Oleh pada 21 Jan 2023 kategori

Satu perkara yang pelik berkenaan rakyat Malaysia, adalah bagaimana ramai di antara kita boleh merasa pelik menggunakan bahasa Melayu yang betul.

Khususnya melibatkan istilah yang jarang kita gunakan dalam bahasa Melayu, sebaliknya selesa mengamalkan sebutan istilah bahasa Inggerisnya.

Sehinggakan apabila seseorang menggunakan istilah BM yang betul - ada yang teruja, ramai yang terkejut mendengarnya. Siapa lagi nak mengamalkan bahasa kita kalau bukan kita kan, rakyat Malaysia?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 7 istilah pilihan berkait peralatan yang kita kerap guna, tetapi kami andaikan jarang sekali anda gunakan istilahnya dalam bahasa kebangsaan kita.

1. Penyedut hampagas

penyedut hampagas

Penyedut hampagas mempunyai beberapa varian yang berbeza dan rasmi dalam bahasa kita.

Boleh disebut sebagai penyedut hampagas, pembersih hampagas, penyedut vakum atau pembersih vakum - kesemuanya betul penggunaannya.

Tetapi kita selesa menggunakan vacuum cleaner kan?

Vacuum itu sendiri kita dah guna sebagai kata kerja atau perbuatan, sedangkan vakum atau vacuum merujuk kepada ruangan tiada jirim di dalamnya atau hampagas yang bermakna tiada gas.

Kami harap pekerja kedai cuci kereta berhentilah tanya pelanggan mereka "mahu vacuum ke?" setiap kali ada pelanggan datang membasuh kenderaan.

2. Lampu kalimantang

lampu kalimantang

Siapa tahu apa maknanya kalimantang ni? Mesti ramai tak tahu kan?

'Kalimantang' sebagai istilah membawa makna cahaya putih yang memanjang.

Cahaya yang mengalimantang bererti cahaya itu putih dan berbentuk memanjang. Jelas tak?

Istilah lampu kalimantang juga biasanya kita rujuk sebagai lampu pendarfluor kan?

Kedua-duanya walaupun nampak sama, tetapi ada perbezaannya.

'Lampu kalimantang' merujuk kepada lampu berwarna putih. Sementara pendarfluor pula adalah istilah bahasa rasmi BM, yang membawa makna cahaya yang terhasil daripada tindakbalas elektron.

Anda tahu tak istilah 'pendar' itu secara tunggal, mempunyai makna 'cahaya'?

3. Ketuhar gelombang mikro

ketuhar gelombang mikro

Seperti 'vacuum' yang sudah ditukar kepada kata kerja tidak rasmi, 'microwave' pun telah mengalami perubahan sama.

Ayat seperti 'tolong microwave aku punya makanan!' dah sering kita sebut tanpa kita rasa janggal.

Realitinya 'microwave' membawa maksud gelombang mikro, jadi sekiranya anda pesan kepada kawan anda 'tolong gelombang mikro makanan aku!' pasti ramai memandang pelik anda hari itu.

Gunakanlah istilah ini dengan betul.

Gantikan microwave oven yang biasa kita guna dengan ketuhar gelombang mikro dan perbuatan menggunakannya, dirujuk sebagai memanas atau menghangatkan.

4. Penghala

penghala internet router

Sebut pasal router, mesti ramai tak tahu apa terjemahannya dalam bahasa Melayu kan?

Terjemahan yang betul adalah penghala. Sekiranya kita menulis tentang internet router, kita akan menamakannya sebagai penghala internet.

Satu lagi bentuk 'router' yang ada, adalah mesin pemotong kayu yang biasanya diguna sama ada secara manual atau menggunakan elektrik, diguna untuk melubangkan bahagian-bahagian kayu.

Jika diterjemahkan ke bahasa Melayu, router jenis ini kita panggil penghala kayu.

Selepas ini apabila anda menghadapi masalah dengan sambungan internet anda, cuba beritahu operator bertugas 'penghala' anda gagal berfungsi dengan baik.

Mesti panjang perbualan anda dengan dia nak fahamkan dia apa sebenarnya yang anda maksudkan. Walhal, kita di Malaysia bukannya negara barat..

5. Pembancuh kopi

pembancuh kopi coffee maker

Dalam bahasa Inggeris, istilah coffee maker atau yang terbaru coffee machine kerap diamalkan.

Jika diterjemahkan ke bahasa Melayu istilah coffee maker, besar kemungkinan ramai akan menukarnya menjadi pembuat kopi. 

Istilah yang betul bagi merujuk kepada perkakas ini adalah pembancuh kopi, bukan pembuat kopi.

Pembuat kopi lebih tepat digunakan bagi merujuk kepada orang yang memproses biji kopi sehingga menjadi serbuk kopi atau individu yang rajin menyiapkan kopi untuk anda.

6. Tambah nilai

tambah nilai top up

Nak beli top-up! Nak top-up! Ada jual top-up?

Penggunaan istilah ini sudah terlalu meluas walaupun daripada segi bahasanya jelas salah.

Jika dinilai, kita tak boleh membeli top-up kerana top-up dalam bahasa Inggeris sebenarnya membawa makna perbuatan menambah nilai.

Tetapi malangnya apabila sesuatu kesalahan sudah dibiasakan dan semua orang faham dengan apa yang dirujuk, akhirnya bahasa kita pun rosak.

Apa gantinya? Guna frasa 'saya nak buat tambah nilai' atau 'ada jual kad tambah nilai?' kepada juruwang, jika anda ingin menambah nilai dalam baki akaun anda.

7. Kotak set-atas

stb kotak set atas

Biasanya disebut sebagai STB atau set-top box, peranti ini kini merupakan antara peranti wajib anda dalam rumah bagi mendapatkan siaran televisyen baik menerusi internet atau gelombang digital berfrekuensi tinggi.

Apa agaknya terjemahan STB dalam bahasa Melayu?

Kami yakin di antara kesemua istilah dalam senarai ini, istilah 'kotak set-atas' merupakan istilah paling kurang penggunaannya dek kita yang sudah mesra benar dengan istilah STB.

Cuma itulah, nak jadi orang yang pertama menggunakan istilah kotak set-atas dalam lingkungan hidup kita pasti banyak rintangannya.

Sebagai contoh, seandainya ada penulis menulis "rakyat Malaysia gemar menggunakan kotak set-atas Android untuk mendapatkan siaran televisyen berbayar secara curi."

Kami yakin ramai tidak faham apa yang dimaksudkan membuktikan betapa lemahnya penggunaan bahasa Melayu yang betul di kalangan kita, rakyat Malaysia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)