Setiap masyarakat mempunyai pengaruh dan tradisi yang berbeza, membentuk identiti serta personaliti masyarakat yang berbeza-beza dalam banyak aspek.

Jadi apabila sesuatu budaya itu jarang kita amalkan di negara kita, pasti kita akan merasakan perasaan aneh apabila melihat sesuatu amalan atau budaya yang agak asing serta tidak diamalkan masyarakat kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun bagi mereka yang sudah biasa mengamalkannnya, mereka tidak merasa canggung - malahan merasakan apa yang mereka lakukan itu sebagai satu budaya yang mengangkat masyarakat mereka. Berikut adalah lima budaya serta tradisi yang akan kelihatan pelik pada kita di Malaysia, tetapi sebenarnya sangat biasa bagi mereka yang mengamalkannya.

1. Lelaki Bangladesh gemar berpegangan tangan

orang bangladesh pegang tangan lelaki

Tidak hanya eksklusif kepada warga Bangladesh, budaya berpegangan tangan sambil berjalan ini sengaja kami khususkan kepada rakyat Bangladesh kerana budaya ini sangat mudah dilihat dilakukan di negara kita.

Selain Bangladesh, antara negara lain yang mengamalkan budaya berpegangan tangan sesama lelaki adalah negara India, Pakistan dan beberapa negara lain di Asia timur khasnya. Namun, jangan risau. Berpegangan tangan bagi mereka tidaklah menandakan mereka songsang.

Bagi masyarakat yang mengamalkan budaya dan tradisi ini, kerana bagi mereka - budaya berpegangan tangan melambangkan keakraban dan kemesraan yang wujud di antara dua individu berstatus sahabat. Tidak ada apa-apa yang gay tentang lelaki dan mereka akan tersinggung, seandainya anda mengatakan mereka pasangan gay.

Anda nak mulakan di Malaysia? Silakan. Tangan penulis ni pun sejuk dah ni.

2. Lelaki Arab gemar berlaga hidung

orang arab cium hidung

Seandainya anda merasakan lelaki Bangladesh berpegangan tangan sebagai gay, pasti anda terdiam sekiranya nampak lelaki-lelaki Arab berlaga hidung sesama mereka setiap kali bertemu. Ini adalah budaya yang sangat biasa dilakukan di negara-negara Arab seperti Yaman dan Dubai.

Amalan ini kerap kali diamalkan setiap kali selepas bersalaman dengan kenalan rapat, menjadi salah satu tradisi utama setiap sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara-negara terlibat.

Digelarkan sebagai 'khashm-makh' atau ciuman hidung, tradisi ini diajarkan pada kanak-kanak masyarakat Arab sejak mereka kecil lagi bagi menandakan rasa hormat dan kasih pada individu yang mereka hargai - menjadi warisan serta identiti Arab Badwi yang diturunkan generasi ke generasi.

3. Orang India meraikan darah haid pertama anak gadis

orang india raikan darah period gadis

Berbeza dengan kebanyakan negara lain - masyarakat India khasnya yang tinggal di bahagian selatan negara tersebut, mengamalkan satu sambutan luar biasa. Mereka meraikan apa yang dinamakan sebagai Manjal Neerattu Vizha atau sambutan turunnya darah haid pertama anak gadis di situ.

Sambutannya pula bergantung kepada kemampuan keluarga, tetapi seperti biasa- lebih mewah lebih bagus. Bentuk sambutannya juga berbeza, dengan ada keluarga melakukannya selama beberapa hari.

Gadis itu pula akan melalui ritual di mana mereka akan dimandikan di dalam air kunyit serta 'dikurung' di dalam ruangan berasingan, yang hanya boleh dimasuki perempuan lain.

4. Nyanyian di mana-mana sahaja di Filipina

masyarakat filipjna gemar menyanyi

Masyarakat Filipina sebenarnya mempunyai bakat nyanyian yang terbukti di seluruh dunia. Salah seorang artis Filipina yang paling terkenal adalah Lea Salonga, yang banyak menjadi suara sebenar di belakang tabir nyanyian-nyanyian filem animasi klasik terbitan Disney.

Mengapa Filipina dikaitkan dengan kemampuan vokal yang bagus? Ini kerana di Filipina, ada budaya yang membiasakan mereka menyanyi di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa. Semuanya berasal daripada tradisi lama mereka, kerap kali berkumpul beramai-ramai sambil menyanyi diiringi alunan alat muzik.

Menyanyi dianggap satu perkara yang sangat membantu masyarakat Filipina mententeramkan hati serta menceriakan seseorang. Jadi janganlah terkejut sekiranya anda melihat ada orang Filipina yang menyanyi di tepi jalan seakan-akan sedang melakukan persembahan konsert mega penuh penghayatan. (Filipinos Love Singing)

5. Budaya tidak berpakaian sebagai norma di Eropah

orang eropah tidak kisah berbogel

Bagi masyarakat seperti kita yang tinggal di Asia, menanggalkan keseluruhan pakaian di depan orang lain merupakan sesuatu yang memalukan tetapi bagi beberapa Eropah, khasnya Belanda, Belgium dan Jerman - apa yang mereka amalkan adalah sebaliknya pula. Mereka tidak malu untuk berbogel di depan orang yang mereka tidak kenali kerana ia sudah menjadi kebiasaan.

Berbeza dengan budaya yang diamalkan, budaya di negara-negara Eropah ini datang daripada didikan awal tentang seksualiti, di mana pendidikan tentang jantina sudah dimulakan sejak pra-sekolah lagi. Ibu bapa negara ini juga tidak segan untuk membiarkan anak-anak mereka yang sudah berusia 8 ke 12 tahun tidak berpakaian di pantai.

Lama-kelamaan, budaya ini melarat sehingga mereka dewasa sehinggakan ramai individu tidak lagi segan untuk tidak berpakaian di dalam rumah misalnya, walaupun banyak mata yang melihat. Berbogel di depan anak-anak menjadi satu perkara norma ibu bapa. Kawasan-kawasan awam seperti perkhidmatan bilik persalinan dan spa juga tidak mempunyai pengasingan yang ketara di antara jantina. Bagi negara-negara ini, tidak berpakaian bukanlah sesuatu yang perlu dipandang aneh.




Hakcipta iluminasi.com (2017)