Dalam Bahasa Melayu, ucapan 'selamat menyambut hari Krismas' atau yang disebutkan dalam bahasa Inggeris sebagai "Merry Christmas" seringkali diterjemahkan secara formal sebagai "Selamat Hari Natal."
Pernahkah anda terfikir 'natal' itu apa atau baru anda terfikir pasal benda ni? Hahaha!'
Tak apa. Jom kita belajar tentang istilah "Natal" yang mempunyai sejarah dan etimologi yang menarik, serta penggunaannya yang meluas dalam konteks perayaan Krismas.
BESARKAN TEKS A- A+
Asal usul perkataan "Natal"
Perkataan "Natal" berasal dari bahasa Latin "natalis," yang membawa maksud "kelahiran." Dalam konteks perayaan masyarakat jelas sekali "natal" merujuk kepada kelahiran Jesus Christ.
Perkataan ini telah digunakan dalam pelbagai bahasa untuk merujuk kepada perayaan Krismas, termasuk Bahasa Melayu.
Etimologi atau asal-usul perkataan "Natal" direkodkan bermula dalam bahasa Latin, diambil daripada perkataan "natus," yang bermaksud "dilahirkan."
Pengaruh penjajahan Portugis memperkenalkan istilah ini kepada kita. Ini kerana dalam bahasa Portugis, perkataan "natal" memang igunakan untuk merujuk kepada sambutan Krismas.
Bezanya, orang Portugis atau Portugal menyebutnya sebagai 'feliz natal', yang membawa makna sama.
Penggunaan Perkataan "Natal"
Secara amnya natal digunakan untuk mengucapkan selamat kepada orang yang merayakan Krismas.
Selain daripada itu terdapat juga beberapa kaedah berbeza istilah ini diamalkan. Dalam bidang perubatan sebagai contoh, istilah pra-natal atau post-natal adalah istilah yang disebut bagi merujuk kepada proses bersalin bayi ke dunia.
'Natal' juga terpilih sebagai nama sebuah bandar yang terletak di Brazil, terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan di sana.
Oleh kerana berkait dengan kelahiran, wujud juga carta Natal dalam kajian astrologi yang dipercayai membentuk personaliti seseorang berdasarkan tarikh kelahirannya. Kami perlu ingatkan...astrologi ya, bukan astronomi.
Jangan salah faham pula!
Siapa lagi menyebut istilah 'natal'?
Kami sebutkan di atas penggunaan istilah 'natal' yang kita guna pakai sekarang, datang daripada istilah Portugis.
Bagaimanapun bukan masyarakat Portugis saja yang mengamalkannya dalam ucapan. Selain Portugis, beberapa buah negara turut mengamalkannya.
Di jiran terdekat kita Indonesia, istilah 'natal' memang lebih kerap penggunaannya berbanding 'Krismas.' Selain Portugis, negara Itali juga menyebut 'Buon Natale!' setiap kali tiba perayaan ini.
Kami akhiri dengan satu lagi perkongsian. Tahukah anda, istilah nama 'Natalie' seperti yang diberikan kepada pelakon Natalie Portman, Natalie Dormer atau penyanyi Natalie Imbruglia juga merujuk kepada peristiwa serupa; iaitu kelahiran Jesus Christ?
Kini anda tahu.