Oleh pada 23 Dec 2019 kategori

Cuba toreh tangan anda dan lihat darah mengalir keluar. Mesti warna merah kan? Perbezaannya hanya pada tahap kepekatan warna merah itu - sama ada merah pekat atau merah cair.

Apabila disebut tentang haiwan-haiwan yang kerap menjadi makanan kita, boleh dikatakan kebanyakannya mempunyai darah merah mirip warna darah manusia, sehinggakan ramai di antara kita mempunyai persepsi darah mesti merah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebenarnya, dalam alam semulajadi yang terbentang luas ini - ada banyak lagi jenis warna darah yang ada mengalir dalam makhluk-makhluk hidup yang ada; bukan sekadar warna merah. Tahukah anda tentang jenis-jenis darah berbeza ini dan makhluk yang dikurniakan darah sedemikian rupa?

1. Darah merah

kenapa darah berwarna merah

Sebut tentang darah, kita pasti akan membayangkan warna merah. Ini kerana darah manusia memang mempunyai warna merah. Warna merah darah terbentuk disebabkan kewujudan sel darah yang pada peringkat selnya sendiri - sudah pun berwarna merah.

Di dalam setiap sel darah, wujud sejenis bahan berbentuk protein yang kita gelarkan sebagai hemoglobin dan setiap hemoglobin pula dibentuk oleh unit lebih kecil, bernama 'hemes.' Hemes inilah punca utama kenapa darah berwarna merah selain memainkan peranan paling penting menjadi 'pengikat' kepada molekul-molekul zat besi yang bertanggungjawab menyalurkan oksigen.

Kenapa ada darah merah cair dan merah pekat? Kadar kepekatan warna darah bergantung kepada kadar oksigen dalam molekul zat besi yang ada. Apabila zat besi dalam darah tinggi kandungan oksigennya, warna darah akan menjadi merah tulen. Semakin kurang oksigen, semakin gelap warna darah.

2. Darah biru

darah belangkas biru mahal

Wujud beberapa jenis haiwan yang mempunyai darah biru mengalir dalam badan mereka. Kehadiran darah biru dalam badan menandakan wujudnya perbezaan besar bagaimana sistem pernafasan makhluk tersebut, kerana ketiadaan kewujudan hemoglobin dalam darah - sebaliknya kewujudan unsur yang dinamakan 'haemocynin.'

Sama seperti hemoglobin, haemocynin memainkan peranan besar menjadi pengikat kepada oksigen dalam tubuh makhluk tersebut tetapi strukturnya berbeza. Darah yang dibentuk dengan haemocynin menggunakan molekul tembaga (copper) untuk mengikat oksigen dalam sistem pengaliran darah. Apabila darah itu tiada kandungan oksigen, warna darah biru itu akan bertukar jernih dan apabila membawa oksigen, akan bertukar biru.

Antara haiwan yang mempunyai darah berwarna biru adalah belangkas, labah-labah, sotong dan udang. Ada juga jenis siput yang mempunyai darah serupa. Sesuatu yang perlu kita tahu - dalam setiap tubuh manusia juga mengandungi kandungan tembaga, secara puratanya seberat 50 ke 80mg majoritinya dalam otot atau hati kita.

3. Darah hijau

cacing berdarah hijau

Pernah jumpa makhluk berdarah hijau? Sebenarnya makhluk ini banyak di sekeliling kita dengan cacing merupakan makhluk paling banyak memiliki darah berwarna hijau. Selain cacing, serangga seperti pacat dan lintah juga merupakan kategori makhluk hidup terbesar berdarah hijau.

Darah berwarna hijau terbentuk akibat bahan yang digelarkan 'chlorocruorin' yang memberikannya warna unik itu. Bagaimanapun, darah kebanyakan makhluk yang berdarah hijau turut sama mengandungi kadar hemoglobin dalam darah - memberikan warna hijau kemerah-merahan kebiasaannya.

Pernah dengar kes tentang manusia berdarah hijau? Kes itu pernah berlaku pada tahun 2007 di Kanada, apabila seorang lelaki berusia 42 tahun (ketika itu) mendapati darah hijau mengalir dalam darahnya.  Perubahan warna itu pula berlaku disebabkan oleh pengambilan berlebihan bahan sumatriptan succinate, yang terkandung dalam ubat sakit kepala yang diambilnya.

Bahan tersebut mengubah kandungan darahnya, membentuk apa yang dinamakan sebagai sulfhemoglobin - sel darah merah yang turut sama terikat dengan sulfur. Akibat daripada kemasukan sulfur dalam darahnya, warna darahnya turut bertukar menjadi hijau. Nasib baiklah selepas 5 minggu dia berhenti mengambil ubat, dia pulih sepenuhnya.

4. Darah ungu

darah warna ungu aneh

Darah ungu pula, dimiliki oleh makhluk hidup yang kebiasaannya hidup dalam kawasan marin. Warna ungu itu pula sama seperti semua jenis darah lain, dibentuk oleh oleh sejenis bahan dalam darah yang kita namakan sebagai 'hemerythrin.'

Hemerythrin mempunyai tahap keupayaan yang jauh lebih rendah berbanding hemoglobin, hanya mampu mengangkut 1/4 kandungan oksigen jika dibandingkan. Sama seperti hemoglobin, hemerhythrin juga menggunakan unsur zat besi bagi menjalankan fungsinya.

Antara makhluk yang mempunyai darah berwarna ungu adalah brachiopods, sejenis hidupan berbentuk cangkerang dan juga cacing yang dikenali dengan nama 'sipuncula', yang hidup dalam laut dan di pantai - khasnya kawasan-kawasan beriklim sejuk.

5. Jernih

darah jernih ikan

Di antara semua jenis warna darah, warna darah paling sukar untuk ditemui adalah darah yang berwarna jernih. Ini kerana tidak banyak makhluk hidup, sama ada haiwan atau serangga yang mempunyai sistem badan sedemikian rupa. Apa yang mengejutkan - sekian lama penyelidik percaya bahawa semua makhluk hidup mempunyai sistem penghasilan darah yang akan menghasilkan pigmen warna, seterusnya menjadikan semua darah mempunyai warna asas.

Kecuali satu jenis haiwan saja - iaitu ikan yang dikenali dengan nama ikan 'ocellated icefish.' Setakat ini, inilah satu-satunya haiwan yang kita ketahui hidup dengan darah tiada warna atau jernih.

Konsep itu merupakan sesuatu yang sukar diterima satu ketika dulu, kerana apa yang kita faham - semua makhluk hidup memerlukan oksigen dalam badan dan kandungan oksigen dalam darah, akan memberikan warna unik darah bergantung kepada molekul dalam sel darah seperti yang kita bincangkan di atas.

icefish chionodraco hamatus darah jernih

Hidup dalam iklim sejuk pada kedalaman 1 kilometer dari permukaan bumi di Antartika, ikan ini tidak memerlukan hemoglobin dalam darah untuk pengaliran oksigen, sebaliknya oksigen akan diserap masuk dalam darah jernih mereka hanya menggunakan plasma darah yang ada. Bergantung kepada jenis ikan, ada darahnya yang sedikit kekuning-kuningan tetapi majoritinya mempunyai darah jernih - sama seperti air paip di rumah kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)