bomba kuasa yang anda tak tahu

Menggalas tanggungjawab besar memadamkan kebakaran, reputasi anggota bomba di negara kita memang cukup tinggi.

Mereka bukan saja bersabung nyawa melawan api yang marak bahkan sanggup bersusah payah menyelamatkan haiwan yang tersesat atau menangkap ular yang masuk ke kediaman tanpa mengharapkan balasan. 

Kita tahu tentang peranan asas yang dimainkan ahli bomba, tetapi tahukah anda bidang kuasa mereka sebenarnya lebih besar berbanding sangkaan kita semua?

1. Ambil alih kediaman yang terbakar dari tuan punya

pegawai bomba tutup premis

Dalam semua kes-kes kebakaran, seorang Ketua Pengarah Jabatan Bomba boleh mengambil alih premis dan harta yang telah rosak atau musnah disebabkan oleh api untuk tujuan siasatan.

Tempoh dibenarkan pengambil alihan ini adalah minima 7 hari selepas kejadian. Sekiranya premis atau harta itu masih lagi diperlukan untuk disita sementara ketika siasatan, tempoh pemilikan sementara Ketua Pengarah Bomba boleh dipanjangkan kepada 30 hari.

Sepanjang tempoh tersebut hanya individu-individu yang dibenarkan boleh mengakses premis atau harta yang telah diambil alih.

Sekiranya seseorang itu melanggar syarat ini...

2. Menangkap orang tanpa memerlukan waran

tangkapan pegawai bomba

...Pegawai bomba boleh menangkap anda.

Tidak ramai tahu dalam situasi apabila pengambil alihan premis ini dilanggar, seseorang pegawai bomba dibenarkan untuk membuat tangkapan tanpa waran kerana pencerobohan itu dianggap satu kesalahan jenayah.

Dalam situasi lain, sekiranya siasatan yang dijalankan mendapati suspek siasatan dengan sengaja menipu nama dan alamat atau cuba untuk melarikan diri, pihak bomba juga boleh mengeluarkan arahan tangkapan. 

Pegawai bomba yang diarahkan untuk membuat tangkapan boleh melakukan tangkapan, mempunyai bidang kuasa sama seperti seorang pegawai polis dan tangkapan juga dilakukan berdasarkan kaedah yang diamalkan PDRM.

3. Menceroboh masuk premis 

bomba pecah pintu rumah premis

Ahli bomba diberikan kuasa untuk memecah masuk ke dalam mana-mana premis yang dikhuatiri boleh menjadi punca kebakaran, bagi tujuan menghapuskan risiko bahaya itu.

Sekiranya berjaya dikesan awal, notis akan dikeluarkan Jabatan Bomba bagi memaklumkan kepada tuan punya premis, agar penambahbaikan boleh dilakukan sendiri oleh tuan rumah berdasarkan cadangan pihak Bomba. Seandainya tiada kerjasama diterima daripada pemilik premis, pihak Bomba boleh memecah masuk ke dalam premis tersebut.

Seseorang yang enggan mematuhi notis arahan pihak Bomba, jika didapati bersalah boleh didenda RM5,000, penjara 3 tahun atau kedua-dua hukuman sekali.

Bagi mereka yang sengaja culas, pihak Bomba diberikan kuasa mengenakan denda tambahan RM100 untuk setiap satu hari bertangguh oleh pemilik premis dalam menyelesaikan perkara dalam notis tersebut.

Apabila melibatkan premis tidak berpenghuni pula, pihak Bomba boleh mendapatkan kebenaran untuk masuk, sama ada secara lembut atau secara kasar.

4. Menghalau atau menangkap orang yang mengganggu tugas anggota bomba

lelaki serang bomba

Ketika berlakunya kejadian kebakaran atau kecemasan, seorang pegawai bomba diberikan kuasa penuh untuk mengambil langkah yang dirasakan sesuai dengan situasi.

Ini termasuklah merobohkan premis atau kediaman yang dirasakan berisiko besar untuk memarakkan lagi api. Sekiranya berlaku kejadian seperti ini, tuan punya premis sudah pastilah tidak akan senang duduk melihat kediamannya dibuat sebegitu rupa dan pasti akan bertindak balas sehingga mengganggu kerja pegawai bomba.

Situasi sebegini sekiranya berlaku membolehkan seorang pegawai bomba mengusir atau mengeluarkan mana-mana individu yang kehadirannya hanya akan menggugat tugasan mereka, tanpa kompromi. 

5. Mengalihkan kenderaan yang mengganggu laluan

pegawai bomba alih kenderaan

Bukan semua kediaman terletak dalam kawasan lapang. Ada kalanya kawasan parkir yang tersedia tidak cukup luas untuk membolehkan trak Bomba masuk ke kawasan kebakaran. 

Sekiranya kenderaan anda menghalang laluan petugas dan kenderaan pihak Bomba manakala anda pula tidak dapat dihubungi - pihak Bomba berhak mengalihkan kenderaan anda ke kedudukan yang lebih sesuai dengan kaedah yang mereka rasakan perlu.

Jika mereka rasakan elok dilanggar saja kereta anda kerana anda menghalang jalan  tindakan itu dianggap boleh dan perlu, dalam mencari jalan mempercepatkan urusan menyelamat. Sekiranya mereka perlu menolak atau mengangkat kenderaan anda, semuanya dibenarkan melalui undang-undang.

Sekiranya kereta anda rosak atau mengalami kecacatan disebabkan oleh kesilapan anda sendiri, andalah yang perlu tanggung akibatnya. Ini kerana...

6. Bomba dilindungi daripada tuntutan ganti rugi 

pecah cermin pili air bomba

Semua kerosakan yang berlaku disebabkan kaedah pasukan Bomba dalam mengawal kebakaran atau kecemasan, tidaklah boleh dikira perlu diganti kerugian yang telah berlaku.

Semua pegawai bomba dilindungi undang-undang sekiranya ada pihak yang cuba menuntut ganti rugi seandainya kes-kes sebegini timbul.

Sebagai contoh, pegawai bomba terpaksa memecahkan pintu rumah anda untuk membuka akses ketika kecemasan, pintu tidak perlu mereka ganti. Cermin kereta seseorang dipecahkan bagi menyelamatkan kanak-kanak yang tertinggal dalam kereta? Tuan punya kereta yang tanggung kos ganti cermin itu.

Apa saja kerosakan atau kerugian yang berlaku semasa proses memadamkan kebakaran atau kecemasan yang perlu dibuat, tidak boleh dituntut semula kos kerugiannya oleh mereka yang terjejas.

Sekiranya pihak Bomba menggunakan bekalan air anda untuk memadamkan kebakaran di rumah jiran sebelah anda - air yang mereka guna juga perlu dianggap satu kos yang perlu anda tolong biaya.

Apa salahnya kita membantu kediaman jiran dari dijilat api, kan?

Rujukan

AKTA 341 AKTA PERKHIDMATAN BOMBA 1988 (fail PDF)



Hakcipta iluminasi.com (2017)