Oleh pada 22 Sep 2019 kategori

Nasib atlit profesional dalam bab kewangan selalunya kurang cemerlang. Dalam laporan tahun 2018, lebih 500 pemain yang pernah menjadi pemain liga perdana Inggeris dikatakan menghadapi masalah kewangan walaupun satu masa dulu pernah mendapat gaji yang jauh lebih lumayan, berbanding orang lain.

Lebih 60% pemain sehingga tahun 2013, dikatakan diisytiharkan seorang bankrap selepas lima tahun bersara daripada karier mereka dengan perceraian, kemurungan dan masalah mental menjadi punca utama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sukan bola sepak memang mampu melahirkan ramai nama besar yang tidak dapat lari daripada masalah sama. Berikut adalah lima pemain bola sepak terkenal yang dulunya lumayan, kini berdepan dengan masalah kewangan teruk akibat pilihan mereka.

1. John Arne Riise

john arne riise gagal pelaburan

Salah seorang pemain pertahanan yang mencipta nama di pasukan Liverpool, pemain kelahiran Norway ini mencetuskan kontroversi sekitar tahun 2007.

Walaupun terkenal dengan kemahiran menendang kaki kiri yang boleh dikatakan 'power' macam peluru - Riise tidak mampu membayar hutang sebanyak £100,000; walaupun gajinya ketika itu £50,000 seminggu! Biasanya pemain diisytiharkan bankrap selepas bersara tetapi Riise nyata berbeza diisytiharkan bankrap semasa kemuncak kariernya.

Nasib malang itu menimpa Riise selepas salah satu pelaburan hotel yang disertainya di Norway tidak membawa pulangan yang diharapkan. Riise juga dikatakan menjadi mangsa penipuan melibatkan nilai £3 juta yang menyebabkan dia berdepan kerugian besar. Status beliau sebagai pemain paling banyak beraksi untuk pasukan kebangsaan Norway nyata tidak membantu beliau menghadapi masalah kewangan. (Liverpool's Riise declared bankrupt)

2. Paul Gascoigne

paul gascoigne boros berbelanja

Salah seorang pemain legenda England yang sering dikaitkan dengan masalah disiplin, Paul Gascoigne bersara sepenuhnya daripada bola sepak pada awal era millenium. Bagaimanapun, hidupnya mula bergelumang dengan masalah ketagihan arak sehinggakan dia berdepan masalah kewangan yang kritikal.

Notis pengisytiharan bankrap diserahkan kepada beliau pada tahun 2011 akibat daripada tuntutan cukai yang tidak dijelaskan, berjumlah £42,500 keseluruhannya perlu dibayar. Gascoigne melakukan rayuan untuk diberikan tempoh pembayaran secara ansuran - walaupun satu ketika dulu, dia mempunyai pendapatan sekitar £22,000 seminggu.

Dia juga pernah menerima wang persetujuan menandatangani kontrak sebanyak £2 juta semasa menyertai pasukan Lazio di Itali. Pada tahun 2016, beliau berjaya menyelesaikan jumlah tuntutan secara pembayaran bulanan dan diisytiharkan bebas daripada risiko di anggap bankrap. (Paul Gascoigne pays off debt of almost £50,000)

3. David James

david james tiada pengurusan kewangan

Salah seorang pemain kebangsaan England yang menjadi pujaan gadis kerana wajahnya yang tampan, David James terkenal sebagai salah seorang penjaga gawang England yang berbakat; tetapi turut sama dikenali kerap melakukan kesilapan bodoh. Walaupun begitu, ternyata pengurusan kewangan beliau lebih teruk.

Semasa zaman kegemilangannya, James dikatakan terlalu boros. Seandainya kasutnya terkoyak sedikit, dia beli baru. Kerete terkemik sikit? Dia akan terus ke pusat jualan kenderaan. Walaupun begitu, James juga terkenal sebagai seorang yang dermawan, melalui banyak aktiviti amal yang dianjurkan beliau.

Selepas melalui perceraian yang menyebabkan dia kehilangan banyak aset, pada tahun 2014 setahun selepas bersara - James diisytiharkan bankrap. Bagi melunaskan hutang yang ada, James mengumumkan acara jualan bagi membolehkan dia membayar sejumlah tuntutan wang yang diperlukan dengan majoriti jualan membabitkan jersi-jersi terhad yang dikumpul sepanjang karier beliau. (Former England footballer David James declares himself bankrupt)

4. Brad Friedel

brad friedel tersalah pelaburan

Diisytiharkan sebagai salah seorang pemain terbaik Amerika Syarikat yang bermain di Eropah, Brad Friedel mempunyai karier sebagai penjaga gawang yang panjang - bermain sehingga mencecah usia 44 tahun serta memegang rekod melakukan kemunculan paling panjang tanpa henti, di liga Perdana Inggeris.

Dikenali sebagai seorang yang bertanggungjawab, Friedel cuba melakukan apa yang dia patut lakukan, membangunkan sebuah akademi bola sepak di sekitar Columbus dan Cincinatti untuk melatih generasi baru pelapis bola sepak Amerika Syarikat. Malangnya, model menjalankan akademi itu yang dibuat tanpa meletakkan keuntungan akhirnya menghantui beliau kembali.

Dengan menggunakan pelaburan dana sendiri serta pinjaman sejumlah $10 juta, Friedel membuka banyak pusat latihan namun ekoran ketiadaan perancangan rapi - akhirnya projek tersebut berdepan kegagalan hanya untuk menampung kos operasi yang terlalu besar. Cubaan untuk menjual beberapa aset milik akademi tidak mendapat sambutan.

Atas niat baik beliau, Friedel terpaksa menanggung jumlah hutang yang tinggi dan rumahnya pula dirampas. Hanya pada tahun 2013, beberapa aset milik akademi kelolaan Friedel berjaya dijual - pada harga 1/3 harga asalnya. (Brad Friedel soccer academy disaster)

5. Ronaldinho

kehidupan boros ronaldinho

Pada zaman kemuncaknya, Ronaldinho adalah pemain nombor satu dunia. Dia bukan saja terkenal dipadang, malahan terpilih untuk menjadi duta kepada banyak jenama terkenal dunia. Kariernya hebat, memenangi anugerah pemain terbaik 2004 dan 2005, berjaya merangkul semua piala yang ada serta dinobatkan selebriti bola sepak dunia setaraf David Beckham.

Pendapatannya hanya melalui bola sepak juga sangat tinggi. Dia dilaporkan mendapat gaji £1 juta sebulan di Barcelona, £480,000 selepas berpindah ke AC Milan sebelum menerima bayaran £100,000 ketika penghujung karier beliau di kelab Flamingo, Brazil. Pada tahun 2015, nilai Ronaldinho diumumkan berada sekitar £80 ke £100 juta keseluruhannya.

Malangnya, kehidupan beliau yang agak boros, tidak takut untuk berbelanja serta gemar berpoya-poya menyebabkan wangnya mengalir lebih cepat keluar daripada masuk. Beberapa siri kesilapan yang dilakukan melibatkan penaja juga menyebabkan jenama besar mula menjauhkan diri dari dia.

Pada tahun 2018, selepas berdepan tindakan saman akibat pembinaan tanpa permit melibatkan kediamannya, Ronaldinho diminta membayar sebanyak £1.75 juta. Beliau cuba menjual kediamannya itu bagi membolehkan saman dijelaskan namun gagal dan diisytiharkan bankrap.

Bulan Julai 2019, kesemua 57 kediaman milik beliau disita dan passport beliau ditahan. Sesuatu yang melucukan, selepas pihak mahkamah mengisytiharkan beliau bankrap pada tahun 2018 - akaun bank Ronaldinho didapati hanya mengandungi £6 di dalamnya. Sekiranya ditukar, sekitar RM31 sahaja. (Ronaldinho pays hefty fine to recover passport)




Hakcipta iluminasi.com (2017)