Oleh pada 06 Dec 2023 kategori

Setiap kali timbul isu berkait kritikan terhadap acara seperti konsert, pasti wujud polarisasi masyarakat dalam melihat situasi yang timbul daripada dua perspektif berbeza.

Situasi sebegitu diburukkan lagi seandainya konteks agama Islam menjadi asas kepada perbalahan yang berlangsung, dengan ungkapan 'holier than thou' dilemparkan khusus untuk menggambarkan sekumpulan manusia yang didakwa 'berlagak suci.'

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ungkapan ini popular disebut atau digunakan, bukan? Sedar tak ungkapan ini atau terjemahannya 'lebih suci dari engkau' mempunyai sejarah yang panjang daripada aspek etimologi, penggunaan, makna dan aplikasinya.

Asalnya istilah 'holier than thou'

holier than thou

Ramai orang gemar menyebutnya, tetapi tidak ramai tahu dari mana datang ungkapan ini. Frasa 'holier than thou' sebenarnya berasal daripada petikan dalam kitab Bible versi King James, terkandung dalam bahagian Isaiah 65:5 yang berbunyi,

“Stand by thyself, come not near to me; for I am holier than thou” (Berdiri sendirianlah engkau, jangan mendekati aku; kerana aku lebih suci dari engkau.)

Frasa ini dalam bahasa Inggeris hanya mula digunakan secara rasmi dalam kitab Bible versi tersebut sekitar dekad 1880-an, diterjemah di Amerika Syarikat bagi merujuk kepada seseorang individu yang sombong kerana merasakan dirinya suci daripada kesalahan.

Dalam konteks ayat dalam kitab Bible asal, ayat 'holier than thou' berkait dengan peringatan Tuhan agar manusia menolak amalan ritual pagan, kerana pengikut kepercayaan ini mengangkat dewa-dewa pagan lebih suci daripada Tuhan.

Dan itu adalah satu perbuatan yang dilaknat.

Pengaplikasian dalam bahasa Inggeris moden

polis moral holier than thou

Dalam Bahasa Inggeris moden, penggunaan 'holier than thou' yang popular menyebabkan ungkapan ini diubahsuai pengguna sehingga membentuk ungkapan baru istilah, dikategorikan dari aspek bahasa sebagai 'snowclone.'

'Snowclone' adalah kategori frasa atau ungkapan yang membawa sifat cliche; mempunyai kerangka yang mudah berubah maknanya hanya dengan penggantian satu istilah sahaja.

Snowclone mula popular sekitar awal era milenium, diamalkan dalam penulisan berita dan artikel menerusi internet.

Antara varian 'snowclone' untuk 'holier than thou' yang wujud adalah 'lefter than thou' yang diamalkan bagi merujuk kepada individu berideologi atau berhaluan kiri yang ekstrim.

Ada juga varian 'holier than thou' yang berbunyi 'more Mao than thou', merujuk kepada individu yang mempunyai pandangan lebih ekstrim berbanding Mao Zedong, bekas pemimpin China yang pernah mengakibatkan kematian ramai rakyat akibat polisi kerajaan yang kurang cermat digubal sebelum dilaksanakan.

Walaupun berbeza, tema variannya jelas kekal sama seperti frasa asalnya. 'Holier than thou' digunakan merujuk kepada sifat seseorang yang berkelakuan seolah-olah mereka lebih mulia secara moralnya, walaupun mereka bukan sebaik yang mereka sangka.

Orang yang 'holier than thou' dianggap sebagai orang yang sombong, berlagak penuh kesucian dan tidak mempunyai kualiti moral yang lebih tinggi daripada orang lain.

Frasa ini juga digunakan untuk mengkritik seseorang yang gemar menghakimi orang lain dan mengamalkan sikap talam dua muka.

Sesuaikah anda amalkan petikan Bible ini?

holier than thou makna dan sejarah

Pada zaman kontemporari seperti yang telah kita saksikan sendiri, walaupun diambil daripada kitab Bible, frasa 'holier than thou' sudah digunakan dalam pelbagai konteks berbeza - tidak lagi terhad kepada kepercayaan masyarakat Kristian semata-mata.

Penggunaaanya mungkin secara am sudah diterima untuk menggambarkan rasa kurang senang kita terhadap seseorang yang merasakan diri mereka lebih 'beragama' dan memiliki kualiti moral yang lebih baik daripada orang lain, disebabkan pilihan peribadi mereka.

Holier than thou juga sering digunakan dalam karya sastera dan media untuk menggambarkan watak dengan sikap yang sombong, yang merasakan kedudukan mereka lebih mulia dan tinggi.

Penggunaan istilah 'holier than thou' dalam bentuk tulisan dan lisan, khususnya tulisan atas tujuan mengkritik orang lain, memang akan meninggalkan impak yang kuat kepada imaginasi pembaca.

Namun persoalan yang ingin kami tinggalkan, adakah penggunaannya sesuai untuk anda, selepas anda tahu asal-usulnya?

Sekiranya anda bukan penganut agama Kristian; selesakah anda menggunakan petikan kitab Bible untuk melabelkan orang lain yang mungkin tidak sependapat dengan pandangan anda? Nyatakan pandangan anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)