Oleh pada 17 Jan 2024 kategori

Dalam keputusan mahkamah yang baru diumumkan, badan kehakiman Amerika Syarikat melalui US International Trade Commission atau ITC telah memerintahkan agar jualan model jam pintar Apple Watch keluaran gergasi elektronik, Apple dihentikan.

Selepas beberapa hari dihentikan jualannya khususnya di premis-premis perniagaan milik Apple sendiri - mahkamah membenarkan larangan ini digantung buat sementara waktu, membolehkan dua model yang jatuh dalam larangan ini iaitu Apple Watch Series 9 dan Apple Watch Ultra 2 dijual semula.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Keputusan mahkamah yang agak keras itu mungkin memeranjatkan mereka yang baru mengikuti perjalanan kes yang telah lama berlangsung, tetapi bagi mereka yang mengikutinya sejak mula - itu adalah tindakan yang wajar.

Apa yang telah dilakukan oleh Apple sehingga mahkamah perlu mengambil tindakan sedrastik itu?

Mengenali Masimo Corporation

kenapa apple watch diharamkan f4v55

Sebelum meneruskan cerita, kita perlu belajar berkenaan sebuah syarikat bernama Masimo Corporation. Walaupun namanya hampir sama dengan satu jenama roti di Malaysia, keduanya saling tidak berkait ya!

Masimo Corporation diasaskan seorang ahli perniagaan kelahiran Iran bernama Joe Kiani pada tahun 1989, sebagai sebuah syarikat pembangunan teknologi perubatan. Mempunyai visi besar mahu menambahbaik teknologi perubatan pada peringkat global, pencapai Masimo cukup cemerlang.

Mereka terkenal dengan kejayaan pembangunan teknologi pemeriksaan pesakit tanpa memerlukan pembedahan dilakukan, menghasilkan pelbagai peranti perubatan dan sensor yang inovatif, memudahkan pengawasan dan penyeliaan pesakit dengan bantuan komputer.

Misi utama Masimo adalah untuk mengurangkan kos penjagaan dan memanfaatkan teknologi terbaru bagi membantu proses pemantauan pesakit serta peralatan yang mampu mengesan penyakit tanpa pembedahan.

Salah satu teknologi terbaik yang menjadi produk utama Masimo adalah Teknologi Pengasingan Isyarat atau Signal Extraction Technologi (SET) yang mampu membaca dan merekodkan nadi dan kadar kepekatan oksigen dalam darah seseorang.

Berdasarkan lebih daripada 100 kajian bebas yang dijalankan dalam menilai semua produk yang mempunyai fungsi sama, SET keluaran Masimo layak dikatakan terbaik serta mempunyai kadar bacaan paling tepat berbanding pesaingnya.

Apa kaitannya Apple dengan Masimo?

peguam mahkamah kes bicara massimo apple

Kerjasama di antara Masimo dan Apple bermula sekitar tahun 2013 selepas Apple secara rasmi menghubungi Masimo, menunjukkan minat untuk menjalin kerjasama dengan syarikat tersebut - khususnya yang berkait dengan penggabungan fungsi pemantauan kesihatan.

Bagi mengenalpasti dengan lebih jelas apakah keperluan dalam kerjasama, satu pertemuan di antara wakil kedua-dua pihak diatur.

Dalam pertemuan di mana wakil Masimo membentangkan berkenaan teknologi oksimeter denyut dan kesesuaiannya, Ketua Pegawai Perubatan (Chief Medical Officer/CMO) Masimo, Dr. Michael O’Reilly hadir sebagai pembentang utama.

Bagaimanapun jelas perjumpaan itu hanyalah satu helah Apple dalam mengenalpasti siapakah sasaran mereka yang sepatutnya.

Selepas beberapa tempoh mesyuarat tersebut berlangsung, Apple melakukan tindakan kotor dengan memujuk Dr. Michael O’Reilly yang pada ketika masih bergelar CMO Masimo dan Ketua Pegawai Teknikal (CTO) Masimo, Marcelo Lamego untuk beralih syarikat menyertai mereka.

Lamego seorang pakar teknologi yang dilatih di Stanford University, adalah individu yang dikatakan bertanggungjawab membawa semua dokumen-dokumen berkaitan teknologi SET milik Masimo kepada Apple.

Dalam satu kiriman emel yang dihantar kepada CEO Apple, Tim Cook selepas pertemuan kedua-dua syarikat, Lamego menyifatkan kemahiran yang beliau miliki mampu menjadikan Apple sebagai pengeluar produk nombor satu dunia yang menawarkan fungsi kesihatan.

Melihat emel itu sebagai persetujuan, Apple menguruskan perlantikan O'Reilly, Lamego serta 20 orang pekerja Masimo lain untuk mula berkhidmat bersama Apple dengan kadar gaji dua kali ganda.

Beberapa minggu selepas itu, Apple memohon paten bagi rekaan jam yang mampu mengukur kadar oksigen dalam darah pemakainya.

Teknologi curi yang dipertikaikan penjualannya

jurutera syarikat massimo dicuri apple

Pada bulan Julai tahun 2014, Lamego berhenti daripada Apple.

Tidak diketahui apa yang telah berlaku, tetapi menurut jurucakap Apple dan dokumen yang telah dibentangkan dalam mahkamah - cara kerja Lamego yang meminta peruntukan besar untuk penyelidikan serta mahu kebebasan melantik sendiri jurutera di bawahnya menyukarkan urusan.

Menurut Masimo, sifirnya mudah. Apple sudah memperolehi apa yang mereka perlukan daripada Lamego, jadi apa lagi keperluan untuk terus menggajikannya?

Dalam bulan September tahun 2014, Apple mengumumkan penjualan peranti Apple Watch ke dalam pasaran namun pada ketika itu, masih belum memasukkan fungsi bacaan oksigen dalam darah dan hanya mampu mengukur kadar nadi. Peranti itu mula dijual dalam bulan April tahun berikutnya.

Masimo bagaimanapun perlu menunggu lebih lama sebelum benar-benar merasakan kes mereka kukuh, untuk mendakwa Apple menggunakan taktik jahat dalam mencuri rahsia syarikat, teknologi dan juga tenaga kerja.

Pendakwaan di mahkamah yang akhirnya menjadi nyata

apple watch banned in usa

Dalam pendakwaan tahun 2020, Masimo mendakwa Apple Inc. telah mencuri rahsia perdagangan Masimo, melarikan individu berpengaruh dalam Masimo serta meminta mahkamah menghentikan penjualan Apple Watch 4 dan 5 (model terbaru ketika itu) daripada pasaran.

Masimo percaya Apple telah menggunakan lima teknologi yang telah dipatenkan Masimo berkaitan fungsi oksimetri darah yang kini menjadi fungsi utama Apple Watch dalam pemantauan kesihatan.

Pada 21 Disember 2023, berdasarkan bukti yang ada serta kertas pendakwaan yang difailkan oleh Masimo; mahkamah mengarahkan jualan dan import masuk Apple Watch di Amerika Syarikat dihentikan - sebelum larangan itu ditarik buat sementara pada 27 Disember 2023.

Ketika ini Apple sedang kelam-kabut mencari jalan mahu menjalankan perubahan kepada setiap model Apple Watch yang sudah sedia untuk dijual dalam pasaran, bagi mematikan beberapa fungsi yang dipertikaikan melalui pengemaskinian sistem operasi.

Belum jelas siapa yang akan untung dan siapa yang bakal rugi daripada perang dunia korporat sebegini rupa. Apa yang pasti, sekiranya kita sudah ada perjanjian dengan syarikat tempat kita berkhidmat - hormatilah apa yang sudah kita meterai.

Pada 16 Januari 2024, mahkamah Amerika Syarikat dilaporkan sedang dalam perbincangan untuk membenarkan Apple membawa masuk semula peranti itu ke dalam pasaran tempatan; asalkan Apple membuang fungsi yang sedang menjadi pertikaian.Pihak peguam yang mewakili Massimo dikatakan bersetuju dengan cadangan ini. Tetapi bagaimana pula dengan Apple?




Hakcipta iluminasi.com (2017)