Oleh pada 06 Dec 2021 kategori

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

Perjalanan kumpulan Nico G dalam Gegar Vaganza musim ke 8 (GV8) terhenti setakat minggu ketiga apabila diumumkan sebagai peserta pertama yang meninggalkan program realiti itu pada episod konsert malam tadi.

Nico tersingkir dengan jumlah markah terendah sebanyak 50.1% menerusi persembahan lagu Manis nyanyian asal oleh Dato Zainal Abidin.

Sementara itu, penyanyi Nikki Palikat mengungguli persaingan dengan menakluki tangga pertama bersama pungutan markah sebanyak 84.8%.

Nikki menyerlah menerusi taruhan lagu Semalam yang dirakamkan oleh penyanyi Aina Abdul.

Minggu bertemakan 'Segalanya Ku Terima' itu mencabar keupayaan para peserta dalam mempersembahkan lagu-lagu di luar lingkungan selesa masing-masing.

   

Lain-lain penyanyi yang turut sama bertarung dalam pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu adalah Aliff Aziz (Singapura), Adibah Noor, Suki Low, Aweera, Bandi Amuk, Ani Mayuni, Upiak Isil (Indonesia), Shidee, Saiful Apek & Yassin Senario, Azan Scan dan Datuk Fazley Yaakob.

Keputusan pemarkahan terletak sepenuhnya di tangan juri profesional tetap yang terdiri daripada maestro muzik Datuk Ramli MS, penyanyi lagenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal yang tidak asing lagi, Datuk Syafinaz Selamat, bersama kemunculan Datuk AC Mizal sebagai juri yang menduduki kerusi jemputan.

Berikut adalah markah yang diberikan oleh para juri kepada peserta:-

gegar vaganza 681

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

Carta Kedudukan Dan Markah Peserta Konsert Gegar Vaganza 8 (2021) Minggu Ketiga

1. Nikki Palikat (Semalam) - 84.8%

2. Aliff Aziz (Kasihnya Laila) - 83.9%

3. Adibah Noor (All I Ask) - 81.3%

4. Suki Low (Badarsila) - 78.6%

5. Saiful Apek dan Yassin Senario / Sa.Ya (Better Man) - 73.7%

6. Aweera (Boneka) - 71.5%

7. Upiak Isil (Retak) - 61.3%

8. Bandi Amuk (Nak Dara Rindu) - 60.1%

9. Shidee (Blue Suede Shoes) - 58.3%

10. Ani Maiyuni (Naluri / Hadirlah Kekasih) - 58.1%

11. Azan Scan (Ini Rindu) - 54.8%

12. Datuk Fazley Yaakob (Yang Sedang Sedang Saja) - 54.0%

13. Kumpulan Nico G (Manis) - 50.1%

Baca: Keputusan Markah Peserta Konsert Gegar Vaganza 2021 (GV8) Minggu 4

Baca: Senarai Lagu Tugasan Konsert Gegar Vaganza 2021 (GV8) Minggu 4

Anugerah Betul-Betul Luar Biasa Digi diberikan kepada penyanyi Aweera atas undian peminat di laman web rasmi GV8, manakala Bintang Cuckoo Paling Gempak pula dikurniakan kepada kumpulan duo Sa.Ya hasil undian tertinggi diterima mereka di Facebook Astro Gempak.

Untuk maklumat berkaitan format penjurian, hadiah dan info penuh rancangan, baca artikel: Info Penuh Program Gegar Vaganza Musim 8 (2021)

Konsert GV8 ditayangkan secara mingguan dalam rancangan siaran langsung yang dikendalikan oleh pasangan Nabil Ahmad dan Jihan Muse selaku pengacara.

Program Astro Ria (saluran 104) itu mengisi slot hari Ahad pada pukul 9 malam.

Tonton secara online menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Kredit video: [LIVE] Gegar Vaganza 2021 Live + Minggu 3

    




Hakcipta iluminasi.com (2017)