Oleh pada 21 Mar 2018 kategori

Tanpa disedari, kehidupan yang kita lalui setiap hari dikawal oleh beberapa syarikat besar. Di saat kita runsing memilih jenama dan produk yang mana lebih berbaloi, sebenarnya produk-produk ini dikeluarkan oleh pengeluar yang sama.

Monopoli seperti ini telah memberikan kelebihan kepada pasaran syarikat-syarikat besar ini untuk mengaut keuntungan yang lebih tanpa mendapat tentangan daripada orang awam.

iluminasi.com kongsikan 5 syarikat yang mengawal dunia secara senyap

1. Quanta Computer Inc.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Umum sedia tahu persaingan antara PC dan Mac adalah yang terbesar dalam era teknologi masa kini. Dalam isu membeli laptop, ramai orang setia kepada jenama yang biasa dengan mereka, dan trend ini dilihatkan tak akan pernah luput.

Namun, perlukah sehingga ke tahap itu? Apa yang ramai orang tak tahu adalah laptop-laptop berjenama seperti Apple, Alienware, Lenovo, Acer, Fujitsu, NEC, Mac, Dell, HP, Sony, Toshiba dan banyak lagi dihasilkan oleh pengeluar yang sama, iaitu Quanta Computer Inc.

quanta computer syarikat yang mengawal dunia secara senyap 1

Syarikat ini mempunyai lebih daripada 70,000 kakitangan di seluruh dunia dan memperoleh pendapatan sebanyak RM108 billion pada tahun 2014.

Ia kini lebih daripada menjadi pengeluar komputer riba dan menghasilkan pelbagai perkakas teknologi seperti telefon bimbit, sistem GPS, peranti bluetooth dan banyak lagi.

Malah, Quanta telah bekerjasama dengan Facebook pada tahun 2011 sebagai sebahagian daripada Open Compute Project yang mensasarkan untuk menghasilkan server, ruang simpanan dan rekabentuk pusat perkakasan data.

2. Pfizer

pfizer syarikat yang mengawal dunia secara senyap

Pakar-pakar menganggarkan pasaran global ubat-ubatan bakal mencecah RM4.38 trilion menjelang 2022. Ia membuatkan sebahagian besar populasi dunia berada di bawah telunjuk syarikat-syarikat farmasi terbesar di dunia, seperti Pfizer.

Pfizer merupkan pembuat ubat berdasarkan penyelidikan yang terbesar di dunia dengan produknya dipasarkan di lebih 150 buah negara. Secara tak langsung syarikat ini mengawal tahap kesihatan berjuta-juta manusia yang telah menjadi tanda tanya pada tahun 2016.

Syarikat ini telah disaman lebih daripada RM390 juta kerana menaikkan harga ubat anti-epilepsi secara haram sebanyak 2,600 kali ganda dalam satu malam sahaja.

pfizer syarikat yang mengawal dunia secara senyap 1

Ia telah memberi kesan secara langsung kepada Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) United Kingdom yang terpaksa membayar dengan harga lebih tinggi dan menarik balik ubatan ini daripada 50,000 pesakit.

Pengeluaran ubatan adalah punca pendapatan utama Pfizer namun pengawalan oleh syarikat ini tidak terhenti di situ sahaja. Mereka juga merupakan pengeluar produk-produk terkemuka dunia seperti Listerine dan Sudafed serta mempunyai pengaruh yang besar dalam industri kesihatan haiwan.

3. Pearson

pearson syarikat yang mengawal dunia secara senyap

Walaupun berpangkalan di London dan 60% daripada jualannya daripada Amerika Syarikat, Pearson merupakan antara penerbit bahan pendidikan terbesar di dunia dan beroperasi di lebih 70 buah negara.

Pearson merupakan syarikat induk kepada beberapa syarikat penerbit gergasi seperti Penguin, Harcourt dan Prentice Hall. Pengaruhnya terlalu besar dalam sistem pendidikan Amerika Syarikat sehinggakan pelajar di negara itu mengambil ujian berasaskan rekabentuk Pearson daripada tahap tadika sehingga gred 8. 

pearson syarikat yang mengawal dunia secara senyap 2

Mereka juga berkemungkinan besar belajar kurikulum direka Pearson, menggunakan buku teks terbitan Pearson dan diajar oleh guru-guru yang berkelulusan ujian Pearson.

Dengan monopoli sebegini besar dalam sektor pendidikan, Pearson mampu untuk menaikkan harga sesuka hati tanpa ada tentangan yang mana dilihatkan menjadi semakin buruk.

Menurut Huffington Post, harga buku teks meningkat sebanyak 812% dalam masa 30 tahun lalu kerana kurangnya persaingan disebabkan oleh monopoli syarikat ini.

4. Bank Perindustrian dan Perdagangan China (ICBC)

icbc syarikat yang mengawal dunia secara senyap 2

Bank adalah entiti yang bertanggungjawab sepenuhya dalam mengstabilkan ekonomi yang merangkumi semua aspek kehidupan kita. Ia mempunyai kuasa sepenuhnya daripada keputusan besar oleh kerajaan sehinggalah kepada harga makanan yang ada di atas meja anda.

Jika anda menggabungkan kekayaan 10 buah bank terbesar di dunia, ia mencecah RM98 trilion yang mana cukup untuk membiayai kerajaan Amerika Syarikat lebih dari 7 tahun.

icbc syarikat yang mengawal dunia secara senyap

Dengan ini Bank Perindustrian dan Perdagangan China (ICBC) tanpa ragu merupakan bank paling berkuasa di atas muka bumi. Asetnya hampir RM12 trilion dan nilai pasaran sebanyak RM843 billion membuatkannya berada di senarai teratas syarikat awam terbesar di dunia oleh Forbes.

Pengaruh ICBS bukan semata-mata di China sahaja malah sehingga ke semua benua di atas bumi ini, kecuali Antartika. Ia mempunyai hampir setengah juta kakitangan di seluruh dunia dan telah memperluaskan kuasa dengan menjadikan bank-bank utama seperti Tekstil Bank dari Turki dan Standard Bank dari Afrika Selatan sebagai anak syarikatnya.

5. Alphabet Inc

alphabet syarikat yang mengawal dunia secara senyap

Tak ada apa-apa yang mengejutkan apabila Google ditabalkan sebagai jenama paling berharga di atas muka bumi dalam senarai Forbes.

Dengan perolehan hampir RM200 bilion pada tahun 2016 sahaja, Google menerima lebih daripada 40,000 carian setiap saat, dan Youtube mempunyai melebihi 1 billion pengguna iaitu 1 per 3 daripada pengguna internet di dunia.

alphabet syarikat yang mengawal dunia secara senyap 3

Kuasa yang dimiliki syarikat ini sangatlah besar kerana mampu menentukan apa yang kita lihat di atas talian dan maklumat apa yang kita mendapat akses. Namun sebesar-besar Google, ia hanyalah sebuah anak syarikat kepada syarikat yang kurang dikenali iaitu Alphabet Inc.

Ditubuhkan oleh Larry Page dan Sergey Brin (pengasas bersama Google) pada tahun 2015, syarikat ini bermula dengan Google dan kemudiannya ditukarkan namanya kepada Alphabet.

alphabet syarikat yang mengawal dunia secara senyap 2

Tujuan penubuhan Alphabet adalah untuk memisahkan perusahaan Internet utama Google daripada beberapa projek-projek lain yang mempunyai masa depan yang cerah. Dengan ini, perkhidmatan seperti Google, Youtube, Chrome, Android dan Google Maps tidak berhadapan dengan risiko disebabkan oleh usaha baru oleh syarikat.

Antara usaha baru tersebut termasuklah syarikat penyelidikan The X Lab yang sedang membina kereta tanpa pemandu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)