Setiap hari kita berkomunikasi dengan menggunakan bahasa kebangsaan kita, iaitu Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu yang ada sekarang merupakan gabungan pelbagai jenis bahasa melalui proses peminjaman istilah yang telah berlaku sekian lama, zaman ke zaman. Antara bahasa paling banyak berlakunya pinjaman istilah ke dalam bahasa Melayu adalah bahasa Arab, Tamil, Sanskrit, Inggeris, Belanda dan juga Portugis.
BESARKAN TEKS A- A+
Penjajahan Portugis ke atas tanah air kita meninggalkan banyak kesan mendalam dan antara kesan yang boleh kita lihat sehingga ke hari ini, selain mercu tanda yang dibina di Melaka adalah bahasa kita.
1. Mentega
Siapa sini suka makan mentega? Siapa sini masih lagi keliru apa beza mentega dan marjerin? Mentega atau 'butter' merupakan sebatian lemak yang seringkali digunakan dalam pembuatan apa saja makanan berasaskan tepung.
Istilah 'mentega' pula dipinjam dari istilah Portugis 'manteiga'. Selain daripada Portugal, Brazil juga menggunakan istilah sama.
Apa yang agak melucukan, ada seorang pemain bola sepak Brazil bernama David Henrique dos Santos atau lebih dikenali dengan nama...Manteiga.
2. Kereta
Istilah kereta yang kita gunapakai sekarang sebenarnya merujuk kepada pedati dua tayar ditarik kuda atau lembu, pernah popular sebagai mod pengangkutan satu masa dahulu.
'Kereta' merupakan korupsi ejaan istilah asal Portugis 'carreta' yang penggunaannya telah diperkembangkan, bagi merangkumi kenderaan berenjin yang ada sekarang.
3. Pesta
Zaman sekarang, istilah 'parti' lebih popular tetapi satu masa dahulu 'pesta muda-mudi' merupakan acara terhangat anak muda kita generasi terdahulu.
'Pesta' dipinjam dari bahasa Portugis 'festa' bagi melambangkan satu keramaian yang disertai ramai orang. Pelajar-pelajar sekolah juga turut kerap 'berpesta' setiap kali tamat periksa.
Lelaki yang telah berkahwin juga menggunakan istilah 'pesta' bila isteri balik kampung. Masih relevanlah istilah pesta ni!
4. Soldadu
Walaupun kita biasa menggunakan istilah askar dan tentera, satu lagi istilah rasmi bagi mewakili petugas pertahanan negara adalah 'soldadu.'
Jarang disebut, istilah 'soldadu' hadir dari istilah 'soldado' dan kami andaikan ejaannya diubah, disebabkan oleh sistem tulisan Jawi kita satu masa dahulu tidak mempunyai sebutan 'O' yang sebenar.
5. Tukar
Istilah 'tukar' seringkali disebut dalam politik negara kita. Setiap hari ada saja orang yang nak tukar itu, tukar ini tanpa jemu dia minta pertukaran berlaku.
'Tukar' juga merupakan istilah pinjaman Portugis 'trocar' yang mewakili makna sama 'untuk menukarkan sesuatu.' Selain bab politik, 'tukar' juga sering disebut dalam konteks tukar kereta dan tukar rumah.
6. Almari
Almari merupakan antara perabot rumah wajib ada dalam setiap rumah. Tiada siapa nak letak pakaian atas lantai, melainkan individu tersebut benar-benar tidak kisah pasal kekemasan.
'Almari' merupakan istilah pinjaman Portugis 'armario' yang merujuk kepada objek serupa, sama seperti kabinet atau ruangan simpanan. Selain kita, orang Indonesia turut menggunakan istilah 'lemari'.
7. Boneka
Selain 'tukar', istilah 'boneka' juga sangat popular di kalangan netizen yang rajin mengulas tentang politik.
Pelbagai dakwaan berkenaan kerajaan boneka, pemimpin boneka atau wakil rakyat boneka dihamburkan.
Istilah asal boneka adalah 'boneca' merujuk kepada patung permainan kanak-kanak perempuan bersifat feminin.
8. Jendela
istilah 'jendela' pada penulis, sedap disebut. Jendela. Jendela. Jendela.
Ada sesuatu yang menenangkan apabila menyebut perkataan itu berbanding tingkap, yang bunyinya lebih pegun dan keras.
'Jendela' dipinjam daripada istilah asal 'janela' yang bunyinya masih mempunyai kelembutan serta bersifat agak keperempuanan.
9. Sekolah
'Sekolah' yang menjadi satu institusi penting pendidikan negara kita, merupakan istilah pinjaman dari bahasa Portugis 'escola.'
Di antara semua istilah dalam senarai ini, perkataan ini mempunyai sebutan yang hampir sama dalam pelbagai bahasa lain.
Kita menggunakan sekolah, Portugis 'escola.' Contoh lain Inggeris menggunakan 'school.' Orang Greek gelarkan sekolah 'scholeio'. Orang Norway memanggilnya 'sekole.'
Orang Jawa, masyarakat Indonesia dan kita berkongsi ejaan dan sebutan yang sama iaitu 'sekolah.'
10. Limau
Buah limau sering dikaitkan dengan masyarakat Cina, ekoran penggunaan buah tersebut dalam sambutan tahun baru mereka.
Tetapi istilah 'limau' pula sebenarnya datang dari bahasa Portugis 'limao' yang dipinjam dan disesuaikan ejaannya. Majoriti negara di dunia pula menggunakan variasi ejaan 'lemon' seperti 'limone' (Itali) atau 'limun' (Arab),
Bagi kita limau dan lemon adalah dua buah yang berbeza. Agak unik kan penggunaan kita apabila merujuk buah limau?
Sebagai penutup, apa pula makna 'limao' dalam bahasa Mandarin?
'Limao' menurut mereka bermaksud 'kesopanan', yang langsung tidak berkait dengan buah limau.