Oleh pada 12 Nov 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

Penyanyi Hetty Sarlene dan kumpulan Forteen diumumkan sebagai dua peserta terakhir disingkirkan daripada program realiti Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang bakal memasuki peringkat akhir minggu hadapan.

Hetty yang mendendangkan lagu Pencuri Hati (Ayda Jebat) dan Kemaafan Dendam Yang Terindah (Aishah) menduduki tangga kedua tercorot dengan mata 60.2%.

Datuk Yusof Haslam yang bertindak selaku juri jemputan, bagaimanapun memuji lontaran vokal dan ekspresi wajahnya.

“Mulanya saya bimbang jika awak tak tertanggung dengan cabaran lagu ini.

“Namun awak telah berjaya mengekpreskan vokal dan mimik muka dengan baik,” katanya.

Sementara itu, dalam konsert separuh akhir atau minggu ketujuh yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, Forteen yang mempertaruhkan lagu Potret (Akim & The Majistret) dan Cinta Di Akhir Garisan (Ziana Zain, Ning Baizura, Nora, Dessy Fitri) terpaksa akur dengan markah terendah sebanyak 58.1%.

Yusof dalam kritikannya menganggap kumpulan yang dianggotai empat ahli itu telah berusaha memberikan yang terbaik meskipun prestasi mereka tidak konsisten sepanjang pertandingan.

“Prestasi persembahan kamu ada naik dan turun sejak minggu pertama.

“Tetapi kamu telah melakukan percubaan yang baik dan persembahan malam ini saya klasifikasikan sebagai okay,” katanya.

markah dan kedudukan peserta konsert separuh akhir gegar vaganza 5 2

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

Manakala tuah berpihak kepada Noryn Aziz yang mempertaruhkan lagu Dahsyat (Mojo) dan Cintaku 100% (Mas Idayu) apabila ditempatkan di kedudukan teratas dengan jumlah markah sebanyak 71.5%.

Dalam pada itu, Maya pula dipilih sebagai Bintang Cuckoo Paling Gempak menerusi undian penonton.

Sehubungan itu, seramai enam peserta secara automatik dipilih sebagai finalis akhir GV5. Mereka ialah Noryn Aziz, Amelina, Zamani, Maya, Dia Fadila dan pasangan duo Billy Zulkarnain.

Kesemua mereka diadili sepenuhnya oleh juri profesional yang terdiri daripada dua juri tetap, pengarah muzik Datuk Ramli MS dan penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim, bersama juri undangan, Datuk Yusof Haslam.

Konsert GV5 dikemudikan pasangan hos Jihan Muse dan Nabil Ahmad.

GV5 turut ditayangkan secara langsung di saluran Astro Ria, setiap Ahad, jam 9 malam.

Juara Gegar Vaganza bakal menerima wang tunai RM100,000, diikuti naib juara dengan ganjaran RM50,000 serta RM30,000 untuk pemenang tempat ketiga.

Manakala keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal mendapat wang tunai RM20,000, RM15,000 dan RM10,000. Kesemua mereka juga akan menerima trofi.

           

KEDUDUKAN DAN MARKAH PENUH PESERTA KONSERT SEPARUH AKHIR GV5

1. Noryn Aziz 71.5%

2. Amelina 67.2%

3. Dia Fadila 66.4%

4. Maya Ruslee 66%

5. Zamani 64.4%

6. Billy Zulkarnain 61.05%

7. Hetty Sarlene 60.2%

8. Forteen 58.1%




Hakcipta iluminasi.com (2017)