Bidang robotik kini merupakan salah satu cabang yang semakin direalisasikan, selepas berdekad-dekad lamanya hanya wujud dalam bentuk imaginasi karya-karya fiksyen terkenal.

Kita mungkin belum mampu melihat robot sepintar apa paoaran dalam filem, tetapi teknologi robotik sedia ada sudah mampu memberikan hasil yang sangat menggalakkan dalam pelbagai sektor dan industri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selalu sangat kita sebut pasal robot, pernahkah anda tertanya dari mana datangnya istilah 'robot'?

Kenapa kita gunakannya untuk merujuk kepada mesin atau jentera berbentuk manusia?

Penggunaan istilah 'robot' dalam era moden

rur pementasan teater karel cape

Istilah 'robot' dari segi makna sekarang baru sahaja digunakan sejak abad ke 20, bagi merujuk mesin-mesin jentera yang mempunyai fungsi, kebolehan dan kemampuan tertentu asalnya dalam karya fiksyen.

Penggunaan istilah 'robot' kali pertama dalam karya era moden dilakukan oleh penulis dari Czech bernama Karel Capek pada tahun 1920, dalam skrip dramanya yang berjudul R.U.R atau 'Rossumovi Univerzální Roboti'.

Terjemahan kisah itu ke dalam bahasa Inggeris diberikan judul 'Rossum's Universal Robot' merupakan penggunaan istilah tersebut kali pertama dalam bahasa Inggeris bagi merujuk 'robot', diterbitkan pada 25 Januari 1921.

R.U.R karya bergenre fiksyen sains meletup, mendapat sambutan hangat selepas itu sehingga diadaptasi kepada lebih 30 buah bahasa.

Karya itu terus dipersembahkan dalam bentuk teater di sekitar Eropah dan Amerika Syarikat - membawa kepada populariti istilah 'robot' bagi merujuk kepada mesin yang menyerupai manusia.

Tetapi itu bukan asal sebenar istilah robot!

Asal-usul sebenar istilah 'robot'

android dalam karya fiksyen

Kita sudah tahu siapakah yang mempopularkan istilah 'robot' untuk merujuk kepada mesin, tetapi dari mana datang istilah itu?

Karel Capek merupakan seorang penulis berbangsa Czech dan dia sebenarnya meminjam istilah daripada bahasa ibundanya sendiri.

Kisah R.U.R garapan Karel memaparkan sekumpulan 'robot' yang ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja untuk tuan mereka, sebelum kesedaran yang mereka perolehi menyebabkan kumpulan robot itu memberontak enggan terus diperhambakan.

Idea untuk menamakan kumpulan 'robot' itu datang daripada istilah 'roboti' yang membawa makna 'hamba', dalam bahasa Czech.

Ini bermakna Karel menamakan robot-robot itu berdasarkan simbolik kedudukan mereka 'hamba kepada manusia' yang ditugaskan melayan manusia - bukanlah kerana mereka diperbuat daripada mesin.

Namun populariti istilah 'robot' atau 'roboti' itu lekat merujuk kepada mesin dan jentera menyerupai figura manusia, sehinggakan kita pun sudah merujuk 'robot' sebagai 'robot' tanpa menyedari makna sebenarnya iaitu hamba.

Istilah 'roboti' secara keseluruhannya boleh merujuk kepada buruh paksa, hamba atau sesiapa saja orang suruhan tanpa kerelaan.

Dalam bahasa Czech kuno, istilah ini disebut sebagai 'rabu' atau hamba sahaya.

Jangan keliru dengan penggunaan istilah 'robot' sebelum abad ke 20

sejarah perhambaan sistem robot

Harus diperjelaskan, penggunaan istilah 'robot' sebelum Karel Capek mula mempopularkan makna barunya - memang merujuk sepenuhnya kepada sistem perhambaan.

Sebagai contoh yang paling terkenal, pada tahun 1781 pemerintah tertinggi Empayar Jerman, Joseph II mengumumkan dekri hak-hak robot bagi menghadkan sistem perhambaan yang diamalkan di wilayah beliau.

Dalam pengisytiharan tersebut, Joseph II mengumumkan bahawa semua 'sistem robot' merujuk kepada golongan buruh paksa di bawah kendalian kerajaan beliau, hanya boleh dikerah maksima 3 hari seminggu dan 12 jam sehari.

Dekri-dekri seterusnya yang diisytihar membolehkan golongan 'robot' menebus kebebasan mereka daripada tuan mereka, berdasarkan kepada kos tebusan yang telah ditetapkan kerajaan.

Kami jelaskan di sini kerana kami takut ada antara anda yang terkeliru menganggap bahawa masyarakat Eropah sudah berkurun lamanya mampu menggunakan perkhidmatan robot peribadi.

Ingat - istilah robot sebelum 1921 merujuk kepada hamba.

Selepas 1921 istilah itu mula merujuk kepada mesin dan jentera yang kita ketahui sekarang ini, dimulakan dalam karya sains fiksyen.




Hakcipta iluminasi.com (2017)