Salah satu identiti unik yang ada pada masyarakat Hindu adalah budaya mereka mengenakan corak pada bahagian wajah, dengan corak atau perhiasan yang dikenakan juga berbeza mengikut jantina masing-masing.
Budaya mencorakkan wajah ini bukanlah eksklusif pada orang Hindu semata-mata, bahkan sebenarnya turut dilakukan oleh banyak lagi penganut agama lain dan juga berdasarkan kepada kepercayaan atau tradisi masyarakat setempat.
BESARKAN TEKS A- A+
Kenapa ada kumpulan masyarakat yang mencorakkan wajah mereka dan apakah makna disebalik setiap tradisi itu? Berikut adalah
1. Bindi
Kita mulakan dengan hiasan yang paling kerap kita nampak - bindi.
Bindi merupakan titik merah yang dihias pada dahi wanita Hindu dan juga penganut Jainisme - kerana kawasan titik itu dipercayai sebagai kawasan 'ajna' seseorang. Ajna bermakna pengetahuan yang tersembunyi dan bindi dipercayai membantu melindungi tenaga seseorang wanita serta menjadikan dia lebih fokus.
Banyak jenis bahan boleh digunakan untuk membuat bindi, antaranya kunyit dan saffaron yang dikisar kemudian dibentukkan menjadi bulatan.
2. Tilak/Tilaka
Kebiasaannya dihias pada bahagian wajah, tilak boleh juga dilakarkan pada bahagian badan yang lain seperti lengan, leher dan dada.
Digelarkan 'tilak' yang membawa makna 'petanda'. Garisan yang dihasilkan pula berbeza mengikut kumpulan-kumpulan kepercayaan atau 'sect' penganut Hindu, dengan kumpulan Shaivas yang mengikut Dewi Shiva akan membuat tiga garis melintang pada dahi.
Kumpulan Vaishnavas yang menyembah Dewa Vishnu pula melakarkan dua garis menegak sepanjang dahi.
3. Arang muka hari Rabu
Digelarkan sebagai 'Ash Wednesday' dalam kepercayaan sesetengah masyarakat Kristian, pada permulaan sambutan keagamaan Lent - orang Kristian akan melakarkan tanda salib pada dahi mereka dengan menggunakan arang.
Turut dikenali dengan nama 'The Day of Ashes', arang dipilih bagi melambangkan simbol manusia yang diperbuat daripada tanah dan apabila seseorang meninggal dunia, dia akan kembali menjadi debu-debu - ibarat debu arang.
Penganut Kristian akan hadir ke gereja bagi membolehkan paderi melukiskan salib pada dahi mereka, sebagai tanda memperingati kehidupan dan kematian.
4. Tanda tangan pada muka pahlawan Apache
Sangat unik bagi masyarakat Apache yang menetap di Amerika Syarikat, mereka akan melakarkan simbol berbentuk tapak tangan pada wajah individu lelaki puak itu. Apakah makna ini?
Sekiranya seorang lelaki Apache mempunyai simbol ini diwajah, ini menandakan dia pernah melalui pertarungan satu lawan satu dengan musuh - dan menang pertarungan itu.
5. Tradisi Gelina Muslim Bulgaria
Unik hanya untuk masyarakat Muslim Pomak yang tinggal di Bulgaria, mereka masih lagi mengamalkan budaya yang digelarkan sebagai 'gelina' - di mana pengantin perempuan akan dilukiskan wajahnya dengan krim berwarna perak, sebelum hiasan seperti manik dan corak bunga ditambah ke wajah pengantin itu.
Tradisi ini terpaksa dihentikan selepas kerajaan Kesatuan Soviet mengharamkan amalannya, namun kini mula popular kembali dalam komuniti Muslim di sana. Kenapa wajah pengantin diwarnakan? Ini menandakan dia masih seorang perawan.
6. Ta' Moko
Bagi suku kaum Maori yang tinggal di New Zealand, selain daripada mencacah badan mereka dengan corak berbentuk tradisional - mereka juga akan mencacah wajah mereka dengan corak yang unik pada mereka.
Dinamakan sebagai Ta' Moko, tradisi ini dilakukan berdasarkan kepada satu hikayat kepercayaan masyarakat mereka, dengan permukaan kulit diparut untuk corak dibentuk sebelum 'diwarnakan', sama seperti proses memarut kayu.
Oleh kerana prosesnya jauh lebih menyakitkan berbanding tatu biasa, jangka masa yang diambil bagi menyiapkan ta moko amat panjang bagi lelaki khasnya yang selalunya mencacah keseluruhan wajah mereka. Makan masa bertahun pun ada. Bagi wanita, hanya bahagian dagu dan bibir akan diwarnakan.