Oleh pada 18 Nov 2022 kategori

Perbuatan jenayah merupakan perbuatan tidak bermoral dilakukan segelintir individu, untuk tujuan tertentu yang biasanya didorong kepentingan diri sendiri.

Ekoran daripada kemahuan songsang manusia yang malangnya ada pelbagai, kategori-kategori jenayahdilakukan seseorang juga ada banyak. Rompakan, ugut, pecah rumah, penculikan dan sebagainya adalah antara  jenis jenayah yang sering berlaku.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita di Malaysia walaupun mengamalkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sama kerap merujuk jenayah berdasarkan istilah Inggeris yang ada. Pernahkah anda terfikir bagaimana istilah-istilah ini mula digunakan untuk tujuan tersebut?

1. Assault and Battery 

assault and battery serangan fizikal

'Assault' adalah istilah mewakili perbuatan menyerang atau melakukan kekerasan ke atas seseorang secara fizikal, boleh berlaku sama ada dirancang atau tidak dirancang.

Bagaimanapun maknanya agak bercampur baur. Seperti di Amerika Syarikat, sebarang bentuk jenayah yang dikategorikan sebagai 'assault' akan dibahagikan kepada dua jenis; sama ada 'assault' dan 'assault and battery.'

Dua kategori ini perlu diwujudkan kerana dalam aspek makna, 'assault' yang diambil daripada istilah Latin 'adsaltus' ('melakukan perbuatan yang mengejutkan') tidak khusus merujuk kepada perbuatan fizikal yang menyentuh orang lain.

Sebaliknya maknanya lebih kepada perbuatan mengancam orang lain tanpa perlu ada serangan fizikal. 'Battery' dalam istilah ini merujuk khas kepada 'serangan fizikal secara keras', diambil daripada istilah Perancis 'batterie' yang membawa makna 'memukul.'

Secara universalnya ya kita tahu assault bererti menyerang, tetapi ada juga negara yang mentafsirkannya secara berbeza ya!

2. Burglary

pencuri mcdonalds

'Burglary' yang membawa makna 'perbuatan memecah masuk kediaman orang lain', diambil daripada istilah 'burglar' atau 'individu yang memecah masuk kediaman orang lain.'

Istilah ini sebenarnya terbentuk daripada istilah Latin 'burgus' yang membawa makna istana atau kubu, digunakan di sekitar Jerman. Apabila seseorang individu melakukan kesalahan memecah masuk ke dalam 'burgus', orang itu akan digelarkan sebagai 'burgator.'

Istilah itu kemudiannya dipinjam orang Inggeris, ditulis sebagai burglator sebelum dipermudahkan ejaannya kepada 'burglar' sekitar pertengahan abad ke 16.

3. Robbery

robbery rompakan bersenjata

'Robbery' atau rompakan merupakan satu insiden yang menakutkan bagi mereka yang pernah melaluinya.

Istilahnya diperkenalkan di kalangan penutur bahasa Jerman lama sebagai 'roubon' merujuk kepada perbuatan mengambil sesuatu barang tanpa kebenaran, sebelum dipinjam orang Perancis yang menukarkannya menjadi 'rober.'

'Rober' di kalangan orang Perancis mempunyai makna lebih luas, turut mewakili perbuatan tidak elok lain bukan saja merompak - bahkan merangkumi mencuri, merampas harta orang dan merogol.

Orang Inggeris meminjamnya dan menukarkan ejaannya kepada 'robben', mengecilkan maknanya hanya kepada perbuatan merompak barangan seseorang tanpa kebenaran. Sekitar abad ke 12 mereka menukarkan ejaannya kepada hanya 'rob' bagi merujuk perbuatan sama.

Besar kemungkinan, mitos masyarakat barat berkenaan watak Robin Hood sebenarnya datang daripada istilah 'robben' kan? Kita selama ini menyangkakan wataknya memang bernama Robin tetapi entah-entah nama itu terkenal kerana dia 'perompak yang berselubung.' Ini andaian kami ya!

4. Bribery

masalah rasuah bribe

Walaupun kita mengetahui 'bribe' merujuk kepada perbuatan rasuah atau memberi duit kopi, asal-usul istilah ini tidak berkait dengan perlakuan tersebut.

'Bribe' sebenarnya terlebih dahulu merujuk kepada golongan pengemis di Eropah seperti yang digunakan di Sepanyol dengan gelaran 'briba' atau Itali 'birbone.'

Masyarakat Perancis meminjam istilah ini, menukarkannya kepada bribe bagi merujuk kepada pemberian cebisan roti oleh orang ramai kepada pengemis tepi jalan.

Daripada istilah Perancis inilah istilah Inggeris terbentuk, merujuk kepada pemberian seseorang kepada orang lain yang meminta.

Ejaannya kekal seperti yang istilah Perancis tetapi maknanya diperkembangkan bagi meliputi bukan saja pengemis, malahan merujuk kepada mana-mana golongan individu yang meminta-minta hadiah atau sumbangan yang bukan hak mereka.

5. Kidnap

cubaan culik kidnap malaysia

Kami cukup tertarik dengan istilah ini, kerana dua suku katanya mempunyai makna 'kanak-kanak + tidur.' Adakah ia memang berkait? Ya!

'Kid' dalam istilah 'kidnap' merujuk kepada golongan kanak-kanak kecil atau bayi.

Suku kata 'nap' pula datang daripada istilah 'nab' yang diperkenalkan ke dalam daftar kata bahasa Inggeris sekitar penghujung abad ke 17, merujuk kepada perbuatan 'menangkap atau menyambut seseorang secara pantas dan segera'.

Istilah ini dipercayai datang daripada istilah dialek masyarakat Scandinavia 'nappe' yang membawa makna 'merampas atau menarik sesuatu.'

Anehnya, istilah 'kidnapper' dipercayai muncul dahulu di kalangan penutur bahasa Inggeris merujuk kepada individu penculik, sebelum istilah itu diambil asas perkataannya bagi membentuk perkataan 'kidnap' yang mewakili perbuatan menculik.

6. Trafficking

mangsa human trafficking

Ini adalah istilah yang sangat digeruni sebahagian besar masyarakat dunia. Kita di Malaysia pun sudah kedengaran banyak kes warganegara kita menjadi mangsa 'human trafficking' sehingga dipaksa menjadi pekerja tanpa gaji di negara luar.

Kenapa kita gelarkan perbuatan menculik dan menyeludup sesuatu atau seseorang, sebagai 'trafficking'?

Istilah 'trafficking' realitinya langsung tidak berkait dengan tindakan jenayah, diambil daripada istilah 'traffic' yang bererti 'aktiviti perdagangan merentasi sesuatu kawasan yang besar.'

Istilah ini hadir daripada istilah Arab 'tafriq' yang membawa makna 'mengedarkan sesuatu ke kawasan berbeza.' Masyarakat Inggeris mula menggunakan istilah 'traffic' pada awal abad ke 16, bagi merujuk kepada perbuatan perdagangan yang sah.

Bagaimanapun disebabkan populariti penggunaan istilah 'trafficking' bagi merujuk aktiviti penyeludupan secara haram, malangnya penggunaan sebenar istilah ini telah tenggelam.

Sehinggakan ramai akan memandang serong seseorang sekiranya dia mengaku dia bekerja sebagai seorang 'trafficking officer' di pelabuhan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)