Di negara kita, budaya 'paparazi' jarang berlaku kerana masyarakat kita secara majoriti masih mempunyai hati budi melindungi dan menjaga privasi sesama individu.
Walaupun demikian, tak dinafikan ada jurukamera yang senyap-senyap gemar menangkap gambar individu terkenal seperti selebriti, artis dan sebagainya untuk ditularkan. Di mahkamah ada juga jurukamera yang tak segan bertindak mahu mendedahkan identiti pesalah yang biasanya dilindungi.
BESARKAN TEKS A- A+
Sekurang-kurangnya kita ditahap itu sajalah.
Di negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Korea Selatan, perlakuan paparazi mahu mendapatkan gambar sensasi biasanya melalui kaedah yang melanggar privasi seseorang.
Dari mana bermulanya budaya ini dan apakah kisah disebaliknya?
Paparazi daripada aspek sejarah dan bahasa
Pertama sekali perlu kami perjelaskan, paparazi dieja dalam bahasa Melayu secara rasmi sebagai paparazi bukan paparazzi. Betulkan ya!
Kita rasanya sudah ada idea am apa kerja paparazi; merujuk kepada jurugambar yang mengikut dengan selebriti, figura awam atau individu penting untuk diambil gambar kebiasaannya secara sembunyi dan kadangkala terbuka; dalam ruangan awam mahupun peribadi tanpa kebenaran dan pengetahuan subjek.
Gambar yang diambil biasanya dijual sebagai sumber pendapatan paparazi kepada akhbar tabloid, majalah, laman web atau syarikat media lain untuk memenuhi rasa ingin tahu orang ramai tentang kehidupan peribadi individu terkenal.
Kenapa namanya paparazi?
Istilah "paparazi" diambil daripada filem terbitan tahun 1960 arahan pengarah Itali bernama Federico Fellini berjudul "La Dolce Vita," di mana seorang watak bernama Paparazzo digambarkan sebagai jurugambar yang suka mengganggu orang lain.
Walaupun terma paparazi dipopularkan nama watak fiksyen, ini tidaklah bermakna perbuatan sebegitu rupa tidak berlaku sebelum filem itu mempopularkan labelnya. Ini kerana perbuatan mengambil gambar individu ternama telah lama berlaku secara agresif dan tidak menghormati orang lain sebelum penerbitan filem itu.
Nama watak itu membantu memudahkan rujukan, yang akhirnya melekat dikenakan kepada jurugambar yang sanggup melanggar etika demi mendapatkan sekeping dua gambar untuk dijual.
Ini bermakna dalam aspek bahasa, paparazi tidaklah mempunyai makna kerana label itu adalah nama - yang akhirnya menjadi gelaran yang digunakan kepada kumpulan tertentu.
Adakah paparazi baik atau buruk kepada masyarakat?
Paparazi sering dicemuh masyarakat akibat pekerjaan mereka.
Realitinya apa yang mereka lakukan memenuhi banyak permintaan masyarakat sendiri seperti kumpulan peminat fanatik artis atau selebriti tertentu, yang mahu mengetahui berita terkini tentang individu kesayangan mereka.
Kerjaya paparazi juga memainkan peranan besar dalam membentuk budaya popular dunia, mampu memberi pengaruh kepada naik turun karier dan tahap populariti seseorang individu. Semakin kerap individu itu menjadi mangsa bidikan lensa paparazi, semakin besarlah namanya dalam industri hiburan.
Hendak tak hendak kita perlu juga akui, paparazi bertanggungjawab mempopularkan media-media bersifat tabloid yang gemar memaparkan berita sensasi.
Ramai individu sekiranya ditanya setuju atau tidak tindakan yang dibuat paparazi, besar kemungkinan kita akan mengatakan kita tidak bersetuju. Namun dalam masa yang sama, kita mudah tertarik untuk mengikuti atau membaca hasil kerja mereka.
Betul kan pandangan ini?
Kenapa paparazi jarang dikenali umum?
Ron Galella sedang mengejar mangsa
Majoriti paparazi yang menganggap diri mereka profesional, enggan mendedahkan identiti kerana mahu melindungi diri agar mudah mereka bekerja.
Persaingan di kalangan paparazi memburu gambar sensasi juga jadi lebih mudah, sekiranya mereka tidak mengenali antara satu sama lain.
Dalam sejarah budaya popular dunia, ada seorang individu layak dinobatkan sebagai 'Bapa Paparazi Dunia' iaitu mendiang Ron Galella. Galella adalah bekas jurufoto tentera udara Amerika Syarikat.
Selepas tamat perkhidmatannya, Galella mula menangkap dan menjual gambar-gambar artis dan selebriti di laluan karpet merah kepada media. Kualiti foto yang baik serta menarik, menyebabkan permintaan media ke atas hasil kerja Galella mendapat sambutan hangat.
Atas populariti yang mula diterima, Galella mengubah modus operandi, menjadikan gambar-gambar berkontekskan ala paparazi sebagai fokus kerjaya.
Bagaimanapun taktik Galella agresif obsesif memburu subjek, sehingga meletakkan diri dalam persengketaan besar yang mengakibatkan kecederaan kepada diri sendiri beberapa kali.
Beliau pernah ditumbuk aktor terkenal Marlon Brando (pemegang watak utama siri filem The Godfather), diserang legenda rock Elvis Presley, diludah aktor Sean Penn dan dimaki ramai artis baik lelaki ataupun wanita.
Salah satu foto Galella, memaparkan mendiang John Lennon dan Mick Jagger sedang berbual
Biarpun sering dikecam, gambar yang diambil Galella unik bukan sekadar gambar kosong, sebaliknya mempunyai kisah menarik dalam setiap bidikan jarinya.
Kerana itulah 'karya-karya' Galella kini diangkat bukan hanya siri fotografi tanpa haluan sebaliknya dianggap karya yang ada seninya, berbeza dengan gambar paparazi sekarang yang lebih sekadar mahu mengekploitasi maruah individu atau selebriti untuk mencetuskan perkara sensasi.