Oleh pada 18 Jul 2021 kategori

Memegang label ikonik tidak bermakna sesuatu jenama itu mampu kekal relevan selamanya.

Inovasi serta kemampuan untuk mengenalpasti trend menjadi keperluan penting untuk setiap jenama mampu kekal bersaing.

Lima jenama di bawah menjadi sebutan ramai, namun akhirnya bergelut dengan isu pengurusan. Hanya perubahan yang dilakukan ekoran penstrukturan semula berjaya memulihkan jenama ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada yang terbang lebih tinggi, ada juga yang baru nak bertatih semula.

1. Converse

converse jenama bankrap

Sebut nama Converse, pasti ramai mengenali rekaan kasut jenama itu yang cukup mudah dikenali.

Converse mempunyai sejarah panjang, menjadi jenama kasut sukan pertama yang diiktiraf ahli sukan profesional.

Pada awal abad ke 20, atlit bola keranjang Amerika Syarikat, Chuck Taylor mengabadikan namanya pada kasut Converse memulakan sub-jenama 'Chuck Taylor's All Star' yang terus segar sehingga kini.

Malangnya, bintang Converse gagal untuk kekal bersinar. 

Converse memfailkan status bankrap pada tahun 2001 ekoran kadar jualan yang menjunam teruk, terpaksa menutup beberapa buah kilang pengeluaran mereka. Sebuah gabungan konsortium menyelamatkan jenama itu.

Bagaimanapun, hanya selepas gergasi sukan Nike menawarkan belian bernilai $305 juta untuk menjadikan jenama itu di bawah sayap mereka.

Kini Converse dikatakan telah kembali, mampu menjana jualan tahunan melebihi $1.5 billion setahun untuk Nike.

2. Gibson

gibson sejarah bankrap rugi

Identiti Gibson bagi seorang penggemar gitar mempunyai prestij yang agak berbeza berbanding seteru utamanya, Fender.

Jika Fender dilihat gitar untuk semua orang, Gibson pula lebih mirip kepada individu dan pemain elit.

Selepas jenama ikonik cuba meluaskan pasaran mengeluarkan produk-produk elektronik untuk pasaran lebih besar, mengakibatkan Gibson perlu menanggung hutang lebih $500 juta.

Korbannya besar. Bagi memperbesarkan pasaran, kualiti gitar keluaran Gibson direndahkan sehingga menjejaskan kepercayaan peminat setia mereka hanya untuk memastikan versi baru dapat dilancarkan setiap tahun.

Gibson memfailkan status bankrap dan melantik bekas presiden jenama pakaian terkenal Levi's, JC Curleigh untuk menstabilkan syarikat itu.

Curleigh memperkenalkan beberapa perubahan kembali mengutamakan identiti asal Gibson sejak dulu, mengurangkan pengeluaran serta kualiti.

Kini Gibson masih dalam proses penstrukturan semula kewangan mereka, memerlukan beberapa kilang ditutup bagi mencairkan aset.

Namun angka jualan yang semakin baik serta keyakinan pembeli yang meningkat, mungkin membuatkan nama Gibson kembali disegani.

3. Nokia

telefon nokia jenama terkenal dahulu

Siapa yang tak kenal jenama terkenal dari Finland ini satu masa dulu?

Nokia adalah gergasi telekomunikasi dunia satu masa dulu, cukup terkenal sebagai pelopor yang mencetuskan trend popular semasa.

Namun kedegilan divisyen telefon pintar Nokia mahu terus bersandarkan kepada sistem operasi Symbian dibangunkan mereka memberi impak besar.

Tidak dibantu juga kebangkitan Apple dan Google dalam ekosistem telefon pintar, mengakibatkan jualan telefon Nokia mula menjunam. 

Divisyen telefon pintar Nokia dijual kepada Microsoft, yang melihat kemampuan Nokia menghasilkan telefon pintar boleh disatukan dengan sistem operasi Windows Phone milik mereka.

Malangnya, siri Windows Phone yang dibangunkan oleh gabungan kedua-dua syarikat ini gagal mendapat sambutan orang ramai walaupun produknya unik.

Akhirnya Microsoft menjual divisyen itu kepada gabungan syarikat Finland HMD Global dan Foxconn dari Taiwan selepas berdepan kerugian $8 billion, yang ditanggung sendiri Microsoft.

Di bawah HMD Global, Nokia mula mengeluarkan telefon pintar menggunakan sistem operasi Android seliaan Google.

Pernah menguasai lebih 50% pasaran telefon semasa era kegemilangan mereka, laporan tahun 2020 menyatakan Nokia kini hanya memegang 0.7% keseluruhan pasaran telefon pintar dunia. 

4. Marvel

watak marvel sejarah syarikat bankrap

Jika anda tidak mengetahui sejarah syarikat Marvel, pasti ramai yang terkejut apabila mengetahui tidak lama dahulu Marvel diisytiharkan bankrap pada tahun 1996.

Ini disebabkan penurunan permintaan terhadap siri komik dan figura yang mereka keluarkan.

Usaha pemilik Marvel ketika itu Ron Perelman untuk menggabungkan syarikat Marvel Comics dan sebuah lagi syarikat pengeluar figura mainan Toy Biz di bawah payung baru Marvel Studios, ditentang lembaga pengarah syarikat ekoran risiko hutang menimbun yang masih berbaki.

Mereka juga tidak percaya penggabungan itu boleh membantu situasi yang sedang dialami.

Tanpa jalan keluar, Perelman akhirnya memfailkan bankrapsi syarikatnya bagi membolehkan penstrukturan semula Marvel dibuat tanpa kelulusan lembaga pengarah.

Proses naik turun mahkamah melibatkan perebutan kuasa dalam syarikat itu berjalan untuk dua ke tiga tahun, sebelum Avi Arad dan Isaac Perlmutter - dua orang eksekutif syarikat Toy Biz dilantik sebagai pengendali Marvel yang baru.

Kedua-duanya meneruskan usaha menggerakkan Marvel Studios tanpa Perelman.

Mereka berdua berusaha meyakinkan studio-studio perfileman Hollywood untuk bekerjasama menerbitkan filem berasaskan watak terbitan Marvel.

Filem pertama hasil usaha ini, 'Blade' mendapat jumlah kutipan yang memberangsangkan dan menjadi titik tolak bermulanya kebangkitan jenama Marvel dalam industri filem sekarang.

5. Apple

steve jobs pulihkan apple jadi gergasi

Kini bernilai lebih $2 trillion, siapa sangka satu ketika dulu syarikat Apple sebenarnya sedang berhadapan bankrapsi. 

Ekoran kegagalan peranti Apple Newton yang mengakibatkan beban hutang besar bernilai $100 juta perlu ditanggung Apple, Apple ketika itu sedang dalam proses akhir mendokumenkan status bankrapsi mereka. 

Namun Microsoft yang sering dikatakan seteru utama syarikat itu, bersetuju melabur $150 juta dalam Apple; dengan beberapa kerjasama di antara keduanya dimeterai.

Pelaburan ini sekaligus menyelamatkan Apple serta memberikan mereka suntikan dana untuk terus beroperasi.

Untuk beberapa tahun berikutnya, Apple mula melakukan rombakan semula terhadap siri produk mereka.

Pengenalan siri komputer iMac pada tahun 1998 mendapat sambutan hangat ekoran rekaannya ketika itu yang cukup unik. 

iMac terjual sebanyak 800,000 unit dalam tempoh 5 bulan, membawa keuntungan kali pertama syarikat itu sejak tahun 1995 sebanyak $309 juta.

Dari sinilah Apple mula menjana pelaburan untuk pembangunan perisian dan perkakasan yang akhirnya membawa kepada pembangunan peranti popular iPod dan seterusnya iPhone.




Hakcipta iluminasi.com (2017)