Sebelum ini, kami pernah menulis mengenai beberapa kerugian besar yang disebabkan oleh kesalahan ejaan atau typo. Kali ini kami ingin berkongsi satu lagi kisah menarik kerugian yang disebabkan oleh kesalahan kecil ejaan.
Akibat kesalahan kecil ini juga, sebuah syarikat yang besar boleh rosak imejnya sebelum akhirnya diisytiharkan bankrap. Itulah yang berlaku kepada syarikat Taylor & Sons.
BESARKAN TEKS A- A+
Syarikat Taylors & Sons
Syarikat Taylor & Sons merupakan sebuah syarikat yang kaya dan besar dalam bidang kejuruteraan di Britain. Ianya merupakan empayar perniagaan sebuah keluarga selama 124 tahun dan mempunyai 250 orang pekerja.
Walau bagaimanapun, akibat satu kesilapan kecil yang tidak disengajakan, syarikat ini yang ditubuhkan pada tahun 1875 akhirnya terpaksa gulung tikar.
Kekeliruan Antara Taylor & Sons dan Taylor & Son
Kes ini terjadi pada tahun 2009 apabila pihak pendaftar syarikat kerajaan British yang dikenali sebagai House Companies secara tidak sengaja mengisytiharkan syarikat Taylor & Sons sudah bankrap dan akan ditutup. Ketika kejadian, pengarah dan pemilik syarikat itu, Philip Davison-Sebry sedang bercuti di Maldives dan hanya dimaklumkan mengenainya oleh salah seorang pelanggan utamanya.
Berita yang diterimanya sangat memeranjatkan memandangkan syarikatnya mempunyai prestasi yang baik dan tidak mempunyai masalah melunaskan bayaran hutang. Setelah 3 hari, barulah kesalahan itu dibetulkan oleh pihak House Companies.
Rupa-rupanya pihak House Companies telah membuat kesilapan yang tidak disengajakan. Ketika membuat pengumuman bankrap tersebut, mereka sebenarnya merujuk kepada syarikat Taylor & Son (tanpa huruf s), bukanlah syarikat milik Philip, iaitu Taylor & Sons.
Sebab Kejatuhan
Walaupun hal ini nampak kecil, pengisytiharan kebankrapan syarikat Taylor & Sons ini sebenarnya mempunyai impak yang sangat besar kepada perniagaan mereka. Walaupun kesilapan tersebut sudah dapat dikesan dan diperbetulkan oleh pihak House Companies pada hari ketiga lagi, berita ini menjadi tular dengan sangat pantas.
Setelah diisytiharkan bankrap, banyak pelanggan yang mula lari kerana ingin menyelamatkan diri. Banyak pesanan dibatalkan, kontrak ditamatkan dan kemudahan kredit ditarik balik oleh pihak pembekal. Akibatnya, pihak Taylor & Sons mula menghadapi masalah kewangan untuk beroperasi.
Selama beberapa bulan, tiada transaksi bisnes yang berlaku. Kesan terhadap imej dan reputasi syarikat sangat tercalar dan tidak dapat diperbaiki lagi. Para pelabur dan pelanggan masih meragui status kebankrapan syarikat Taylor & Sons. Selain itu, para pelanggan juga mendakwa Philip cuba melarikan diri dengan bercuti di Maldives ketika pengisytiharan bankrap itu dibuat walhal beliau sendiri pun tidak tahu menahu akan perkara tersebut.
Akhirnya, setelah beberapa bulan menghadapi kekangan menjalankan bisnes, syarikat Taylor & Sons benar-benar terpaksa gulung tikar.
Kes Saman di Mahkamah
Kerana kesan yang sangat dahsyat kesilapan yang dilakukan oleh House Companies, syarikat Taylor & Sons telah bertindak menyaman pihak kerajaan melalui House Companies atas kerugian besar yang dialami sehingga syarikat tersebut terpaksa ditutup.
Kes ini mendapat liputan yang hangat dalam laporan media British. Pihak mahkamah walau bagaimanapun mendapati pihak kerajaan bersalah dalam hal ini dan telah memerintahkan kerajaan membayar denda sebanyak RM 71.5 juta.
Kes ini sangat pelik dan jarang sekali berlaku. Walau bagaimanapun, kes ini memberi pengajaran betapa pentingnya memastikan setiap perkataan yang ditulis dieja dengan betul agar tidak menimbulkan salah faham, terutamanya sekiranya melibatkan hal yang besar dan penting seperti ini.
Kredit: