oke tude chrislam nigeria

Nigeria merupakan antara negara yang mempunyai populasi penduduk yang hampir sama rata pecahan terbesar penganut bersama; dikongsi hampir sama rata masyarakat Islam dan Kristian.

Muslim menjadi majoriti dengan 53.5% daripada keseluruhan populasi, dengan penganut Kristian iaitu pada kadar 45.9%. Oleh sebab itulah wujud pelbagai masalah berkait isu agama berlaku di negara itu, yang membawa kepada siri-siri pertempuran baik kecil atau besar di antara kedua-dua kelompok - menyumbang kepada ketidak stabilan.

Situasi yang senantiasa tegang ini mengakibatkan wujud satu usaha unik di ibu negara mereka Lagos, untuk menyatukan kedua-dua komuniti dalam satu aliran yang dinamakan sebagai 'Chrislam' bermula beberapa dekad lalu.

Apa itu 'Chrislam'?

chrislam gabungan islam kristian

Idea untuk menyatukan kedua-dua agama besar dunia ini sebenarnya sudah dikeluarkan dalam karya sains fiksyen terdahulu, khasnya karya seorang penulis Britain bernama G.K. Chesterton .

Beliau memperkenalkan istilah 'Chrislam', sebuah anutan yang menggabungkan saki-baki ajaran Kristian yang masih tinggal dengan pemikiran Islam yang progresif dalam novel beliau The Flying Finn, terbitan tahun 1914.

Novel tersebut menceritakan bagaimana situasi England yang telah di-Islamkan, sehingga mengakibatkan berlakunya perubahan besar pada hidup masyarakat Kristian di sana mengubah tatacara hidup mereka.

Perubahan itu mengakibatkan dua watak utama novel itu yang beragama Kristian perlu mencari jalan untuk hidup dalam dunia yang didominasi undang-undang syariah. Walaupun demikian, novel itu hanya bertanggungjawab memperkenalkan istilah 'Chrislam' kepada dunia - sehinggalah gerakan penyatuan kedua agama itu dimulakan di Nigeria.

Bermula daripada keperluan perlunya satu persamaan diwujudkan bagi membolehkan perbalahan dihentikan sesama mereka, segelintir masyarakat Lagos mula menjalankan gerak kerja dakwah yang mengasimilasikan ajaran Islam dan Kristian, disesuaikan dengan kepercayaan-kepercayaan lama masyarakat Afrika.

Oleh itu pegangan yang dibawa mereka kebiasaannya bercampur aduk amalan ritualnya di antara apa yang dibawa Rasulullah saw, Jesus Christ atau Nabi Isa as dan juga kepercayaan asal masyarakat setempat Nigeria sendiri.

Menyatukan Muhammad, Jesus dan Anutan Lama

papa tella chrislam

Terdapat beberapa aliran 'Chrislam' wujud di Nigeria ketika ini, namun banyak pihak setuju gerakan asal Chrislam dimulakan oleh seorang lelaki bernama Tela Tella sekitar awal dekad 70-an.

Bekas seorang Muslim murtad, Tella menganut agama Kristian serta aktif menjalankan kerja dakwah bagi membawa kesedaran kepada orang ramai. Namun selepas beberapa tahun, ajaran yang dibawa beliau mula berubah dan dia lebih kerap menyeru agar umat Islam serta masyarakat Kristian disatukan, menurut beliau disebabkan kedua-duanya berkongsi kepercayaan dan Tuhan yang sama.

Gerakan yang dikenali sebagai Ifeoluwa atau 'The Love of God Mission' mula terbentuk untuk memperkukuhkan 5 elemen utama iaitu kasih sayang, budaya mengasihani, kegembiraan, berbuat baik dan berkata benar sebagai tiang kepercayaan mereka.

Menurut Tella dalam khutbahnya, 'seorang Muslim tidak layak bergelar Muslim sekiranya dia bukan seorang Kristian, seorang Kristian tidak layak bergelar Kristian sekiranya dia bukan seorang Muslim.'

Apa yang agak mengelirukan - walaupun mengakui ke-esaan Allah swt., kedudukan Jesus Christ serta kebenaran yang dibawa Nabi Muhammad saw., Tella juga yakin Tuhan berkomunikasi dengannya secara terus menurunkan wahyu kepadanya - ibarat dirinya seorang Nabi.

Dia mengamalkan corak hidup sederhana, agak terpencil dalam sebuah kawasan setinggan di Lagos bersama dua isterinya disertai anak-anak mereka. Setiap Sabtu, Tella bersama dengan lebih 50 orang pengikutnya bertemu di sebuah kuil yang dibina sendiri beliau dan pengikutnya.

Bentuk amalan dan kepercayaan Ifeoluwa

chrislam logo nigeria

Dalam semua acara, ketiga-tiga aspek kepercayaan Islam, Kristian dan kepercayaan etnik mereka digabungkan. Acara keagamaan mereka bermula dengan bacaan ikrar yang berbunyi :

The God of Jesus is One
The God of Muhammad is One
Humanity is one
Chrislam, Chrislam, Chrislam.

Tella akan berarak masuk diikuti kumpulan pengikut setianya yang memegang lilin dan loceng, menandakan bermulanya ritual mereka hari itu.

Mengambil elemen tawaf Kaabah masyarakat Muslim, mereka akan berpusing di sebuah binaan yang dinamakan Holy Spirit Square sebanyak 7 pusingan sambil memegang kitab al-Quran dan Bible. Selepas upacara itu berakhir, barulah Tella akan memulakan ucapannya.

Upacara setiap Sabtu itu berlangsung lebih 2 jam sebelum semua pengikutnya pulang.

Sebagai amalan harian, pengikut Ifeoluwa mengamalkan solat wajib dua kali sehari - keperluan itu menurut Tella diringankan berbanding 5 kali solat sehari seperti masyarakat Islam lain, disebabkan oleh jadual hidup mereka yang padat.

Walaupun gerakan itu diasaskan oleh ajaran yang dibawa dalam al-Quran dan Bible, menurut Tella kandungan kedua-dua kitab itu belum benar-benar lengkap serta masih memerlukan perubahan.

Dia percaya dirinya memikul tanggungjawab untuk melengkapkan al-Quran dan Bible, selepas dia selesai menulis kitabnya sendiri.

Chrislam ketika ini

chrislam oke tude

Bermula daripada gerakan Ifeoluwa hampir empat dekad lalu, kepercayaan hampir serupa mula bercambah ke sekitar Nigeria di bawah label berbeza.

Pecahan yang dilihat sebagai pesaing utama kepada gerakan yang diasaskan Tela Tella adalah Oke Tude, diasaskan seorang lelaki bernama Dr. Samsindeen Saka (gambar atas). Mungkin merasa tergugat, Tela Tella mengisytiharkan Oke Tude sebagai ajaran tidak benar.

Walaupun begitu, Oke Tude terus berkembang menjadi aliran Chrislam paling popular di Nigeria dalam gelombang kedua penyebarannya, berlaku sekitar tahun 1989.

Sekitar tahun 2005, muncul satu lagi aliran Chrislam di namakan sebagai The Ogbosomo Society of Chrislam atau OSC , digagaskan oleh kumpulan pelajar peringkat universiti yang berdakwah dan percaya hanya dengan menggabungkan agama majoriti di Nigeria dibawah satu kepercayaan mutlak, barulah keamanan boleh dirasai.

Apa yang jelas sekarang ini gerakan untuk menyatukan ideologi masyarakat Muslim dan Kristian dalam satu anutan sama sedang berkembang, walaupun rentaknya agak perlahan. Usaha penyebarannya di negara-negara barat seperti Amerika Syarikat mendapat tentangan masyarakat Kristian yang kuat berpegang kepada agama mereka.

Namun dalam masa yang sama, ideologi atau idea asas penyatuan yang dipertengahkan gerakan seperti Ifeoluwa semakin hari semakin berkembang di Amerika Syarikat, walaupun bukan dalam bentuk kepercayaan atau gerakan formal.

Gerakan seperti 'Faith Shared' hasil usaha Interfaith Alliance and Human Rights First dilihat mirip serta bersandarkan kepada pegangan sama yang dibawa di Nigeria, bahawa Islam dan Kristian boleh atau perlu disatukan.

Menurut doktrin dibawah Faith Shared, ketua-ketua agama di seluruh Amerika Syarikat di syorkan untuk rajin berdakwah bukan saja dengan kitab agama masing-masing, malahan turut menggunakan isi kandungan kitab-kitab agama lain agar dijadikan elemen penyatuan masyarakat dunia.

Apa yang ditakuti, tema penyatuan yang dibawa dikhuatiri akan mampu meyakinkan orang ramai bahawa inilah solusi kemelut pertikaian agama antara kita semua, berbanding doktrin agama berbeza-beza yang membawa kepada pertengkaran dan perbalahan apabila kita terlalu sibuk mempertahankan kepercayaan masing-masing. 

Rujukan

Faith Shared

On Faith: Chrislam, past, present and future

Ifeoluwa Mission



Hakcipta iluminasi.com (2017)