Daripada isyarat lalu lintas hingga loceng penggera, lampu belakang kenderaan apabila brek, warna merah kelihatan ada di mana-mana. Apakah yan menjadikan warna merah sebagai pilihan universal untuk siren van polis, ambulans, dan banyak lagi isyarat amaran lain?

Walaupun ramai yang mengaitkan warna ini dengan aktiviti romantik mereka seperti warna merah pada bunga mawar dan bentuk hati, warna merah mempunyai kepentingan yang jauh lebih besar dalam kehidupan seharian. Apa yang menjadikan warna ini begitu istimewa?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sains dan penghasilan warna merah

penghasilan cahaya

Untuk penjelasan lanjut mengenai perkara ini, kita tidak dapat lari dapat membicarakan mengenai sains. Mula-mula kita perlu memahami bahawa warna merah ialah komponen spektrum cahaya yang boleh dilihat, dikenali sebagai VIBGYOR yang terbentuk akibat pemisahan gelombang cahaya berwarna putih.

VIBGYOR adalah singkatan bagi Violet–Indigo–Blue–Green–Yellow–Orange–Red.

Kini, gelombang cahaya ini mempunyai sifat yang dipanggil panjang gelombang (wavelength). Menurut teori gelombang cahaya, panjang gelombang (lambda: λ) bagi mana-mana gelombang ialah jarak antara dua puncak berturut-turut (bahagian puncak atas) atau antara dua palung berturut-turut (bahagian puncak bawah).

Panjang gelombang dikira dengan mendarabkan halaju gelombang dengan frekuensinya. Kita semua tahu bahawa kelajuan cahaya adalah 3×108m/s. Frekuensi pula ialah timbal balik masa yang diambil oleh gelombang untuk menempuh jarak satu panjang gelombang keseluruhan.

Kenapa warna merah menjadi pilihan?

fizik cahaya

Jawapan mengapa merah berkesan sebagai tanda isyarat atau amaran bahaya terletak pada konsep yang dipanggil serakan (scattering). Penyerakan ialah fenomena di mana cahaya terpesong dari laluan lurusnya apabila melanggar halangan, seperti habuk, molekul gas atau wap air.

Pancaran cahaya dialihkan ke arah yang berbeza selepas berinteraksi dengan zarah yang terdapat dalam medium. Terdapat hukum yang mengawal fenomena serakan ini dipanggil serakan Rayleigh (Rayleigh’s scattering). Hukum ini menyatakan bahawa penyerakan cahaya adalah berkadar songsang dengan empat kuasa panjang gelombang cahaya (λ^−4).

Serakan Rayleigh dinamakan sempena nama ahli fizik British, Lord Rayleigh. Serakan Rayleigh juga menyebabkan mengapa langit kelihatan berwarna biru dan matahari kelihatan berwarna kuning.

Semua isyarat penting yang mesti menarik perhatian seseorang, seperti isyarat bahaya atau penggera, mesti menggunakan warna yang boleh dilihat dari jauh supaya orang ramai boleh diberitahu dan kemalangan dapat dielakkan. Oleh itu, kita memerlukan cahaya yang tidak banyak berselerak dan berada dalam julat yang boleh dilihat oleh manusia.

cahaya berselerak

Daripada spektrum elektromagnet, julat yang boleh dilihat oleh manusia dipanggil "julat penglihatan" cahaya atau "visible light". Julat ini bermula daripada warna biru (mempunyai panjang gelombang terendah) kepada warna merah (mempunyai panjang gelombang tertinggi). Panjang gelombang cahaya merah adalah kira-kira 620-750 nm.

Undang-undang serakan cahaya menyatakan bahawa panjang gelombang terpanjang akan mempunyai serakan cahaya paling sedikit. Merah memenuhi kedua-dua syarat ini. Pertama, ia tergolong dalam julat cahaya yang boleh dilihat manusia dan kedua, ia mempunyai panjang gelombang tertinggi, menjadikannya warna yang paling tidak berselerak.

Isyarat kecemasan atau penggera kita harus kekal sentiasa dapat dilihat walaupun jarak penglihatan persekitaran rendah. Penglihatan boleh terjejas dalam keadaan tertentu seperti kabus, hujan dan asap.

Memandangkan kita mahu isyarat mencapai jarak yang lebih jauh, ia mesti kurang berselerak. Agar ia kurang berselerak dan mudah melepasi kabus, asap, dan sebagainya panjang gelombang mestilah tinggi. Itulah sebabnya mengapa merah menjadi pilihan kerana ianya boleh dilihat jelas dari jauh dan dalam keadaan persekitaran yang kurang baik.

Kesan warna merah pada otak

warna merah

Terdapat satu kajian menarik yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Human Neuroscience yang mengaitkan warna merah untuk menarik perhatian dalam konteks emosi.

Tindak balas motor ialah tindak balas yang ditunjukkan oleh minda dan badan manusia sebagai tindak balas kepada sebarang jenis rangsangan. Dalam kajian yang dilakukan, melihat warna merah sejurus sebelum atau semasa tindak balas motor meningkatkan kekuatan dan halaju tindak balas.

Walau bagaimanapun, kajian lain mendapati bahawa melihat warna merah sebelum sesuatu tugasan sebenarnya menghalang tindak balas motor dan para penyelidik berpendapat bahawa perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh ketakutan yang timbul.

Lebih-lebih lagi, warna merah mempunyai ciri-ciri yang menimbulkan tindakbalas emosi. Hal ini disebabkan manusia cenderung untuk mengaitkan merah dengan emosi negatif yang membawa bahaya kerana ia adalah warna api, darah, kemarahan dan kadangkala haiwan berbisa atau berbahaya.

Oleh itu, minda manusia segera diaktifkan atau menjadi  lebih peka apabila ia melihat warna ini.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Science Focus
  3. Science Direct



Hakcipta iluminasi.com (2017)