Oleh pada 03 Jul 2019 kategori

Bahasa Arab merupakan antara salah satu bahasa yang paling banyak diambil istilah di dalamnya untuk diterjemahkan atau disesuaikan dengan bahasa lain.

Bahasa kita sendiri, iaitu bahasa Melayu merupakan amalgamasi pelbagai bahasa dengan bahasa Arab menjadi salah satu bahasa paling banyak menyumbang kepada koleksi tatabahasa kita. Bagaimana pula dengan bahasa Inggeris? Adakah bahasa Inggeris banyak meminjam daripada bahasa Arab?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebenarnya banyak dan kami anggarkan lebih banyak berbanding bahasa Melayu. Betul ke ni? Betul. Jom kami kongsikan 8 istilah Inggeris yang sebenarnya berasal daripada istilah Arab - yang anda mungkin tak sangka asal-usulnya.

1. Alcohol/Alkohol

alcohol alkohol alkuhl

Siapa sangka, bahan alkohol memabukkan yang menjadi bahan terlarang untuk diminum di kalangan umat Islam, istilah Inggerisnya datang daripada bahasa Arab. Asal-usul perkataan ini dalam bahasa Arab agak rumit. Perkataan asalnya adalah 'kahala' yang merujuk kepada perbuatan menghitamkan mata dengan sejenis serbuk berwarna hitam, sebagai celak mata.

Untuk mencelakkan mata, orang Arab menggunakan sejenis serbuk yang dinamakan 'kuhl' jadi mereka menamakan serbuk itu 'al-kuhl' ('serbuk hitam itu'). Istilah itu terus digunakan bagi oleh orang barat bagi merujuk kepada proses penghasilan serbuk daripada cecair sehingga abad ke 18, sebelum istilah 'alcohol' mula digunakan bagi menggambarkan bahan memabukkan yang terkandung dalam penghasilan wain.

2. Coffee/Kopi

kopi kahve coffee

Minuman kegemaran penulis ini memang sebenarnya berasal daripada pokok-pokok kopi yang ditanam di kawasan Arabia. Kita semua tahu kan salah satu biji kopi terkenal adalah biji kopi Arabica? Bagi merujuk kepada biji kopi itu, orang Arab menggelarkannya sebagai 'qahwah' merujuk kepada kawasan asal biji kopi ditanam iaitu Keffa, yang kini terletak di negara Ethiopia.

Perkataan 'qahwah' seterusnya dipinjam oleh orang Turki menjadi 'kahve', sebelum orang Belanda menukarkannya menjadi 'koffie' dan seterusnya tersenarai dalam kamus bahasa Inggeris pada tahun 1582 sebagai 'coffee.'

3. Syrup/Sirap

sirap shrub sharab

Istilah 'syrup' atau sirap yang merujuk kepada cecair gula yang pekat juga datang daripada bahasa Arab! Asalnya, perkataan 'shariba' digunakan sebagai kata kerja seseorang yang sedang minum dengan penggunaan istilah 'sharab' pula merujuk kepada apa yang diminumnya.

Perkataan ini kemudiannya diambil ke dalam bahasa Latin sebagai 'syrupus' tanpa mengalami perubahan makna. Daripada bahasa Latin, istilah ini berkembang ke bahasa Perancis lama dengan perbezaan ejaan 'sirop' dan akhirnya digunakan oleh orang Inggeris sebagai 'syrup' pada penghujung abad ke 14.

4. Adobe

adobe attubi batu lumpur

Pengguna perisian komputer pasti mengenali perkataan ini kan? 'Adobe' merupakan jenama yang sangat terkenal dalam perisian grafik komputer, tetapi tahukah anda perkataan 'Adobe' itu adalah pengambilan terus daripada bahasa Arab? Sebutannya dalam bahasa Arab berbeza sedikit dengan bunyi 'a-duu-bi.'

Diambil daripada perkataan Mesir kuno yang merujuk kepada bata lumpur yang dikeringkan dengan matahari, perkataan itu akhirnya diterjemahkan ke dalam bahasa Arab sebagai 'at-tawbu' sebelum orang Sepanyol meminjam istilah itu, menukarkannya menjadi 'a-dobe' tanpa perubahan makna.

5. Magazine/majalah

majalah magazine makhazin

Tak sangka kan istilah 'magazine' yang sangat popular sebenarnya datang daripada bahasa Arab? Istilah 'magazine' datang daripada istilah Arab 'makhazin' yang bermakna beberapa 'ruang storan' atau 'tempat stor' di mana barang-barang akan ditempatkan. 'Makhzan' datang daripada kata kerja 'khazana' yang bermakna 'menyimpan.'

Istilah 'makhazin' kemudiannya dipinjam oleh orang Itali, menukarkannya kepada istilah 'magazzino' yang mengekalkan maksud asalnya, sebelum orang Perancis meminjam lagi menukarkannya kepada 'magasin.' Istilah 'magazine' mula merujuk kepada majalah yang dibaca setelah sebuah penerbitan yang memaparkan rekod senarai ketenteraan yang disimpan di dalam stor untuk kemudahan rujukan pihak tentera, dinamakan sebagai 'The Gentleman's Magazine.' Sejak itu 'magazine' kekal diubah makna asalnya.

6. Safari

safari perkataan inggeris dari arab

Perkataan 'safari' kini merujuk kepada kawasan hutan yang selamat untuk kita kunjungi, sebagai satu aktiviti pelancongan. Bagaimanapun, asal-usul perkataan ini datang daripada perkataan Arab 'safar' yang membawa erti 'satu perjalanan.'

Perkataan 'safar' dipinjam oleh masyarakat Afrika khasnya orang Swahili yang menukarkan ejaannya menjadi 'safari' tanpa mengubah maknanya. Hanya pada abad ke 19, orang Inggeris menggunakan perkataan ini dengan makna asalnya, sebelum 'safari' berkembang maknanya - merujuk kepada taman safari (taman di mana berlakunya aktiviti perjalanan atau ekspedisi) dan juga pakaian safari (pakaian yang sesuai untuk perjalanan jauh.)

7. Traffic/trafik

traffic tafriq

Perkataan 'traffic' setakat ini mempunyai dua sumber asal. Yang pertama daripada perkataan Latin 'transfricare' yang membawa makna melintas sesuatu, sebelum dipinjam oleh bahasa Itali menjadi 'traffico' dan Perancis 'trafique.'

Bagaimanapun ada juga pendapat mengatakan perkataan 'traffic' sebenarnya berasal daripada perkataan Arab 'tafriq' yang membawa pelbagai maksud, bergantung kepada konteksnya. 'Tafriq' boleh membawa makna memisahkan, menyebarkan, memecahkan atau meleraikan. Sedikit sebanyak ini agak selari dengan penggunaan istilah 'traffic' pada hari ini bukan?

8. Mattress/Tilam

tilam mattress

Perkataan terakhir yang berada dalam senarai kami kali ini, adalah apa yang kita selalu rujuk sebagai tilam atau 'mattress.' Perkataan ini telah melalui evolusi yang sangat panjang, dipinjam daripada istilah 'al-matrah' yang bermakna sesuatu hamparan atau kain di mana seseorang berbaring di atasnya. 'Al-matrah' diambil daripada kata kerja 'taraha' yang bermakna 'meletakkan di atas lantai.'

Istilah itu kemudiannya dicedok ke bahasa Latin menjadi 'matracium', Itali 'materasso', Peranics 'materas' sebelum sampai ke bahasa Inggeris sebagai 'materace' sekitar abad ke 13. Pada abad ke 15, perkataan itu ditambah baik ejaannya menjadi 'mattress'.

Suka artikel seperti ini? Ketahui pula 8 istilah bahasa Melayu yang dipinjam oleh bahasa Inggeris yang ramai tak menyedarinya berlaku.




Hakcipta iluminasi.com (2017)