Setiap bahasa ada istilah atau perkataan yang digunakan khusus untuk tujuan cercaan, yang dituju kepada pihak lain.
Bagi bahasa Melayu, kisahnya serupa walaupun orang Melayu dikatakan mempunyai ketinggian adab dan kesopanan tutur kata dan bahasa. Cacian orang Melayu yang tradisional, biasanya berlapik, sinis tetapi tidak menyakitkan hati.
Namun ada situasi memerlukan seseorang terus memaki dalam bahasa Melayu yang tak sopan dengan menggunakan istilah kurang enak didengar.
BESARKAN TEKS A- A+
Persoalannya - adakah penggunaan istilah kurang enak ini benar-benar kena pada tempatnya dari aspek laras bahasa atau sebenarnya menyimpang jauh dari makna asalnya?
1. Barua
'Barua' merupakan satu perkataan yang sebenarnya SANGAT KASAR maksudnya, tetapi sering digunakan di kalangan penutur bahasa Melayu bukan?
Istilah ini sebenarnya membawa makna seseorang yang menjadi orang tengah agar hubungan terlarang di antara seorang wanita dengan lelaki bukan mahram boleh berlaku.
Situasi ini juga boleh terpakai sekiranya orang itu menjadi perantara antara seorang pelanggan dengan seorang pelacur, di mana dia yang melakukan rundingan agar kedua-duanya dapat bersama.
2. Bangsat
'Bangsat' terkenal sebagai istilah cacian dalam masyarakat kita merujuk orang yang bersifat jahat.
Satu makna berbeza bangsat yang jarang disebut, merujuk kepada tindakan seseorang mahu keluar mengembara. Jika seseorang itu hendak keluar mencari peluang di tempat lain - kita boleh merujuk dia dengan frasa dia akan pergi membangsat.
'Bangsat' juga merujuk kepada sejenis kutu yang dikatakan mempunyai bau yang sangat busuk, dikenali dengan nama kutu busuk atau 'bangsat.'
3. Sundal
'Sundal' biasanya digunakan untuk tujuan memalukan seorang wanita yang suka menjual maruah diri, sama ada bersifat terlalu gatal dengan lelaki atau lebih parah suka menyerahkan diri sendiri secara sukarela.
Tidak ramai yang tahu dalam bahasa kita, istilah 'sundal bolong' memang benar-benar wujud, diguna bagi merujuk kepada makhluk ghaib sama ada dari jenis pontianak atau langsuir.
Janganlah pula anda teringin melakukan aktiviti persundalan dengan sundal bolong pula ya.
4. Jahanam
Walaupun penggunaannya telah divariasikan kepada bermacam makna, khususnya merujuk kepada sesuatu tahap kerosakan yang berlaku atau mengharapkan sesuatu yang buruk berlaku kepada pihak lain - asal istilah 'jahanam' yang sebenar-benarnya memang paling menakutkan antara semua.
'Jahanam' datang daripada nama neraka yang dijadikan tempat di mana manusia yang tidak mematuhi perintah Allah swt. dalam aspek kepercayaan Islam, akan dihantar - itulah makna asalnya.
Sekiranya anda berkata 'pergi jahanam la kau!' kepada orang lain, perbuatan itu bolehlah dilihat seolah-olah anda mengharapkan dia ke neraka.
5. Lahabau
'Lahabau kau!'
Itu antara dialog yang sering diungkapkan dalam skrip drama komedi tempatan atau dalam persembahan komedi langsung yang popular di negara kita.
Apa makna 'lahabau' ini? Bunyinya agak melucukan bukan?
'Lahabau' jika ditujukan kepada seseorang, menandakan seseorang itu dianggap tidak berguna dan tak boleh diharap dalam segala perbuatan. Istilah sinonim 'lahabau' adalah 'haprak.'
Kalau ada mak ayah gelarkan anak mereka lahabau haprak, itu satu petanda anak itu memang tidak boleh diubati lagi perangainya.
6. Hawau
Tersenyum besar penulis ketika mengetahui di Melaka, ada usahawan makanan burger menamakan perniagaan beliau sebagai 'Burger Hawau.'
Jika kita rujuk kamus, maknanya samalah seperti menakan jualan burger kita dengan nama 'Burger Celaka' kerana 'hawau' sama ertinya dengan celaka.
Bagaimanapun 'hawau' cukup popular penggunaannya dinegeri itu, sehinggakan ramai menggunakannya tanpa segan silu. Jadi hanya di Melaka saja 'Burger Hawau' boleh berlaku.
Mungkin kerana itulah ramai orang Melaka seakan-akan bangga mulut mereka dikatakan kasar, berbanding rakyat negeri lain.
7. Bongok
Kita semua tahu 'bongok' merujuk kepada bodoh, jadi seseorang yang bongok menandakan dia adalah seorang yang bodoh.
Penulis ada seorang kenalan yang gemar menggunakan istilah ini dalam perbualannya.
Apa yang mungkin dia tak tahu, 'bongok' juga merujuk kepada bentuk tubuh seseorang yang besar dan gemuk serta berketinggian rendah. Kebetulan pula dia pun gemuk dan rendah menandakan dia seorang 'bongok.'
Mungkin kerana itulah dia sering menyebutnya.
8. Keparat
Jika anda tahu makna sebenar 'keparat' kami yakin anda akan berhenti menujukannya kepada orang lain.
'Keparat' bukanlah makian atau cacian berbentuk biasa, sebaliknya berkait dengan elemen agama. Makna utama 'keparat' adalah mereka yang kafir dan juga tidak bertuhan.
Marilah kita sama-sama berhati-hati dalam menggunakan istilah ini melainkan anda benar-benar mahu menggunakannya bagi menggelarkan seseorang yang tidak bertuhan secara benar seperti seorang ateis. Mereka memang seorang keparat.