Oleh pada 04 Mar 2020 kategori

Ada kalanya dalam kehidupan seharian kita, kita sudah terbiasa menggunakan istilah-istilah yang kita dengari kerana semua orang menggunakannya.

Bagaimanapun, anda percaya tak - kadangkalanya sesuatu yang kelihatan tiada apa-apa kesalahan serta pada dasarnya mempunyai makna yang baik; sebenarnya mempunyai asal-usul dan sebab yang kurang enak.

Pernahkah anda menggunakan 5 istilah ini dalam kehidupan anda? Sedarkah anda, apa yang ada ucapkan itu sebenarnya mempunyai sejarah buruk bagaimana ayat tersebut diciptakan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. 'Rule of thumb'

sejarah frasa rule of thumb

'Rule of thumb' merupakan frasa yang akan kita gunakan apabila kita mahu merujuk kepada sesuatu peraturan, kaedah atau cara yang dirasakan paling sesuai untuk melakukan sesuatu perkara atau perbuatan. Tetapi dari mana asalnya frasa ini?

Jangan terkejut pula jika kami ceritakan - 'rule of thumb' sebenarnya datang daripada hikayat berkenaan satu bentuk undang-undang yang diamalkan di England. Dikatakan bagi menangani masalah disiplin di kalangan isteri, golongan suami dibenarkan memukul isteri mereka dengan kayu; asalkan kayu itu lebih kecil berbanding ibu jari suaminya sekitar abad 17.

Bagaimanapun, kesahihan kisah ini dipertikaikan kerana tiada bukti hakim yang dikatakan memulakan undang-undang ini, Sir Francis Buller memperkenalkan syarat ini di mahkamah. Walau demikian, sesuatu yang tidak dapat dinafikan - memang pada era tersebut, golongan suami di Britain gemar memukul isteri mereka sekiranya berlaku sebarang pelanggaran peraturan rumah tangga.

2. 'Hysteria'/Histeria

histeria makna buruk

Pasti anda selalu mendengar perkataan ini disebutkan bukan? Kita tahu 'histeria' merujuk kepada kondisi seseorang yang hilang kawalan diri, sehinggakan dia mampu membuat perkara-perkara luar kawal tanpa sedar. Sama ada bersifat pasif atau agresif, terpulang kepada jenis gangguan yang melandanya.

Kenapa histeria kerap dikaitkan dengan golongan wanita? Ini kerana 'histeria' sebenarnya adalah kata pinjaman daripada kata akar dalam bahasa Latin, 'hustera' yang membawa makna rahim, organ dalam tubuh wanita. 'Husterikos' pula adalah istilah asal 'histeria' yang merujuk kepada 'sesuatu abnormaliti yang dialami oleh wanita pada bahagian rahimnya.'

Pada zaman dahulu, oleh kerana wanita sering dianggap mempunyai pemikiran kurang stabil dan emosinya sering terganggu, masyarakat zaman dahulu menyifatkan punca wanita jadi sebegitu adalah kerana rahimnya mengalami abnormaliti. Oleh sebab itulah apabila individu meracau-racau seolah dirasuk sekarang, kita menggelarkannya sedang mengalami histeria.

3. 'Eeny, meeny, miny, mo'

eeny meenie miney mo hamba sejarah

Anda ada anak kecil? Sekiranya ada, pasti anak anda pernah mendengar lagu kanak-kanak yang menggunakan frasa 'eeny, meeny, miny, mo' dalam liriknya. Kini digunakan sebagai satu bentuk kiraan yang tidak menyakitkan sesiapa, sejarah di sebalik frasa ini pula sebenarnya membawa sentimen perkauman yang jelas dan nyata.

Ungkapan lagu itu sekarang berbunyi 'Eeny, meeny, miny, moe, Catch a tiger by the toe.' Bagaimanapun, pada asalnya - liriknya berbunyi 'Eenie, meenie, minie mo. Catch a nigger by the toe. If he hollers, let him go. Eenie, meenie, minie mo.' Nampak perbezaannya?

Lagu ini diinspirasi daripada cara mengira kemasukan hamba melibatkan individu dari benua Afrika yang berjaya diseludup masuk ke Amerika Syarikat. Satu lagi versi popular menggunakan lirik yang sedikit berbeza iaitu 'Eeny, Meeny, Miny, Mo, Catch a nigger by his toe, If he won't work then let him go, Eeny, Meeny, Miny, Mo.'

Hanya pada awal abad ke 20, penggunaan perkataan 'nigger' itu ditukar kepada 'tiger' menjadikan lagu ini mengisahkan tentang usaha menangkap harimau yang sangat tak masuk akal.

4. Hip Hip Hooray!

hip hip hooray yahudi bunuh pogrom

Anda gemar meraikan sesuatu dengan menjerit 'hip hip hooray'? Asal-usul frasa ini sebenarnya datang daripada gerakan pembunuhan orang Yahudi yang berlaku di Jerman, pada tahun 1819.

Gerakan yang dinamakan sebagai 'Rusuhan Hep-Hep', dinamakan sebegitu kerana penternak Jerman gemar memanggil ternakan mereka dengan panggilan 'hep-hep.' Rusuhan dan pembunuhan itu dimulakan masyarakat Jerman selepas timbulnya kebimbangan mereka terhadap pengaruh orang Yahudi yang dikhuatiri akan menguasai ekonomi negara tersebut.

Bagi mengacah-ngacah orang Yahudi yang bertindak cuba melarikan diri, tentera Jerman dikatakan akan menjerit 'hep-hep' kepada mereka - ibarat sedang mengumpulkan ternakan; sebelum mangsa yang berjaya dikumpul, ditembak mati.

5. Long time no see!

long time no see slanga perkauman

Anda biasa gunakan frasa 'long time no see' apabila bertemu kawan-kawan anda? Tahukah anda kenapa wujud kesalahan tatabahasa dalam ayat tersebut, walaupun ayat itu seringkali digunakan secara sangat meluas?

Ada dua kisah dikatakan menjadi punca wujudnya frasa ini; kedua-duanya melibatkan isu perkauman. Dikatakan kesalahan tatabahasa yang ada dalam frasa itu sengaja dikekalkan masyarakat barat, bagi mengejek kebolehan orang Cina atau orang India Amerika Syarikat berbahasa Inggeris.

Penggunaan frasa tersebut dalam bentuk cetakan dibuat dalam kisah yang ditulis oleh seorang individu bernama William F. Drannan, menceritakan tentang pertemuannya dengan seorang lelaki orang asal Amerika dan tegurannya, yang cuba menggunakan bahasa Inggeris.

Dalam kisah satu lagi, anggota tentera laut Amerika Syarikat yang bertugas di Asia dikatakan kerap kali mengajuk dialek orang di negara China yang cuba berbahasa Inggeris, ketika menegur mereka. Rujukan terawal kesalahan tatabahasa itu datang daripada surat yang diterbitkan dalam majalah bulanan tentera laut Amerika Syarikat berjudul 'Our Navy, the Standard Publication of the U.S. Navy' keluaran ke 13.

Isu tersebut menerbitkan surat yang mengandungi pengalaman seorang petugas berpangkat Leftenan di China yang disapa "you belong my velly good flend. Long time no see you handsome face" oleh salah seorang penduduk setempat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)