Setiap kali tibanya musim perayaan Krismas, pengendali kompleks beli-belah di negara kita akan mula menghiaskan premis mereka dengan hiasan pokok besar sempena perayaan tersebut.
Pokok gergasi itu yang biasanya kita gelarkan sebagai pokok Krismas, telah menjadi satu simbol yang cukup sinonim dengan hari perayaan masyarakat Krismas, biasanya dihiasi dengan lampu dan hiasan yang digantung serta bungkusan-bungkusan hadiah yang disusun di bawahnya.
BESARKAN TEKS A- A+
Tradisi ini mempunyai sejarah yang panjang, telah merentasi berbagai abad dan budaya. Asal-usulnya boleh dikesan sejak peradaban purba lagi, sebelum terbentuknya konsep agama Kristian itu sendiri dan itu adalah sesuatu yang agak mengelirukan.
Bermula sebagai sebuah tradisi masyarakat purba pra-Kristian
Tradisi menghias rumah dengan tumbuhan hijau semasa musim sejuk adalah sesuatu yang gemar dilakukan kalangan budaya purba.
Orang Mesir terdahulu meraikan perayaan solstis atau detik peralihan kedudukan matahari, kepada musim sejuk dengan menghiasi rumah mereka dengan palma hijau, yang menjadi simbol melambangkan kemenangan kehidupan ke atas kematian.
Masyarakat Rom terdahulu meraikan perayaan Saturnalia, sebuah perayaan yang meraikan solstis musim sejuk dengan menghiasi rumah dan pusat ibadat mereka dengan ranting yang sentiasa segar.
Amalan ini mencerminkan penghormatan mereka terhadap tumbuhan hijau, yang dipercayai dapat menghindari mereka daripada anasir buruk dan jahat; seperti tukang sihir, hantu, roh jahat dan penyakit.
Tradisi yang berkembang di Eropah
Tradisi menghiasi premis dengan pokok ini berkembang semasa Zaman Pertengahan Eropah khususnya di Jerman, di mana pohon Krismas pertama direkod didirikan oleh sebuah persatuan yang bertapak di Freiburg pada tahun 1419.
Pohon itu dihias dengan epal, wafer tepung, tinsel dan biskut halia, digantung di sekeliling pohon pokok tersebut.
Banyak pihak percaya inspirasi rupa bentuk pokok itu besar kemungkinan dipengaruhi hikayat pementasan yang sering dipertontonkan di kalangan masyarakat Eropah sebelumnya,berjudul "Paradise Plays, yang menceritakan tentang kisah Adam dan pasangannya.
Dalam jalan cerita ini ini, pokok yang dikenali dengan nama 'Tree of Knowledge' atau Pohon Pengetahuan diperbuat daripada pokok cemara yang segar, dihiasi dengan epal merah yang diikat pada di sekelilingnya.
Pemodenan pokok Krismas
Apa yang kita dapat saksikan sekarang iaitu tradisi pohon Krismas moden bermula sekitar abad ke-16, juga di Jerman.
Masyarakat Kristian di sana memulakan amalan membawa pohon yang dihias masuk ke rumah mereka, sebelum tersebar ke Britain dan Amerika pada abad ke-19 ekoran kedatangan pendatang Jerman ke sana.
Di Britain khasnya, keluarga di-raja Britain dikatakan menjadi pengasas kepada populariti budaya Jerman ini di sana. Suami Ratu Victoria iaitu Putera Albert yang berasal dari Jerman dikatakan memperkenalkan budaya menghiasi istana dengan sebatang pokok segar, yang akhirnya menjadi ikutan.
Seiring masa dan penambahbaikan teknologi, hiasan pokok krismas kini menjadi lebih kompleks. Buah epal segar kini sudah digantikan dengan hiasan kaca berbentuk bulat. Dengan penemuan elektrik, penggunaan lilin mula digantikan dengan lampu-lampu hiasan yang boleh dinyalakan sepanjang perayaan berlangsung.
Setakat hari ini, rekod pokok segar semulajadi tertinggi dunia yang digunakan sebagai hiasan Krismas masih dipegang sebatang pokok setinggi 64.6 meter yang dinaikkan di Seattle, Amerika Syarikat.
Bagaimana mereka menggantung pokok itu dengan hiasan, sukar untuk kami bayangkan.