Watak adiwira merupakan antara karya fiksyen popular dalam beberapa dekad ini, dengan barisan filem Marvel menjadi bukti pengaruhnya - namun 'Superman' tetap mempunyai auranya tersendiri walaupun sedikit tenggelam kebelakangan ini.

Watak tersebut merupakan adiwira fiksyen pertama yang digarap mempunyai kuasa luar biasa, memulakan kegilaan orang ramai terhadap komik genre fantasi ini. Uniknya, sejak awal terbitannya Superman sudah digambarkan memakai 'seluar dalam' di luar kostumnya. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kostum itu sering menjadi bahan komedi peminat komik, selain daripada memberi inspirasi kepada kanak-kanak yang cuban memakai seluar dalam mereka di luar seluar sambil berimaginasi terbang di udara.

Pernah tak anda terfikir - kenapa Superman memakai seluar dalam di luar seluarnya?

Kenapa Superman memakai seluar dalam di luar?

lois clark adventure of superman

Berbeza dengan sebuah lagi rumah penerbitan iaitu Marvel, kebanyakan adiwira yang dipaparkan dalam DC Comics telah diterbitkan lebih awal, sejak mula sudah dipakaikan 'seluar dalam' di luar kostum mereka.

Lihat saja rekaan Superman, Batman, Martian Manhunter, Aquaman dan beberapa watak lagi dari barisan DC yang jelas menampakkan pemakaian seluar dalam. Ada penjelasannya kenapa rekaan itu digunakan.

Untuk menjawab soalan ini kita perlu merujuk jawapan daripada individu yang sangat berkait rapat dengan industri komik sejak mula, seorang lelaki bernama Julius Schwartz. Beliau adalah editor kepada DC Comics sejak dekad 1940 sehinggalah era 1980-an.

Dalam buku biografi beliau yang 'Man of Two Worlds : My Life in Science Fiction and Comics' terbitan tahun 2000, Schwartz yang telah berkecimpung dalam bidang penulisan komik sekian lama telah pun memperjelaskan apa yang menyebabkan rekaan seluar dalam dijadikan satu elemen utama lakaran watak adiwira.

superman keluaran pertama action comics

Sekitar era 1920-an sehinggalah terbitnya komik pertama yang memaparkan watak Superman dalam komik 'Action Comics #1' pada tahun 1938, pengaruh acara sarkas yang dipelopori usahawan-usawahan persendirian sangat besar kepada masyarakat.

Sarkas menjadi acara popular di kalangan masyarakat Amerika Syarikat dengan individu-individu yang beraksi di dalamnya seperti pelaku lagak ngeri atau ahli gusti, gemar mengenakan sehelai seluar pendek mirip seluar dalam yang akan dipakaikan di luar kostum mereka semasa beraksi.

Pengaruh budaya popular sarkas merekabentuk Superman

pelagak ngeri sarkas circus era 1930

Adalah menjadi satu kebiasaan untuk jurulatih sarkas dan gusti untuk mengajar individu yang mahu menceburi bidang tersebut tatacara pemakaian seluar pendek di luar kostum mereka.

Dengan mengenakan seluar pendek, tubuh mereka akan lebih dilindungi daripada terdedah. Ini kerana bukan semua individu yang terlibat dalam bidang ini mahu menayangkan tubuh mereka, apatah lagi apabila melibatkan bahagian kemaluan. 

Penggunaan seluar pendek membolehkan apa yang dirasakan perlu disembunyikan masih tersembunyi, tanpa membataskan pergerakan. Risiko untuk seluar itu tersangkut pada peralatan yang digunakan khasnya melibatkan aksi ngeri lompatan ngeri juga dapat diminimakan.

Itu belum diambil kira risiko baju ketat yang dipakai koyak pula kan?

penggusti era 1930 seluar dalam luar

Era tersebut, ahli gusti dan ahli sarkas dianggap idola masyarakat ekoran kekuatan dan ketangkasan mereka, jadi tidak menghairankan untuk pencipta watak adiwira zaman tersebut mengambil elemen seluar pendek itu untuk digabungkan dalam rekaan watak fiksyen mereka.

Bezanya, seluar pendek Superman direka untuk bersifat lebih ketat, mencakupi bahagian kelangkangnya bagi melambangkan kekuatannya yang bukan ibarat manusia biasa - lebih menyerupai sehelai seluar dalam.

Rekaan baju ketat, kasut but, tali pinggang serta kain gerbang yang dipakai Superman juga semuanya berinspirasikan daripada pakaian pelakon sarkas. Kiranya, Superman yang dapat anda lihat sebenarnya adalah hasil gabungan kostum ahli gusti dan ahli sarkas - yang diberikan latar belakang makhluk asing.

Adakah Superman adiwira pertama pakai seluar dalam di luar?

flash gordon adiwira pertama pakai seluar dalam luar

Walaupun Superman terkenal sebagai adiwira dengan seluar dalam merah di luar, watak tersebut bukanlah watak pertama yang 'menggayakan' kostum sedemikian rupa.

Flash Gordon, sebuah siri komik sains fiksyen telah memperkenalkan kostum sebegitu sejak tahun 1934, 4 tahun lebih awal berbanding kemunculan pertama Superman. Bezanya, watak Flash Gordon yang dipaparkan mempunyai rekaan pakaian yang berbeza-beza mengikut isu bergantung kepada lokasi planet di mana dia mendarat. 

Kadangkala dia memakai seluar dalam di luar, kadangkala dia hanya memakai seluar panjang.

Hanya selepas pengenalan watak baru The Phantom pada tahun 1936, barulah industri komik mempunyai adiwira yang secara konsisten memakai seluar dalam di luar menerusi kostumnya. Siap berjalur-jalur lagi!

the phantom watak seluar dalam pertama

Namun demikian, ternyata Superman yang benar-benar menjadikan elemen itu ikonik kekal sebagai salah satu identitinya. Hanya pada tahun 1998, buat kali pertama Superman tanpa seluar dalam di luar dipaparkan dalam komik - 60 tahun selepas kemunculan pertamanya.

Dalam era masakini, populariti filem-filem adiwira sedikit sebanyak menenggelamkan identiti adiwira berseluar dalam dari layar perak.

Perubahan pada rekaan mula diperkenalkan dan elemen utama yang menjadi mangsa dibuang agar rekaan moden seiring peredaran zaman - adalah seluar dalam adiwira yang dipakai di luar kostum.

Mungkin rekaan tersebut masih relevan untuk paparan dalam komik, namun seni rekaan moden seolah mahu membuang terus rekaan lama itu ke tong sampah berikutan tiada lagi keperluan untuk meneruskannya.

Superman pun sekarang lebih terkenal tanpa seluar dalam merahnya.

Sayangnya dengan perubahan ini, kita pun dah tak dapat lagi melihat kanak-kanak cuba berlagak ala Superman hanya disebabkan dia tanpa malu memakai seluar dalam ayahnya di di luar rumah. 

Rujukan

The Fabric of Their Lives: Circus Artists and Superheroes




Hakcipta iluminasi.com (2017)