animasi santa dan rudolph

Rusa atau 'reindeer' merupakan salah satu watak dalam Krismas yang paling popular, selain daripada Santa Claus dengan setiap satu reindeer kendalian Santa mempunyai nama dan perwatakan tersendiri.

Kartun-kartun animasi juga kerap menjadikan reindeer yang bernama Rudolph sebagai satu haiwan ikonik yang mampu menyelamatkan protagonis dalam sebarang kecemasan. Bagaimanapun, apa pula sejarah sebenar dan kaitan reindeer ini dengan Krismas?

BESARKAN TEKS     A-  A+

IDEA AWAL REINDEER SEBAGAI PEMBANTU SANTA

12 reindeer santa

Semuanya bermula pada tahun 1821, apabila seorang penulis bernama William Gilley yang berasal dari New York menerbitkan sebuah risalah 16 muka surat yang memaparkan Santa dan haiwan kendaliannya bersama-sama namun tidak diletakkan siapa penulisnya. Dalam penerbitan tersebut, disertakan sekali ayat

'Old Santeclaus with much delight, his reindeer drives this frosty night, O'er chimneytops, and tracks of snow, To bring his yearly gifts to you.'

Apabila seorang editor surat khabar Troy Sentinel bernama Orville L.Holley mempersoalkan dari mana datangnya idea mengaitkan Santa dengan rusa ini, Gilley menjawab persoalan itu dengan mengatakan kisahnya itu diinspirasikan daripada kisah ibunya yang berasal daripada Artik. Di Artik, masyarakat di situ menyanjung dan memandang tinggi haiwan tersebut.

Dua tahun kemudian, pada tahun 1823, Troy Sentinel menerbitkan sebuah sajak yang bertajuk A Visit from St.Nicholas atau kini lebih dikenali dengan nama The Night Before Christmas. Dalam sajak tersebut, buat pertama kalinya kesemua rusa itu dinamakan dengan nama masing-masing.

When what to my wondering eyes should appear,

But a miniature sleigh and eight tiny reindeer,

With a little old driver, so lively and quick

I knew in a moment it must be St. Nick.

More rapid than eagles his coursers they came,

And he whistled and shouted and called them by name;

"Now, Dasher! now, Dancer! now, Prancer and Vixen!

On, Comet! on, Cupid! on, Dunder and Blixem!

To the top of the porch, to the top of the wall!

Now, dash away, dash away, dash away all!"

Dalam penerbitan itu, terdapat beberapa perbezaan dengan imej Santa yang kita selalu lihat sekarang. Santa dikatakan seorang yang kecil dan saiz kenderaannya juga kecil-kecil, yang membolehkan Santa masuk menerusi lubang asap di rumah-rumah barat, bukannya lelaki gempal dengan perut besar yang sudah semestinya sukar untuk masuk melalui lubang kecil.

DARI MANA DATANGNYA RUDOLPH THE RED NOSED REINDEER?

kartun santa dan rudolph

Nama-nama rusa yang ada juga berbeza dengan Rudolph belum lagi dimasukkan ke dalam kawanan rusa itu. Hanya pada tahun 1939, Rudolph, watak rusa pembantu Santa paling terkenal dicipta. Semuanya bermula dengan strategi pemasaran sebuah kompleks beli belah bernama Montomery Ward yang terletak di Chicago.

Bagi mempromosikan kompleks mereka untuk sambutan Krismas, pengurusan kompleks itu melantik sebuah firma pemasaran bagi mencipta hadiah yang dapat diberikan kepada kanak-kanak yang datang. Tradisi ini diteruskan sebelum Montgomery Ward melantik penulis iklan mereka sendiri yang bernama Robert L.May, untuk mencipta sebuah buku mewarna sebagai hadiah.

Robert mencipta sebuah watak berbentuk rusa yang dinamakan Rudolph, seekor rusa yang mempunyai hidung berwarna merah yang mampu menyala dan berperwatakan lincah. Beberapa nama lain cuba dijadikan pilihan adalah Rollo dan Reginald, dengan Rudolph terpilih sebagai nama watak tersebut.

kulit buku mewarna rudolph

Montgomery Ward pada mulanya enggan menggunakan watak ciptaan Robert berikutan hidung merahnya pasti akan dikaitkan dengan perkara sama yang akan berlaku pada seseorang individu yang mabuk, namun selepas ditunjukkan beberapa fakta sebenar tentang rusa, Robert dan rakan artisnya yang bernama Denver Gillan berjaya meyakinkan Montgomery Ward menerbit dan mengedarkan kisah 'Rudolph the Red Nosed Reindeer.'

Kisah Rudolph dalam buku tersebut memperkenalkan watak Rudolph, seekor rusa yang bukannya berasal daripada Kutub Utara atau adalah anak kepada mana-mana rusa kendalian Santa.

Rudolph hanyalah seekor rusa biasa. Ketika Santa menghantar hadiah kepada Rudolph, Santa menghadapi kesukaran melakukan penghantaran hadiah ekoran ribu salji yang tebal. Melihat hidung merah Rudolph yang mampu menjadi pemandu jalan, pada akhir cerita, Santa pun melantik Rudolph menjadi rusa paling depan bagi membolehkan dia memandu dan menghantar hadiah-hadiahnya.

Pada promosi Krismas tahun 1939, sebanyak 2.4 juta buah buku mewarna Rudolph the Red Nosed Reindeer' diedarkan dan menjadi popular sehingga pengedarannya mampu mencecah 6 juta unit. Nasib penciptanya Robert pula kurang bernasib baik, walaupun hasil karyanya menjadi kegilaan kanak-kanak. Berikutan penghasilan watak tersebut dilakukan semasa dia menjadi kakitangan kepada Montgomery Ward, hak ciptanya dipegang oleh syarikat tersebut yang menyebabkan Robert tidak mendapat pembayaran royalti.

KRISMAS SEBAGAI SATU ALAT PEMASARAN

gene autry lagu rudolph

Pada tahun 1947, Robert berjaya memujuk Presiden kepada Montgomery Ward untuk memberikan dia hak cipta kepada watak tersebut dan bermula daripada situ, Robert sebagai pemegang hak cipta mula menerbitkan karya Rudolh secara komersial.

Bagi mempopularkan lagi watak tersebut, Robert meminta bantuan abang iparnya, Johnny Marks yang berkemampuan menulis lagu, untuk mencipta sebuah lagu yang mengisahkan tentang Rudolph the Red Nosed Reindeer.

Lagu yang dicipta oleh Johnny hanya dimainkan dalam sebuah animasi kartun terbitan Max Fleischer. Usaha untuk merakam satu versi rakaman lagu itu untuk edaran berdepan jalan sukar, ekoran kebanyakan artis dan penyanyi enggan menyanyikan lagu tersebut. Ini kerana ramai pihak berpendapat andainya lagu itu popular, ia akan menyaingi populariti satu lagi watak lain yang cukup popular iaitu Santa Claus.

Akhirnya pada tahun 1949, penyanyi Gene Autry bersetuju untuk menyanyikan lagu tersebut, dengan jualan lagu tersebut mencapai 2 juta unit pada tahun pertama jualannya sebelum menjadi salah satu lagu paling popular jualannya sehingga kini.

Kini, imej Santa Claus dan rusa-rusanya sudah menjadi sangat sinonim dengan perayaan Krismas sehingga sukar untuk dipisahkan, dengan hiasan-hiasan menyerupai rusa-rusa banyak dibangunkan ketika menjelangnya hari Krismas.

Rujukan

All Together Christmas




Hakcipta iluminasi.com (2017)