Penulis ada satu soalan kepada anda.
Pernah tak anda mendengar istilah 'foodporn'? Maaflah kalau penulis tidak mengubah ejaan itu kepada ejaan lain, kami rasa artikel ini akan lebih jelas jika kita menulisnya secara terbuka.
Lagipun, kita nak berbicara tentang bahasa.
Kalau pernah, pasti anda tahu 'foodporn' merujuk kepada satu bahan atau media yang memaparkan makanan yang lazat khusus untuk tatapan mata kita. Selain 'food', ada banyak lagi perkara baik sering dikaitkan dengan 'porn' akibat citarasa aneh netizen zaman sekarang.
BESARKAN TEKS A- A+
Kenapa ini berlaku? Kami tidak tahu. Kami harap artikel ini dapat memperbetulkan apa yang telah songsang, sebelum perkara buruk ini menjadi biasa.
Penggunaan 'porno' sebagai kata am?
Kami tidak tahu sejak bila penggunaan istilah 'porn' atau porno mula digunakan bagi menggambarkan sesuatu yang asalnya hanyalah perkara umum dirasakan menarik, mengujakan dan mengasyikkan.
Apa yang kita tahu budaya penggunaan internet dan media sosial bertanggungjawab menaikkan populariti istilah ini, digunakan bagi menggambarkan perbuatan menonton atau melayari bahan yang dirasakan mempunyai kualiti yang mengasyikkan.
Istilah '~porn' yang digunakan ibarat imbuhan ini kini digunakan dalam pelbagai cara mengikut isi kandungannya, dalam pelbagai kategori-kategori berbeza. Antara isi kandungan yang sering dilabelkan dengan 'imbuhan' unik ini selain 'foodporn' adalah:
Artporn - diguna bagi merujuk karya lukisan dan seni yang menarik
Techporn - digunakan bagi mewakili gajet atau produk berteknologi
Carporn - dipilih sebagai label mewakili visual kenderaan kereta
Designporn - digunakan sebagai rujukan kepada karya yang mempunyai nilai visual yang tinggi baik dalam bentuk fizikal ataupun digital
..serta banyak lagi.
Senang cerita, 'porn' sudah digunakan sebagai satu perkara yang tidak terhad kepada pornografi sebenar; sebaliknya turut diguna bagi menggambarkan perasaan yang dirasai atau keterujaan seseorang, apabila menonton sesuatu yang mengkhayalkan dirinya.
Kenapa pornografi?
Walaupun isi kandungan sebegini biasanya tidak mempunyai unsur-unsur lucah di dalamnya malahan selamat untuk ditonton, kenapa pula label '~porn' dijadikan istilah perkongsiannya?
Bukankah secara automatik istilah itu akan membuatkan kita terus teringat pornografi sebenar, kan?
Satu persoalan besar yang perlu kita fahamkan lebih dahulu adalah makna porn itu sendiri, kerana istilah ini jelas kurang sesuai untuk dipadankan dengan perkara yang murni.
Dari segi sejarah istilahnya, istilah pornografi wujud lebih awal sebelum porn.
Porn adalah singkatan kepada istilah itu. Pornografi atau pornography datang daripada istilah pornographos, sebuah istilah Yunani lama yang merupakan gabungan dua istilah berbeza.
Graphos adalah kata kerja yang membawa makna 'menulis tentang sesuatu' manakala 'porne' pula merujuk kepada golongan pelacur.
Jadi pornographos merupakan istilah yang mewakili seseorang yang menulis atau melapor tentang aktiviti persundalan, di mana wanita menjual tubuh demi pendapatan.
Lokasi di mana aktiviti persundalan berlaku pula dinamakan oleh orang Yunani terdahulu sebagai porneion.
Istilah ini secara rasminya diambil ke dalam bahasa Inggeris, sekitar tahun 1842 pada awalnya bagi mewakili lukisan-lukisan pengkarya terdahulu yang menghasilkan ilustrasi bersifat lucah.
Ekoran populariti wayang gambar yang menjadikan karya-karya pornografi mudah ditayangkan, masyarakat barat memendekkan istilah ini hanya menjadi 'porn' bagi merujuk sebarang bentuk media bersifat lucah pada tahun 1962.
Tinggalkanlah trend bodoh ini!
Berdasarkan penerangan di atas, jelas sekali mengaitkan sesuatu yang baik seperti makanan atau gajet dengan pornografi atau porn, merupakan satu perbuatan yang bukan saja tidak masuk akal bahkan salah daripada segi makna bahasanya.
Namun malangnya kegilaan masyarakat internet untuk mencipta trend atau frasa yang dirasakan hip, menyebabkan tidak ramai lagi ambil peduli apa yang tersirat di sebalik sesuatu; sebaliknya gelojoh menyamakan benda yang tidak elok dengan perkara yang asalnya bersih.
Seperti yang sudah kami katakan, kami tidak tahu siapa yang memulakan trend bodoh ini.
Namun kesannya kepada kita jelas, bagaimana penggunaannya menyebabkan porno sering terbayang dalam minda kita dan yang lebih buruk, '~porn' mula dilihat sebagai sesuatu yang biasa.
Adakah ini satu cubaan yang akan membiasakan pornografi dalam kehidupan orang ramai? Ya. Kerana semakin ramai di kalangan netizen tidak lagi ada rasa malu hendak menulis dan memaparkan istilah 'porn' dalam perkongsian mereka.
Berhentilah menggunakan istilah sebegini.
Sudahlah salah, rujukannya juga tidak kena.
Kenapalah makanan nak dikaitkan dengan aktiviti persundalan pula? Apa persamaannya?