Oleh pada 29 Oct 2018 kategori

Kredit foto: Instagram @astrogempak

Perjuangan penyanyi Zamani nyaris terhenti selepas diumumkan sebagai peserta keempat disingkirkan daripada program realiti Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.

Ia berikutan beliau mengalami masalah kesihatan hingga hanya mampu diam terkaku ketika giliran persembahannya menerusi lagu 'Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta'.

Begitupun, Zamani yang berada di kedudukan terbawah hasil penilaian juri tetap, pengarah muzik Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim dan juri undangan, Datuk AC Mizal, akhirnya diselamatkan oleh penaja program, Datuk Seri Aliff Syukri menerusi kuasa imuniti.

"Saya ingin mengekalkan dia pada konsert minggu hadapan. Dengan itu, saya menggunakan kuasa imuniti saya," ucap Aliff yang nampak potensi pada vokalis kumpulan Slam itu.

Dalam pada itu, Ramli MS berkata, masalah kesihatan Zamani sudah dikesan sebelum malam latihan lagi, namun penyanyi Gerimis Mengundang itu tetap ingin membuat persembahan.

“Zamani memang sudah sakit dan peti suara dia betul-betul dah koyak sebelum malam sesi latihan lagi. Saya dah cuba turunkan not lagu tersebut namun dia masih tidak boleh menyanyi.

“Malam ni dia memang tak boleh langsung tapi dia tetap mahu meneruskan persembahan. Sebab itu bila dia cuba nak menyanyi, suara dah tak keluar sebab semakin teruk,” katanya kepada Mstar Online.

Sehubungan itu, kesemua peserta mara ke pusingan seterusnya. Selain Zamani, mereka ialah Noryn Aziz, Maya, Dia Fadila, Farawahida, Hetty Sarlene, Amelina, kumpulan Forteen dan gandingan duo Billy Zulkarnain.

Manakala, Bintang Cuckoo Paling Gempak minggu ini dianugerahkan kepada Noryn Aziz.

Berikut kami kongsikan markah dan kedudukan peserta di konsert kelima.

markah dan kedudukan peserta konsert kelima gegar vaganza 5 2

Kredit foto: Instagram @astrogempak

           

  1. Dia Fadila 77.2% (Menghitung Hari)
  2. Maya Ruslee 70.8% (Sekadar Di Pinggiran)
  3. Noryn Aziz 64.7% (One Night Only)
  4. Forteen 63.9% (Hatiku Luka Lagi)
  5. Amelina 60.5% (Pelangi Petang)
  6. Billy Zulkarnain 56.5% (Antara Anyer Dan Jakarta)
  7. Farawahida 56% (Kau Mengubah Segalanya)
  8. Hetty Sarlene 51.5% (Mawar Putih Untuk Mama)
  9. Zamani 0% (Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta)

             

Konsert GV5 ke udara secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Juara peringkat akhir bakal menerima ganjaran wang tunai RM100,000, RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 pula untuk tempat ketiga, kesemua berserta trofi.

Pemenang keempat, kelima dan keenam masing-masing membawa pulang RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)