xiaoyi robot lulus ujian doktor made in china

Sebuah robot yang dinamakan Xiaoyi atau 'Doktor Kecil' yang menggunakan sistem kawalan kepintaran tiruan atau artificial intelligence (AI) telahpun menjadi robot pertama di dunia berjaya melepasi ujian peperiksaan pengamal perubatan di China.

Direka oleh sebuah syarikat AI robotik dari China bernama iFlytek Co.Ltd. pada awalnya direka untuk menganalisa maklumat berkenaan pesakit dan kini telah dinaik taraf sehingga mempunyai kebolehan untuk menjadi seorang pengamal perubatan berdaftar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu, ini bukanlah cubaan pertama Xiaoyi mengambil ujian berkenaan. Pada ujian pertama, Xiaoyi mengambil ujian yang sama dan hanya berjaya menjawab 100 daripada 600 markah, dengan markah lulus 360. Selepas ujian kali pertama gagal, Xiaoyi dibekalkan dengan pelbagai pengetahuan dalam bentuk buku teks, 2 juta rekod perubatan serta 400 ribu jurnal daripada penerbitan perubatan.

Hasilnya? Xiaoyi lulus ujian tersebut dengan markah 456, 96 markah lebih tinggi berbanding markah lulus.

robot pertama dalam sejarah lulus ujian perubatan

Apa yang mengkagumkan, ujian tersebut direka untuk menilai kebolehan seorang Doktor melakukan diagnostik terhadap pesakit, bukannya ujian yang lebih kepada soal dan jawab. Jadi, mereka yang mengambil ujian tersebut perlu mempunyai pemahaman yang cukup hasil daripada pengalaman mereka belajar dalam bidang perubatan. Algoritma yang mengawal 'kepandaian' Xiaoyi diubah untuk mengenal pasti ayat, perkataan dan perenggan, supaya Xiaoyi dapat melakukan satu keputusan yang mempunyai hujah dan sebab kenapa diagnostik tersebut dilakukan.

Pada bulan Ogos 2017, Xiaoyi mengambil peperiksaan tersebut bersama doktor-doktor lain dan membuktikan sebuah mesin mampu belajar, berhujah dan melakukan keputusan sendiri.

Walaupun berlesen, masih terlalu awal untuk Xiaoyi memiliki klinik sendiri. Setakat ini XIaoyi hanya layak untuk membantu doktor dalam membuat keputusan lebih cepat pada kadar risiko yang lebih rendah.

gambaran doktor pakar bedah di masa hadapan

Kerajaan China ketika ini sedang cuba menjadi negara pendahulu dalam integrasi di antara AI dengan industri, termasuklah dalam industri kesihatan dan pembuatan elektronik. Melalui kajian National Artificial Intelligence Research and Development Strategic Plan, pihak White House sendiri mengakui China sudahpun mendahului Amerika Syarikat dalam bidang-bidang AI yang digelarkan sebagai 'deep learning'.

Ketika ini kerajaan China mensasarkan tahun 2030 sebagai tahun di mana mereka akan menjadi pendahulu dalam kajian AI di seluruh dunia, kerana mereka mempercayai AI akan menjadi tonggak kepada pembangunan sesebuah negara.

Bagaimanapun, bagi pihak Doktor, anda tidak perlulah risau karier anda diambil alih oleh robot. iFlytek akan terus membangunkan Xiaoyi dengan tujuan bagi membantu tempat-tempat di mana berlakunya kekurangan doktor di China, khasnya di kawasan pedalaman di mana masalah mendapatkan kemudahan untuk melakukan diagnosis menggunakan fasiliti yang baik, kerap berlaku.

Bagaimanapun, ini kisah 2017. 10 tahun lagi, tak tahulah bagaimana pula kisahnya.

Rujukan

South China Morning Post




Hakcipta iluminasi.com (2017)