Di dunia ini ada bermacam ragam dan budaya masyarakat yang berbeza-beza. Ada yang pelik pada mata kita mungkin biasa pada mereka. Perbezaan kepercayaan dan pendedahan kepada dunia luar juga mendorong sesetengah komuniti untuk terus berpegang dengan kepercayaan yang telah mereka amalkan selama ini.
Berikut adalah 4 ritual paling menyakitkan yang dilakukan oleh masyarakat-masyarakat seluruh dunia yang kami akui, amat perit dan menyakitkan untuk dilakukan. Jika beri saya ganjaran wang tunai pun, besar kemungkinan kami tak akan melakukannya.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Ritual lelaki dewasa suku Satere-Mawe, Brazil
Suku Satere-Mawe mendiami salah satu bahagian di hutan Amazon, Brazil. Mereka percaya untuk seorang lelaki menjadi dewasa, seseorang remaja perlu melalui satu ujian yang telah turun temurun dilakukan mengikut tradisi suku mereka.
Semua remaja Satere-Mawe yang berusia 13 tahun perlu ke hutan untuk mencari sejenis semut yang dinamakan sebagai 'bullet ant.' Bullet ant ini mempunyai kesan gigitan yang cukup sakit sehingga diletakkan tempat teratas dalam skala kesakitan yang mampu dialami akibat bisa di seluruh dunia.
Bisa gigitannya bukan sekadar sakit, malahan mampu menyebabkan seseorang lumpuh. Kesakitannya pula dikatakan sama seperti ditembak peluru- kerana itulah nama semut itu 'bullet ant.'
Semut-semut yang dikumpulkan akan diletak di dalam satu karung khas yang kemudiannya akan diberikan pada tiap-tiap remaja yang ingin dewasa dan mereka perlu memasukkan tangan mereka selama 10 minit tanpa menunjukkan rasa lemah atau sakit.
Tidak cukup hanya sekali melakukannya, selepas satu sesi, mereka perlu melakukannya lagi 19 kali dalam tempoh beberapa bulan bagi layak bergelar lelaki dewasa.
2. Tradisi potong jari suku Ndani
Terdapat sebuah suku primitif di daerah Lembah Baliem yang terletak di Papua New Guinea. Lokasi mereka hanya boleh diakses dengan menggunakan helikopter.
Apa yang mengejutkan mengenai kehidupan suku ini adalah kepercayaan mereka setiap kali mereka menghadap kematian orang tersayang, mereka akan mengerat jari mereka sendiri sebanyak satu batang dari mana-mana jari.
Jari yang sudah dipotong itu akan dikebumikan sekali dengan badan si mati sebagai tanda kasih sayang mereka terhadap si mati. Malangnya, tidak ada had bagi mereka melakukan potongan ke atas jari, bagi mereka yang lebih ramai sanak saudara meninggal, besar kemungkinan seseorang itu akan kehilangan keupayaan untuk melakukan kerja-kerja seharian.
3. Upacara melambung bayi di India
Upacara melambung bayi ini dilakukan oleh ibu bapa yang baru mendapat cahayamata di daerah Karnataka, India. Semua bayi yang baru lahir akan dilambung dari jarak 30 ke 50 kaki oleh seorang dukun atau ketua kampung kemudiannya akan disambut oleh penduduk setempat menggunakan selimut, sambil ibu bayi tersebut melihat anaknya dilontar ke bawah.
Upacara ini diamalkan bukan sahaja oleh masyarakat Hindu malahan turut sama disertai masyarakat Islam di sana.
Pada tahun 2011, kerajaan India mengharamkan upacara tersebut daripada berlangsung namun pada tahun berikutnya, penduduk Kartanaka kembali meneruskan tradisi mereka ini. Alasan mereka, mereka perlu memenuhi tuntutan agama.
4. Sambutan hari Ashura
Sempena menyambut kematian Hussain, cucu kepada Rasulullah saw. setiap tahun pada hari Ashura, masyarakat yang mengamalkan ajaran Syiah akan mengadakan pesta dengan mencederakan diri sendiri.
Pelbagai peralatan digunakan untuk mencederakan diri sendiri bagi mengingati pengorbanan yang telah dilakukan oleh Hussain menentang penindasan yang berlaku pada zamannya.
Antaranya adalah dengan menetak kepala dengan menggunakan pedang atau melibas badan dengan rantai yang dipasangkan pisau dihujungnya. Bukan sekadar golongan dewasa yang menyertai upacara ini, bahkan golongan kanak-kanak juga ramai yang menggunakan senjata-senjata tajam menumpahkan darah sendiri.
Penggunaan peralatan seperti pedang telah pun diharamkan di beberapa negara namun upacara ini tetap berjalan dengan meriahnya.