Banyak pihak meletakkan kemampuan untuk berbahasa Inggeris dengan baik, sebagai penanda aras intelek seseorang.
Walaupun kami sangat kurang bersetuju dengan pendapat tersebut, kami tidaklah pula hendak menafikan kepentingan kebolehan berbahasa Inggeris sepatutnya perlu dimiliki oleh setiap individu rakyat Malaysia.
Ini kerana bahasa Inggeris layak diletakkan sebagai bahasa standard dalam pendidikan di seluruh dunia, jadi mereka yang mahir menulis serta memahami bahasa Inggeris mempunyai akses kepada ilmu yang cukup banyak untuk mereka terokai.
BESARKAN TEKS A- A+
Untuk hari ini, mari kita belajar serba sedikit tentang beberapa fakta menarik berkenaan bahasa Inggeris yang kami pasti akan membuatkan anda berkata 'wow!'.
Apakah ayat lengkap paling pendek dalam bahasa Inggeris?
Untuk membicarakan tentang frasa paling pendek dalam bahasa Inggeris, wujud dua kategori yang berbeza.
Yang pertama adalah perkataan lengkap terpendek dari segi bilangan huruf. 'Go' merupakan ayat dalam bahasa Inggeris terpendek setakat ini, melainkan ada individu mencipta ayat menggunakan satu huruf sahaja.
Sementara itu ayat paling pendek yang dibentuk tanpa penggunaan istilah penuh bersifat elipsis serta mempunyai tatabahasa yang betul adalah 'I am.'
Apakah perkataan Inggeris tertua yang masih digunakan?
Kajian yang dijalankan sekumpulan penyelidik dari University of Reading, UK berjaya mengenalpasti 23 istilah tertua dalam bahasa Inggeris yang masih kekal maknanya serta bersifat universal, turut sama digunakan dalam beberapa bahasa lain dengan makna serupa.
Kumpulan 23 perkataan itu yang dikategorikan sebagai 'ultraconserved word' dilaporkan mempunyai sejarah selama lebih 15,000 tahun lamanya - mengalami perubahan dari segi cara penulisan dan sebutan namun mengekalkan makna rujukannya sejak mula.
23 perkataan itu adalah 'thou, I, not, that, we, this, what, man, male, ye, old, mother, hear, hand, fire, to pull, black, to flow, bark, ashes, to spit dan worm.
Apakah satu perkataan paling panjang dalam bahasa Inggeris?
Jika 'go' merupakan perkataan paling ringkas, perkataan paling panjang dalam bahasa Inggeris adalah 'pneumonoultramicroscopicsilicovolcanoconiosis.'
Pneumonoultramicroscopicsilicovolcanoconiosis adalah istilah jangkitan ke atas paru-paru seseorang, selepas seseorang individu itu terhidu partikel-partikel silika yang mengakibatkan masalah pernafasan pada seseorang.
Cubalah sebut istilah perubatan itu kalau anda nak cuba. Mampu tak anda sebut dengan lancar?
Cubaan menulis angka dengan perkataan
A dan B merupakan dua huruf terawal dalam susunan abjad bahasa Inggeris. A juga adalah huruf vowel yang sangat am digunakan dalam pembentukan ayat-ayat.
Tahukah anda, sekiranya anda menulis nombor dalam bentuk perkataan, yakni 'one, two, three, four..' dan seterusnya, anda hanya akan menggunakan huruf A apabila anda perlu menulis frasa 'one thousand.'
Sementara huruf B pula hanya akan anda gunakan kali pertama, apabila anda sudah mengira sehingga 'one billion.'
Apakah perkataan bahasa Inggeris paling kompleks dari segi makna?
Agak sukar untuk menjawab soalan ini disebabkan oleh wujud dua pendapat berbeza.
Banyak pihak bersetuju bahawa istilah 'set' merupakan perkataan paling kompleks, mampu membawa lebih 430 makna dan penggunaan dalam kaedah yang berbeza; seperti 'set the table' atau 'bring your toolset' atau 'we will set the date' serta banyak lagi.
Namun evolusi istilah 'run' menjadikan istilah tersebut sebagai perkataan paling banyak makna dalam bahasa Inggeris, dengan lebih 645 makna dan tatacara penggunaan berbeza keseluruhannya.
Anda boleh menggunakan 'run' dalam terlalu banyak cara, seperti 'I run today,' 'keep the engine running,' 'he was run down by the bull', 'he runs into massive debt' dan pelbagai lagi cara penggunaan istilah sama yang membawa maksud berlainan, setiap kali penggunaannya.
Apakah perkataan Inggeris terpanjang yang tidak mengulangi penggunaan huruf?
Subdermatoglyphic!
Istilah tersebut dibentuk dengan 17 huruf kesemuanya, tanpa mempunyai penggunaan huruf yang sama walau sekali pun.
Dikategorikan sebagai 'isogram' (perkataan tanpa huruf berulang) terpanjang dalam bahasa Inggeris, subdermatoglyphic merujuk kepada bahagian kulit yang berada di bawah kuku kita.
Apakah perkataan Inggeris yang mengandungi huruf X, Y dan Z serentak dalam satu perkataan?
Di antara kesemua perkataan dan frasa dalam bahasa Inggeris, hanya wujud 22 perkataan yang menggunakan huruf X, Y dan Z serentak dalam pembentukannya. Antaranya adalah DEOXYGENIZE, OXYGENIZER, EXOENZYME, ZANTHOXYL dan ZOOTAXY.
Namun hanya perkataan HYDROXYZINE menjadi satu-satunya perkataan yang mempunyai susunan huruf X, Y dan Z mengikut susunannya yang sebenar.
Kami berharap agar anda mendapat manfaat daripada perkongsian ini. Jika ada perkara menarik berkaitan yang ingin anda kongsikan, jangan malu-malu nak suarakan dalam ruangan komen kami ya!