Oleh pada 27 Jul 2021 kategori

Peribahasa merupakan satu kaedah penulisan yang mampu meringkaskan penjelasan sesuatu perkara, dalam cara yang ringkas.

Mudah difahami serta popular penggunaannya, beberapa peribahasa seringkali diulang-ulang ekoran situasi yang sama selalu berlaku. Tetapi di kalangan pengguna peribahasa yang ada, ada yang menggunakannya tanpa faham apa makna istilah dalam peribahasa itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita faham makna peribahasa, tetapi masih ramai yang tak jelas bagaimana peribahasa itu terbentuk. Berikut adalah 7 istilah yang selalu kita sebut, tetapi besar kemungkinan kita tak faham.

1. Maksud tengadah

tengadah peribahasa pandang atas

Diambil daripada 'sudah terhantuk, baru nak tengadah.'

Istilah 'tengadah' membawa makna memandang ke atas. Janganlah dikelirukan pula dengan perbuatan tunduk ya. Peribahasa itu membawa maksud seseorang yang dah terhantuk, baru lah nak memandang ke atas - bukan baru nak tunduk.

Tengadah dieja tanpa huruf R. Ramai sekali melakukan kesilapan mengeja tengadah sebagai 'terngadah' kerana menyangkakan 'te' itu adalah imbuhan. 'Tengadah' adalah satu istilah penuh. Sekiranya ditambahkan imbuhan, bunyinya akan jadi 'menengadah.'

2. Istilah dipipiskan

dipipiskan lada

Diambil daripada 'burung masih terbang, sudah dipipiskan lada.'

Membawa makna berangan memiliki sesuatu sebelum benar-benar memperolehinya, peribahasa ini menyatakan perbuatan seseorang yang sudah bersedia dengan lada/cili yang sudah dipipis atau digilingkan - sebelum burung yang ingin dimasak ditangkap lagi.

'Pipis' adalah istilah di mana seseorang menggiling atau melumatkan sesuatu, dengan menggunakan alatan tradisional seperti batu giling. Selain cili atau lada, rempah serta bahan masakan juga boleh dipipiskan.

3. Pegar atau Pagar?

harapkan pagar makan padi burung pegar

Diambil daripada 'harapkan pagar, pagar makan padi.'

Kekeliruan berkenaan peribahasa ini tampak sukar untuk ditemui kebenarannya, sedangkan secara logiknya mana boleh 'pagar makan padi.'

Peribahasa didakwa adalah 'harapkan pegar, pegar makan padi' yang merujuk kepada sejenis spesis burung dalam keluarga pegar. Terdapat beberapa jenis burung pegar yang ada iaitu pegar pial panjang, pegar bertam dan pegar tatera.

Namun ada pihak juga mengatakan berdasarkan ejaan asal perkataan 'pagar' itu dalam tulisan Jawi memang berbunyi 'pagar', jadi perkara sebenar yang dirujuk adalah pagar yang dipasang oleh petani untuk melindungi kawasan sawah mereka.

Menurut penerangan rasmi DBP sendiri, peribahasa yang betul setakat ini secara rasmi adalah 'harapkan pagar, pagar makan padi'. Bukan berkait burung pegar seperti yang sering tular di internet.

Dalam manuskrip peribahasa melayu lama juga menggunakan ejaan jawi pa alif ga ro yang membawa sebutan yang betul adalah pagar. 

4. Maksud pupuk jerangau

pupuk jerangau

Diambil daripada 'masih berbau pupuk jerangau'

Membawa makna seseorang yang masih mentah atau belum ada pengalaman hidup, peribahasa ini mempunyai dua perkataan yang kurang kita kenali iaitu 'pupuk' dan 'jerangau.'

'Pupuk' sebenarnya mewakili bahan berbentuk organik yang digunakan sebagai penyubur atau baja sesuatu tumbuhan, bagi membolehkan tumbuhan itu membesar dengan sihat.

'Jerangau' pula adalah sejenis tumbuhan herba yang akarnya digunakan sebagai ubat oleh masyarakat Melayu satu masa dahulu.

Pokok jerangau muda masih memerlukan pupuk ditaburkan, memberikan inspirasi masyarakat terdahulu mengkiaskan pengetahuan dan pengalaman seseorang dalam bentuk yang sangat mendalam.

5. Maksud mata keranjang

mata keranjang

Semasa kecil, penulis selalu pelik kenapa mata keranjang dikritik sebagai lelaki gatal. Apa salah ke suka sukan bola keranjang?

Sebenarnya, 'keranjang' merujuk kepada sejenis bakul yang dianyam serta mempunyai rongga-rongga daripada bahan buluh atau rotan yang digunakan untuk menyimpan atau mengangkut barangan.

Besar kemungkinan masyarakat kita terdahulu menyamakan mata seorang lelaki yang gatal sebagai mata keranjang, kerana mata lelaki itu tidak mampu tertutup apabila melihat perempuan cantik sama seperti keranjang yang dianyam.

6. Maksud ruyung

ruyung sagu

Diambil daripada 'kalau tak pecah ruyung, manakan dapat sagunya.'

Ruyung dalam peribahasa ini merujuk kepada bahagian batang pokok sagu, yang diakui cukup kuat dan keras.

Tergolong dalam keluarga pokok palma, nama saintifik bagi pokok sagu ini adalah metroxylon sagu yang hanya boleh didapati di kawasan Asia Tenggara.

Proses untuk menghasilkan sagu memerlukan individu mahir membahagikan batang pokok sagu kepada beberapa ruyung sagu yang telah ditebang, bagi membolehkan ruyung itu dikopek lapisan kulitnya yang kuat agar isi dalamnya yang berwarna kekuningan kelihatan.

7. Makna pekung

carbuncle pekung

Diambil daripada 'seperti membuka pekung di dada'

Majoriti penutur bahasa Melayu pasti tahu 'pekung' merujuk kepada sesuatu perkara aib atau rahsia yang perlu dilindungi, mampu memalukan seseorang sekiranya perkara itu dibongkarkan

Tetapi tidak ramai yang sedar makna pekung sebenarnya merujuk kepada sejenis penyakit kulit apabila kulit seseorang mempunyai dua atau lebih nanah yang membentuk kelompok bisul besar di kulit.

Dalam bahasa Inggeris, pekung diistilahkan sebagai 'carbuncle' atau 'cluster of boils.' Dalam bahasa kita, kluster nanah inilah yang digelarkan sebagai pekung.

Yang penting harus kita ingat, membuka pekung orang baik secara fizikal ataupun mental adalah satu perbuatan yang tak baik ya!




Hakcipta iluminasi.com (2017)