kenapa kristian pertahankan yahudi jerusalem

Ketika era pemerintahan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat, beliau secara lantang dan terbuka menyokong usaha Israel menjarah bumi Palestin.

Melalui perjanjian yang dinamakan sebagai 'Deal of the Century' melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Palestin - Trump menawarkan peluang kepada Palestin untuk membentuk sebuah negara bebas yang aman; asalkan Palestin bersetuju dengan syarat yang ditetapkan Amerika Syarikat dan Israel.

Donald Trump merupakan seorang daripada jutaan individu bukan Yahudi yang membantu Israel merealisasikan impian gerakan Zionis menguasai sepenuhnya bumi Palestin. Kenapa ya?

Kenapa sesetengah orang Kristian nampak tegar menyokong Israel menguasai Palestin, sehingga sanggup menerima kekejaman yang telah dilakukan Zionis dan sekutunya?

Idea doktrin penyatuan Kristian dan Yahudi zaman moden

martin luther protestan

Secara ringkas kita semua tahu gerakan Zionis yang memperjuangkan penguasaan mutlak orang Yahudi di Palestin, dipelopori sepenuhnya oleh individu Yahudi.

Bagaimanapun sejak beberapa abad lalu, wujud gerakan di kalangan pengikut ajaran Kristian khasnya dalam gerakan Evangelical yang turut memegang prinsip perjuangan Zionis; diistilahkan 'Kristian Zionis.'

Kristian Zionis mempunyai satu persamaan ketara dengan Yahudi Zionis; kedua-duanya menyokong sepenuh hati penubuhan negara Israel sebagai satu matlamat utama kepercayaan mereka.

Kristian Zionis juga layak dikatakan wajib menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap usaha yang dilakukan orang Yahudi Zionis serta perlu bergiat sama mempertahankan Israel.

Kaitan antara kedua-dua gerakan ini bermula sekitar abad ke 16, melalui gerakan 'penafian' atau protes yang dipelopori segelintir masyarakat Kristian; kini dikenali sebagai aliran Protestan yang terbentuk semasa era reformasi ajaran Kristian.

Dalam doktrin yang disebarkan pemimpin seperti Martin Luther (pengasas aliran Lutheran) dan John Calvin (pengasas kepada aliran Calvinis), kedua-duanya menggerakkan usaha besar-besaran mengajak masyarakat Yahudi agar dapat menerima pembaharuan ajaran Kristian yang mereka perkenalkan, seterusnya memeluk agama Kristian.

Reformasi dibawa tokoh sezaman dan sealiran mereka mula mempopularkan elemen-elemen persamaan di antara kedua agama seperti yang terkandung dalam kitab Bible.

Persamaan elemen seperti kepentingan Bani Israil dalam sejarah Kristian, kedudukan Jesus Christ yang diketahui berketurunan Bani Israil serta kepercayaan bahawa orang Yahudi akan memainkan peranan penting menuju hari kiamat dijadikan hujah penting gerakan ini.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Martin Luther mula mempromosikan dirinya dengan gelaran 'Judenfraund', membawa makna 'sahabat karib orang Yahudi'.

Usaha ini bagaimanapun terhenti separuh jalan.

Kekecewaan dakwah yang tidak diterima

esei martin luther

Ekoran kegagalan demi kegagalan memujuk orang Yahudi menerima ajaran Kristian, kedua-dua pengasas aliran itu beralih pandangan sepenuhnya - khasnya Martin Luther yang secara terbuka mula mengkritik masyarakat Yahudi.

Luther menerbitkan sebuah esei pada tahun 1543 berjudul Von den Jüden und iren Lügen ('Berkenaan Orang Yahudi dan Semua Penipuan Mereka') menghentam habis-habisan komuniti Yahudi tanpa berselindung lagi atas apa beliau dakwa kedegilan sifat Yahudi.

Dalam tulisannya, Luther mengibaratkan orang Yahudi pelacur agama, ejen syaitan serta kumpulan masyarakat yang bermuka-muka dengan orang lain dalam semua urusan; layak dibunuh, diseksa, dikerat, disekat pergerakan mereka dan tidak layak untuk dipertahankan. Rumah ibadat Yahudi diisytihar wajib diperangi dan dibakar.

Walaupun usaha penyatuan ini berakhir dengan kurang elok, idea untuk menggunakan persamaan kedua-dua agama sebagai faktor penyatuan masyarakat Yahudi dan Kristian mula diperhalusi oleh aliran-aliran Kristian Protestan berikutnya yang berkembang.

Selepas beberapa ratus tahun, idea yang terbentuk ini akhirnya menjadi batu asas kepada penggabungan penganut Kristian dan ideologi Zionis yang berlaku secara formal.

Penyatuan Yahudi dan Kristian di bawah pemikiran Zionis

kenapa orang kristian membantu israel

Kepercayaan bahawa kepulangan orang Yahudi pewaris Bani Israil ke Palestin sebagai titik penting  menuju hari kiamat mula menular di kalangan masyarakat Kristian sepanjang abad ke 17 sehinggalah abad ke 19 - khasnya melibatkan hasrat pembinaan semula istana kerajaan Raja Daud di tanah suci Palestin.

Ramalan kaitan permulaan akhir zaman hanya akan berlaku apabila peristiwa Kibbutz Galuyot atau 'perhimpunan diaspora Yahudi yang terbuang' berjaya di Palestin, didakwa seiring dengan apa yang terkandung dalam kitab suci kedua-dua agama.

Doktrin ini mula menggerakkan penghijrahan orang Yahudi yang dikenali 'aliyah' atau 'kepulangan' orang Yahudi ke Palestin secara berperingkat untuk beberapa abad, membuka penempatan baru masyarakat Yahudi di pingir Palestin bagi menantikan kembalinya pemimpin agung mereka.

Pengisytiharan pembentukan negara Israel pada tahun 1948 serta kemenangan besar tentera mereka dalam perang 6 hari dibantu sekutu kuat mereka Amerika Syarikat dan United Kingdom, memesatkan gerakan aliyah sehingga ke hari ini.

Persoalannya, bagaimana Amerika Syarikat dan United Kingdom boleh terlibat dalam isu melibatkan pembentukan Israel pula sedangkan Israel menjadi matlamat orang Yahudi Zionis?

Usaha dakwah Kristian kepada komuniti Yahudi digiatkan

hebrew christian mission

Untuk menjawab penglibatan kedua-dua negara itu, kita perlu kembali ke penghujung abad ke 19 berkaitan seorang mubaligh Kristian bernama William Eugene Blackstone dari Chicago, Amerika Syarikat yang menjadi faktor utama permulaan usaha ini.

Blackstone menggunakan pengaruhnya di kalangan komuniti pendakwah Kristian untuk menubuhkan misi dakwah dan kemanusiaan kepada masyarakat Yahudi, dinamakan sebagai Chicago Hebrew Mission pada tahun 1887.

Menerusi misi tersebut, Blackstone merantau London, England sebelum berpeluang hadir di Turki menyaksikan diri nasib yang telah menimpa masyarakat Yahudi, yang dilindungi kerajaan Uthmaniyah sejak abad ke 14; melarikan diri dari tekanan dan ancaman bunuh yang dihadapi di negara-negara asal mereka.

Pengalaman di Turki membawa Blackstone singgah di Palestin untuk meninjau sendiri keadaan di sana. Dia melihat bagaimana kewujudan komuniti awal Yahudi terus berkembang di sana, menjalankan aktiviti pertanian dengan giat yang dipercayai beliau seiring dengan apa yang terkandung dalam kitab Bible.

Peluang meninjau sendiri kejayaan orang Yahudi di Palestin semasa lawatan, Blackstone percaya apa yang dilihatnya merupakan petanda yang membuktikan kedudukan orang Yahudi sebagai bangsa terpilih, seterusnya menepati ramalan bahawa mereka adalahi kunci kepada permulaan era akhir zaman.

Berkempen untuk melobi kerjasama kerajaan

reverend blackstone zionist

Sekembalinya ke Chicago, Blackstone memulakan kempen bertemu dengan pemimpin agama Yahudi dan Kristian tempatan bagi membincangkan pengalaman dan saranannya.

Hasil kempen tersebut, satu pertemuan besar-besaran melibatkan komuniti kedua-dua agama dilangsungkan 'Conference of Christian and Jews, on the Past, Present and Future of Israel' pada tahun 1890.

Pada pertemuan inilah penyatuan gerakan Kristian yang berkongsi pandangan sama dengan orang Yahudi mula terbentuk secara formal, dalam bentuk organisasi melahirkan gerakan Kristian Zionis secara rasmi.

Mempunyai momentum yang kuat, Blackstone melobi Presiden Amerika Syarikat (ketika itu) Benjamin Harrison agar kerajaan mereka turut mengiktiraf usaha komuniti Yahudi menubuhkan sebuah negara khas di tanah suci Palestin melalui petisyen, hujahnya kerana matlamat itu menepati isi kandungan kepercayaan masyarakat Kristian.

Petisyen yang ditandatangani 431 orang pemimpin pelbagai bidang melibatkan tokoh Kristian dan Yahudi berpengaruh seperti David Rockefeller dan J.P. Morgan, pelbagai ahli kongres Amerika Syarikat, ramai presiden universiti, pengamal media serta ketua hakim Amerika Syarikat era itu, selamat dibentang di hadapan Harrison tahun 1891.

Dokumen petisyen 'Palestine for the Jews' (Palestin untuk orang Yahudi) turut dikenali kini sebagai 'Blackstone Memorial' (Memorial Blackstone) menjadi dokumen rasmi pertama membuktikan penyatuan komuniti Kristian dan Yahudi berkongsi satu ideologi serupa, bersama menggerakkan usaha membawa orang Yahudi ke Palestin dalam skala lebih besar berbanding biasa.

Jasa Blackstone pada Israel

kenapa kristian sokong yahudi

Sebagai memperingati sumbangan William Blackstone kepada Zionis, sebuah kawasan kebun dalam kawasan hutan simpan negara itu dinamakan sebagai Kebun Blackstone atau Blackstone Grove kini.

Arkib negara Israel ketika ini turut menyimpan sebuah kitab Bible milik Blackstone yang dihadiahkan kepada Theodor Herzl, bapa pengasas gerakan Zionis. Di dalam kitab yang digunakan Blackstone secara harian, beliau dilaporkan rajin melakukan catatan dan meletakkan tanda-tanda pada ayat atau petikan yang meyokong serta membenarkan penubuhan semula sebuah negara untuk orang Yahudi.

Blackstone terus dikenang sebagai mubaligh Kristian yang telah memainkan peranan besar memandu ahli masyarakat Kristian untuk sama-sama memikul beban membantu masyarakat Yahudi menubuhkan sebuah negara berasaskan agama, sebagai satu tenet utama kepercayaan mereka.

Hanya dengan mengiktiraf hak orang Yahudi kepada Palestin serta berusaha mengembalikan tanah suci itu kepada mereka, pengikut Kristian Zionis percaya barulah Jesus Christ akan turun ke bumi bagi menyelamatkan masyarakat Kristian seterusnya membawa masyarakat Yahudi untuk menjadi sebahagian pengikut Baginda.

Kristian wajib tolong Yahudi pertahankan Israel

dome of the rock temple mount jerusalem

Oleh kerana itulah anda dapat melihat sekarang bagaimana wujud kerjasama erat antara kedua-dua kumpulan penganut agama.

Kristian Zionis percaya hayat bumi ini dipengaruhi oleh apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan dilakukan masyarakat Yahudi. Sementara orang Yahudi Zionis pula menghormati kepercayaan Kristian Zionis yang percaya Jesus Christ akan turun di bumi Palestin, perlu bekerjasama mempersiapkan tempat untuk Baginda.

Kejayaan orang Yahudi menguasai bumi Palestin dianggap akan memulakan langkah pertama ke arah akhir zaman. Dengan membantu, menyokong dan mempertahankan kedudukan Yahudi di situ barulah dirasakan sempurna kepercayaan Kristian yang dipegang kumpulan ini.

Walaupun pandangan ini ditentang sebahagian besar organisasi dan penganut Kristian aliran berbeza, jelas penguasaan Kristian dan Yahudi berideologi Zionis ke atas media, negara-negara negara serta sistem kewangan antarabangsa sangat membantu menenggelamkan suara yang menentang agenda mereka.

Usaha yang digerakkan secara formal Blackstone serta disokong pemimpin Zionis besar seperti Lord Rothschild akhirnya membawa kepada Deklarasi Balfour oleh kerajaan Britain pada tahun 1917, menyatukan dua buah kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan Britain di bawah satu payung ideologi Zionis.

Sekiranya anda ingin mengatakan apa yang berlaku di Israel ketika ini hanya berkait dengan isu hak asasi manusia dan politik tanpa melibatkan sentimen agama, maaf, pandangan itu tidak tepat sama sekali.

Israel perlu dipertahankan kerana negara itu adalah kunci utama yang diramal akan menyempurnakan kepercayaan gabungan dua agama samawi dunia ini. Sebab itulah tak mudah untuk mereka ini melepaskan tanah yang telah mereka curi dan rampas.

Menakluk dan menguasai bumi suci Palestin dalam apa saja cara sekalipun menandakan mereka akur perintah Tuhan serta membuktikan mereka ini orang yang beragama.

Rujukan

Mengapa Kristian Evangelical Mahukan Jerusalem Sebagai Ibu Negara Israel?



Hakcipta iluminasi.com (2017)