Tengok sahaja daripada gambar koleksi logo popular di atas, mesti kita akan perasan terdapat 1 persamaan ketara antara kesemua logo popular tersebut. Warna merah yang digunakan!

Terdapat sebab anda tidak boleh menolak daripada melihat logo McDonald atau logo Coca Cola yang begitu menonjol. Apakah terdapat rahsia bagaimana logo kedua jenama besar ini begitu mudah menarik perhatian orang ramai yang melihatnya daripada jauh?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mereka berkongsi warna yang sama: merah. Itu bukan secara kebetulan. Menurut firma pemasaran digital WebpageFX, rang ramai hanya membuat pertimbangan dalam masa seminit setengah selepas melihat seseorang atau objek.

Dan sebanyak 90 peratus daripada kesan itu adalah berdasarkan warna sahaja. Setiap jenama menggunakan warna tertentu dalam logo atau iklan mereka untuk membangkitkan emosi dan perasaan yang menggalakkan orang ramai membeli, kata Emily Carter, penganalisis pemasaran web untuk WebpageFX.

Rahsia warna merah

rahsia logo mcdonalds

Mengapakah warna merah menjadi pilihan logo-logo jenama popular ini? Ya, terdapat sebab saintifik mengapa anda tidak dapat "mengelak" daripada melihat logo berwarna merah terang yang anda lihat di mana-mana.

Warna merah dikaitkan dengan peningkatan kadar denyutan jantung dan ia digunakan untuk mewujudkan rasa mendesak. Inilah sebabnya anda sering melihat tanda merah untuk jualan penghabisan stok yang menawarkan harga yang lebih murah. 

Dari aspek saintifik pula, reseptor cahaya di mata manusia sebenarnya  sangat sensitif kepada cahaya gelombang panjang, yang kita lihat sebagai merah. Terdapat insentif untuk membuat logo merah kerana merah adalah warna yang paling ketara antara kesemua warna yang ada.

Perkara ini diterangkan oleh Bevil Conway, ahli sains saraf dengan National Eye Institute. Beliau dan penyelidik lain telah mengkaji bagaimana warna diterjemahkan merentas bahasa. Daripada semua warna, di seluruh dunia, dalam semua bahasa dunia, penggunaan warna merah lebih efisien untuk tujuan komunikasi.

Warna boleh dikaitkan dengan kedua-dua emosi positif dan negatif, yang menggambarkan cara syarikat menggunakannya. Merah mungkin kelihatan seperti mesej "marah" dan agresif pada tanda berhenti, atau ia boleh menandakan cinta dan kasih sayang pada log hati. Tetapi ia sentiasa menonjol.

Membangkitkan rasa lapar

teori sos mustard

Mengapa begitu banyak restoran rantaian makanan segera menggunakan warna merah?

Selain daripada hanya menarik perhatian kita, warna merah merangsang selera makan dan membuatkan anda rasa kelaparan. Anda mungkin tidak menyedarinya, tetapi warna merah akan membuatkan anda ingin makan.

Warna merah dikatakan merangsang selera makan, dan ia digunakan oleh beberapa jenama restoran, makanan dan minuman seperti McDonald's, Coca-Cola, dan Kellogg's. Malah logo 7-Eleven juga turut mempunyai percikan warna merah.

Merah biasanya digandingkan dengan kuning dalam logo syarikat makanan segera untuk menambah rasa gembira dan selesa. Sesetengah profesional pemasaran telah melabelkan kejayaan pasangan merah dan kuning yang menarik sebagai "Teori Sos tomato dan Mustard." Melalui gabungan warna-warna terang ini, kita secara tidak sedar memikirkan tentang makan.

Penggunaan warna lain dan mesejnya

logo hijau

Anda mungkin berfikir bahawa tidak semua logo makanan segera berwarna merah dan kuning. Logo Starbucks, sebagai contoh. Jenama yang biasanya cuba mengiklankan diri mereka sebagai "sihat" dan "mesra alam" menggunakan ton Bumi seperti hijau.

Warna hijau mewujudkan perasaan santai dan alam semula jadi. Inilah sebabnya mengapa ia begitu popular di kalangan syarikat organik seperti Whole Foods, Morning Star dan Tropicana.

Anda jarang akan melihat penggunaan warna biru pada label makanan, kerana biru terbukti dapat "menyekat" selera makan. Biru ialah warna berkaitan produktiviti dan digunakan untuk mewujudkan rasa percaya pada jenama. Ini berlaku untuk logo seperti Ford, American Express dan Chase.

Mana-mana logo yang menggunakan merah jambu berkemungkinan menyasarkan wanita, kerana merah jambu paling berkait rapat dengan sifat feminin. Orang ramai melihat merah jambu sebagai warna "manis", itulah sebabnya anda mungkin melihat merah jambu pada logo pencuci mulut.

Terdapat kemeriahan kepada merah jambu yang memberikan imej bahawa jenama itu "seronok", seperti yang digunakan oleh Dunkin' Donuts, Barbie, Victoria's Secret dan Baskin Robbins.

Sebaliknya, warna seperti hitam dan ungu cenderung untuk menyampaikan mesej yang lebih serius, elegan dan mewah. Logo yang menggunakan warna ini mahu orang ramai tahu bahawa mereka mempunyai reputasi. Menggunakan warna-warna terang tidak akan menyampaikan eksklusiviti yang diharapkan oleh jenama ini.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)