkan, seperti pemanduan automatik semasa jalan sesak atau pemanduan lebuh raya.

Dalam situasi itu, pemandu boleh melepaskan kawalan dan membenarkan kereta mengambil alih segala fungsi pemanduan; dakwaan Honda, seorang pemandu Honda Legends yang baru dilancarkan bolehlah menonton filem sambil kenderaan terus bergerak sendiri.

Bagaimanapun sistem autonomi yang dipasang masih bergantung kepada kondisi-kondisi yang telah ditetapkan pengeluar - jadi kenderaan bukanlah setiap masa boleh dibiarkan bergerak sewenang-wenangnya sendirian.

Model Honda Legends yang baru dilancarkan mempunyai fungsi keselamatan khas seandainya pemandu gagal memberikan respon apabila diminta kereta, di mana kereta itu sendiri akan masuk ke lorong kecemasan, memperlahankan kelajuan sebelum berhenti sendiri. 

Dalam erti kata lain, perbezaan utama tahap antara tahap 3 dengan tahap 2; kenderaan tahap 3 sudah boleh mengambil alih kawalan walaupun pemandu tidak lagi memberikan perhatian kepada pemanduan untuk tujuan pemberhentian.

5. Tahap 4 - kereta boleh berjalan sendiri dalam kawasan tertentu

waymo persembahkan teknologi baru

Setakat ini, kita belum dapat melihat kenderaan tahap 4 keluaran komersial, tetapi teknologinya sudah pun dibangun dan diperkembangkan. Pengeluar seperti Tesla  sedang menguji sistem Full System Driving.

Sistem teksi tanpa pemandu Waymo, sebuah anak syarikat di bawah Alphabet Inc. yang juga pemilik Google juga sudah lama beroperasi di beberapa kawasan tertentu.

Perbezaan utama antara tahap 4 dengan tahap 3 adalah sesebuah kenderaan berkategori tahap 4 mampu membuat keputusan dengan sendiri, tanpa perlu lagi menunggu input daripada pemandu. 

Bagaimanapun, setakat ini sistem pemanduan automatik yang ada masih berhadapan kekangan geografi, di mana kenderaan itu hanya boleh memandu sendiri dalam kawasan atau daerah yang ditetapkan, mengehadkan pergerakannya disebabkan oleh keperluan data navigasi yang perlu disediakan.

Selain Tesla dan Waymo, beberapa pengeluar lain seperti Volvo juga sedang membangunkan sistem serupa. Kerajaan United Kingdom turut sama melancarkan program ujian teksi automatik tanpa pemandu pada bulan Oktober tahun 2020, yang akan beroperasi sepanjang laluan dua stesen keretapi di Oxford.

Honda mensasarkan tahun 2025 untuk pelancaran model dari mereka yang mempunyai keupayaan tahap 4.

6. Tahap 5 - kereta boleh ke mana-mana tanpa pemandu

gambaran kereta tanpa stereng

Mungkin kita perlu menunggu lagi satu atau dua dekad, sebelum kita dapat melihat model komersial pertama di dunia kereta yang mempunyai keupayaan tahap 5. Persoalannya - besarkah perubahan yang bakal dibawa? 

Berkemungkinan besar sangat besar impaknya. Wujud bermacam kemungkinan yang akan berubah sekiranya kereta untuk pasaran umum sudah mula mampu 'merdeka' daripada kawalan pemandu.

Kita tidak lagi memerlukan lesen memandu untuk memandu. Undang-undang jalan raya perlu diubah. Sistem jalan raya kita sendiri perlu ditambah baik. Stereng, pedal brek dan minyak, tuil gear - semuanya bakal dibuang daripada sesebuah kereta disebabkan tiada lagi keperluan untuknya.

Ini kerana dalam kategori tahap 5, stereng kereta sudah dianggap sebagai satu aksesori pilihan dan kenderaan pula tidak lagi berdepan sekatan geografi, mampu bergerak ke mana-mana sahaja disebabkan oleh kemampuan kamera dan sensor yang mampu membaca apa saja bentuk muka bumi.

levels of driving automation

Kekangan utama di tahap ini adalah anda.

Adakah anda mampu mempercayai sistem kereta bersifat autonomi penuh untuk membawa anda ke mana-mana sahaja setiap hari? 




Hakcipta iluminasi.com (2017)