Di kalangan masyarakat dunia, wujud bermacam istilah yang digunakan bagi merujuk kepada komuniti penganut kepercayaan tertentu.

Komuniti Kristian merupakan kumpulan penganut kepercayaan terbesar dunia, dianggarkan mempunyai angka sekitar 2.38 ke 2.5 billion penganut, berbanding jumlah populasi bumi sekitar 7.8 billion. Ini bermakna hampir 1 daripada 3 individu di seluruh dunia adalah orang Kristian!

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain gelaran 'Kristian' yang membawa makna 'pengikut Jesus' penganut agama Kristian juga ada digelarkan 'believer' (yang meyakini), disciple atau follower (pengikut) serta beberapa istilah lain.

Namun di kalangan masyarakat Islam khasnya pengguna bahasa Arab, orang Kristian dirujuk sebagai 'nasrani' atau 'nasara'. Kenapa?

Penjelasan istilah 'nasrani' dari segi bahasa

nazirite yahudi

'Nasrani' adalah istilah dari bahasa Arab yang digunakan bagi merujuk kepada pengikut ajaran Jesus, dipinjam daripada istilah bahasa Aramaik Syria.

Untuk yang belum tahu, istilah ini memang disebut di dalam kitab al-Quran dalam beberapa ayat secara terang, sama ada dengan sebutan 'nasara' atau 'nasrani.'

'Nasara' adalah kata majmuk istilah ini, sementara 'nasrani' pula merupakan kata tunggalnya. Istilah ini pula datang dari istilah akar 'nasr' atau 'nasir', yang membawa erti 'pembantu' atau 'mereka yang menolong.'

Antara ayat yang menggunakan istilah 'nasara' adalah ayat 30 surah at-Taubah, ayat 111, 120 dan 140 surah al-Baqarah serta beberapa ayat lagi; keseluruhannya 'nasara' disebut sebanyak 14 kali kesemuanya dalam al-Quran.

Sementara ayat Quran yang mengandungi istilah 'nasrani' pula hanya satu, dalam surah Ali Imran ayat ke 67; yang menceritakan berkenaan kekeliruan status Nabi Ibrahim as., difirmankan bukan seorang Yahudi mahupun seorang Nasrani tetapi seorang Muslim.

Penggunaan istilah 'nasrani' dan 'nasara' dalam dunia moden

jesus nasrani pengikut bahasa

Dalam dunia moden, istilah 'nasara' atau 'nasrani' tidak lagi digunakan oleh masyarakat Kristian moden yang lebih selesa menggunakan istilah-istilah lebih relevan.

Bagaimanapun masih terdapat segelintir kecil penganut Kristian yang mengekalkan penggunaan istilah 'nasara' dalam kepercayaan mereka. Antaranya adalah penganut Kristian di sebuah bandar kecil di Kepulauan Malta bernama 'Naxxar.'

Mempunyai populasi seramai 14,800 orang penduduk yang berkongsi keluasan bandar sekitar 11 km persegi, bandar Naxxar dikatakan dibuka oleh kumpulan pendatang yang antara yang terawal menerima ajaran Jesus, digelarkan 'Nassar' yang membawa makna 'mereka yang percaya ajaran Jesus.'

Penggunaan istilah 'nasara' ini juga pernah menghiasai pentas politik Malta sekitar dekad 1960-an, dengan kemunculan parti Partit tal-Ħaddiema Nsara, diterjemahkan sebagai 'Parti Kaum Buruh Kristian'.

Apa yang kami cuba ceritakan di atas, wujud kaitan jelas di antara penggunaan istilah 'nasara' dan masyarakat Kristian zaman lampau yang berkekalan sehingga ke hari ini.

Dari perspektif bahasa, wujud juga satu kelompok pengikut Jesus dalam sejarah, yang kini diistilahkan sebagai sebagai 'nazarene' sempena kawasan kelahiran Jesus, bandar Nazareth yang kini terletak di utara Palestin. 

Tetapi ada juga pihak mendakwa istilah sebenar 'nazarene' ini berkait dengan keturunanan orang Yahudi dan agama mereka yang akhirnya membentuk kumpulan pengikut awal ajaran Jesus.

Nazarene atau Nazirite?

perayaan nasrani di filipina

Terdapat banyak percanggahan berkenaan sejarah sebenar masyarakat yang dikatakan pemilik sebenar istilah 'nazarene' ini, disebabkan oleh perbezaan pandangan pengkaji agama Kristian dan Yahudi sendiri.

Berdasarkan perspektif pengkaji Yahudi - dalam kitab Talmud milik orang Yahudi, ada diceritakan berkenaan kumpulan individu Yahudi digelarkan sebagai 'nazirite', penganut yang tegas memegang ikrar dalam amalan mereka, mengamalkan beberapa pantang larang yang wajib diikuti.

Beberapa amalan Yahudi yang telah diamalkan kekal dituruti kumpulan-kumpulan pengikut yang mula menerima ajaran Jesus, disebabkan oleh status mereka yang juga datang dari kelompok penganut Yahudi. 

Percanggahan kepercayaan utama mula wujud di kalangan kelompok terawal yang percaya ajaran Jesus tetapi masih berpegang kepada ajaran lama Yahudi, disebabkan oleh asas kepercayaan agama Yahudi yang tidak mengiktiraf Jesus Christ/Nabi Isa as. dalam agama mereka bukan saja sebagai seorang Nabi/Rasul/Messenger.

Konflik kepercayaan ini didakwa menyebabkan wujudnya dua aliran yang seakan-akan serupa namanya; 'Nazirite' kekal sebagai kumpulan penganut tegar orang Yahudi dan 'Nazarene' mula digunakan bagi merujuk pengikut Jesus, yang telah menerima Jesus sebagai utusan Tuhan.

Lebih mengelirukan situasi dalam masa terbentuk perbezaan pandangan di kalangan pengikut ajaran Jesus sendiri kepada dua aliran berbeza, hasil daripada percampuran elemen-elemen ini.

Yang pertama - mereka yang mengamalkan gabungan ajaran lama Yahudi dan ajaran baru Jesus, kini diistilahkan sebagai Jewish Christian dalam zaman sekarang.

Kumpulan kedua merangkumi mereka yang meninggalkan sepenuhnya ajaran agama Yahudi, memilih untuk memperakui kenabian Jesus sebagai utusan Tuhan sepenuhnya tanpa berbelah bahagi.

Peristiwa ini dapat kita lihat kesannya sehingga ke hari ini.

Gerakan seperti Messianic Judaism yang sangat popular di Amerika Syarikat dan Israel, mengekalkan sebahagian besar asas agama Yahudi tetapi dalam masa mempercayai Jesus sebagai utusan Tuhan serta konsep triniti, walaupun jelas kepercayaan ini bercanggah dengan tenet utama agama Yahudi.

Nasrani ahli kitab dan Nasrani yang terpesong

orang nasrani

Banyak pendapat popular khasnya di kalangan masyarakat Kristian, melihat tidak wujud hubungkait di antara istilah 'nazirite' dan 'nazarene' seperti yang didakwa.

Pendapat ini dibangkit berdasarkan hujah bahawa penganut Kristian juga dirujuk sebagai 'nazarene' disebabkan oleh tanah asal Jesus, yang sering disebut sebagai 'Jesus of Nazareth.'

Walaupun dari segi sejarahnya wujud bermacam percanggahan berkenaan siapakah Nazirite, Nazarene dan sebagainya akibat daripada persengketaan yang berlaku zaman lampau - kitab al-Quran memperincikan dengan agak jelas siapakah 'Nasrani' yang disebutkan agar tiada kekeliruan.

Walaupun istilah 'nasrani' seringkali disebut dalam nada negatif oleh masyarakat Muslim, ekoran peringatan dalam al-Quran yang berulang kali mengingatkan tentang usaha orang Yahudi dan Nasrani mahu menyesatkan orang Islam; tidak ramai menyedari ada juga elemen baik tentang orang Nasrani disebut dalam al-Quran.

Dalam al-Quran dibezakan kumpulan orang Nasrani ini kepada dua;

Pertama - mereka yang percaya dengan kerasulan Nabi Isa as./Jesus Christ diterima sebagai ahli kitab, dan yang kedua, satu lagi kumpulan Nasrani yang percaya Jesus Christ itu adalah anak Tuhan.

Salah satu ayat memperjelaskan berkenaan orang Nasrani kumpulan pertama, disebutkan mempunyai sifat orang alim serta kuat beribadah terkandung dalam ayat 82 surah al-Maidah:

"Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani". Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, kerana mereka sesungguhnya tidak menyombongkan diri."

Dalam masyarakat kita, kita juga sebenarnya menggunakan istilah 'nasrani' secara am tanpa kita sedari. Pasti ramai tahu tentang masyarakat Serani yang menetap di negeri Melaka, mempunyai darah campuran Portugis dengan orang tempatan.

Istilah 'Serani' yang kita gunakan itu sebenarnya singkatan daripada istilah 'Nasrani,' dinamakan sempena kepercayaan agama komuniti itu oleh masyarakat Melayu zaman dahulu kala.

Kami harap penjelasan ringkas ini mampu memperjelaskan kepada anda dari mana datangnya istilah 'nasrani' yang mempunyai susur galur dari bahasa Aramaik Syria sebelum digunakan secara rasmi dalam bahasa Arab, hubung kaitnya dengan ajaran Yahudi serta konfliknya dengan anutan Kristian yang tidak berkesudahan sehingga ke hari ini.

Ada pihak melihat 'nazarene' dan 'nazirite' berkait antara satu sama lain. Ada yang melihatnya hanya sekadar satu kekeliruan, ekoran bunyinya yang seakan-akan sama disebabkann sistem ejaan zaman dahulu yang belum lengkap vokal dan konsonannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)