Oleh pada 05 Aug 2021 kategori

Silicon Valley merupakan satu tempat di San Francisco yang menjadi hab perniagaan bagi industri teknologi tinggi dan inovasi dunia. Hab perniagaan yang bermula sejak awal tahun 1900 kini menempatkan pelbagai syarikat gergasi seperti Intel, Apple, Google, Facebook dan banyak lagi. 

Walaupun ramai usahawan genius mencipta kejayaan hebat mereka di Silicon Valley tetapi di sini jugalah berlakunya beberapa kesilapan terbesar dalam dunia teknologi dan inovasi. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kesilapan-kesilapan ini berlaku akibat tidak berpandangan jauh, gagal menilai sesuatu potensi, takut mencuba sesuatu yang baru atau gagal menyesuaikan diri sebelum menjadi tidak relevan.

Berikut adalah lima kesilapan terbesar yang dilakukan syarikat gergasi di Silicon Valley.

5. Intel enggan menghasilkan cip untuk iPhone

intel iphone

Intel merupakan pengeluar cip semikonduktor terbesar dunia. Kebanyakan komputer peribadi di dunia menggunakan cip pemprosesan mikro yang dihasilkan syarikat ini. Walau bagaimanapun, syarikat gergasi dalam industri cip ini pernah melakukan kesilapan terbesar dalam sejarah mereka. 

Pada tahun 2005, Apple sedang berusaha menghasilkan iPhone generasi pertama yang bakal dipasarkan pada 2007. Steve Jobs telah meminta Intel untuk menghasilkan cip CPU bagi telefon pintar pertama mereka itu.

Namun, Intel menolak kerana menyangka Apple tidak akan berjaya menjual iPhone dalam jumlah yang mencukupi untuk mengimbangi kos penghasilan cip tersebut.

Walaupun mereka gagal dalam saingan cip CPU iPhone, Intel kemudiannya berjaya mendapatkan kontrak membekalkan cip modem wireless bagi iPhone 7,8 dan X.

4. Rupert Murdoch membeli dan merosakkan MySpace

myspace

Sebelum wujudnya Facebook, Instagram atau Twitter, dunia media sosial ketika itu dimonopoli oleh MySpace. Ketika waktu kemuncaknya, MySpace menerima sebanyak 75 juta pengguna baru dalam sebulan. 

Ramai yang tidak menjangkakan dan terkejut apabila gergasi media sosial itu jatuh menjunam dan terkubur. Kemunculan Facebook dan ketidakcekapan pengurusan dikatakan antara punca yang menyebabkan kejatuhan MySpace tetapi ramai percaya bahawa ia adalah disebabkan oleh Rupert Murdoch.

Rupert Murdoch merupakan salah seorang taikun media dan pelabur dunia. Pada tahun 2005, syarikat News Corporation milik Murdoch telah membeli MySpace dengan harga USD 580 juta.

Sejak itu, laman MySpace dipenuhi dengan iklan dan menyebabkan pengguna media sosial berpindah ke Facebook yang ketika itu bebas iklan. Murdoch mengakui dia melakukan kesilapan besar dan belajar banyak perkara bernilai dengan harga yang sangat tinggi.

3. Atari dan HP tidak mahu membiayai Apple

apple 686

Pengasas Apple, mendiang Steve Jobs dan pasukannya sememangnya mahu bekerjasama dengan syarikat teknologi terkemuka seperti Atari atau Hewlett-Packard (HP). 

Steve pernah bekerja dengan Atari dan meminta syarikat itu membiayai projeknya iaitu Apple 1 sebanyak USD 50,000. Malangnya, pengasas Atari iaitu Nolan Bushnell tidak bersetuju dan menolak.

Begitu juga dengan HP. Syarikat komputer terkenal itu menolak Steve Job dan berkata "Kami tidak perlukan kamu. Malah, kamu masih belum menghabiskan pengajian lagi."

Walaupun kejadian itu berlaku hampir 40 tahun yang lalu, ia masih dianggap sebagai salah satu kesilapan terbesar. Kini, Apple bernilai melebihi USD 2 trilion.

2. Excite dan Yahoo menolak tawaran Google

google

Pada tahun 1999, pengasas Google iaitu Larry Page dan Sergey Brin telah menawarkan enjin carian (search engine) mereka kepada Excite dengan harga USD 1 juta. Excite merupakan portal web yang dilancarkan pada tahun 1995 dan menyediakan enjin carian, e-mel, dan beberapa ciri asas seperti berita dan laporan cuaca.

CEO Excite, George Bell, bimbang kerana Google terlalu hebat dan orang akan mendapatkan apa yang mereka cari dengan cepat. George mahukan orang menghabiskan masa selama mungkin di portal Excite. Walaupun Page dan Brin menurunkan tawaran mereka kepada USD 750,000, George tetap menolak.

Begitu juga dengan Yahoo. Page dan Brin mahu melanjutkan pengajian mereka di Stanford Universiti dan mahu menjual Google pada harga USD 1 juta. Sama seperti Excite, Yahoo juga mahu pengguna menghabiskan masa di laman mereka. Mereka juga menolak peluang keemasan yang hanya datang sekali seumur hidup itu.

1. Ross Perot menolak tawaran membeli Microsoft

bill gates 858

Ross Perot merupakan seorang usahawan bilionair yang mengasaskan Electronic Data Systems. Dia sering memanfaatkan peluang yang datang dan jarang melakukan kesilapan. Walau bagaimanapun, ada satu kesilapan yang amat dikesalinya.

Pada tahun 1979, Perot yang merupakan pemain utama industri sistem komputer mempunyai peluang untuk memiliki syarikat Microsoft yang diasaskan oleh Bill Gates. Ketika itu, Bill Gates baru berusia 23 tahun dan syarikatnya baru setahun jagung dalam industri.

Perot melepaskan peluang untuk memiliki Microsoft pada harga antara USD 40-60 juta ketika itu yang dianggapnya sebagai mengarut. Hari ini, Microsoft dianggarkan bernilai hampir USD 2 trilion.




Hakcipta iluminasi.com (2017)