Oleh pada 23 Sep 2023 kategori

'Red, Yellow, Blue, Green!' Itulah yang sering kedengaran diajar kepada anak-anak kita di tadika berkenaan dengan warna. Bahasa Inggeris sering menjadi rujukan pertama guru mengajar anak-anak mengistilahkan warna sehinggakan mereka lebih selesa menjawab dalam bahasa orang asing.

Tabiat itu juga akhirnya membawa kepada perlakuan serupa bila kita dewasa, bilamana kita lebih banyak merujuk warna dengan istilah Inggeris sehinggakan ramai di antara kita tidak tahu nama warna dalam bahasa sendiri. Berikut adalah 10 nama warna yang ada, tetapi mungkin jarang kita sebutkan kerana jelas penggunaannya rendah di kalangan warga Malaysia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Kencana

kencana nama warna emas

Kita sedar istilah kencana sering digunakan, kerana ada perumahan nama Taman Kencana, ada syarikat Kencana Petroleum, ada francais klinik Kencana dan sebagainya. Apa maknanya kencana?

Kencana sebenarnya merupakan istilah yang boleh digunakan sebagai alternatif kepada istilah emas, mewakili warnanya. Jadi apa saja objek yang mempunyai warna keemas-emasan, boleh disebutkan sebagai objek kencana.

2. Galuh

galuh nama warna lama

Jika kencana adalah istilah alternatif kepada emas, galuh pula adalah alternatif kepada warna perak. Galuh juga boleh dirujuk sebagai warna yang terdapat pada batu intan atau permata yang keputih-putihan dan bersinar.

Menurut sejarah masyarakat nusantara, pernah wujud sebuah kerajaan dinamakan sebagai kerajaan Galuh yang terletak di Sungai Citarum (kini di Indonesia) yang menguasai beberapa kawasan di sana sehingga abad ke 8. 

3. Perang

perang warna coklat

Siapa selalu terkelirukan warna perang sebagai warna jingga atau oren? 

Perang dalam aspek warna sebenarnya merujuk kepada warna merah yang mempunyai unsur kuat kehitam-hitaman - menjadikannya lebih dekat dengan warna coklat, agak jauh berbeza tonanya dengan warna jingga dan oren.

4. Lembayung

lembayung violet ungu

Dalam istilah sains tempatan, pasti anda pernah membaca kewujudan istilah sinaran ultra lembayung atau dalam bahasa Inggeris ultra violet rays atau UV rays. 

Diambil daripada nama sejenis pokok herba yang mempunyai warna berwarna ungu, lembayung adalah nama kepada gabungan warna merah dan ungu.

Ekoran ketidak sedaran masyarakat tentang istilah ini, ramai yang tidak mengamalkan istilah lembayung sebaliknya selesa menggantikannya dengan violet yang berasal daripada bahasa Inggeris.

5. Kirmizi

langit kirmizi

Kirmizi? Apa bendanya ni? Sejenis warnalah!

Kita ada warna merah dan alternatifnya seperti merah muda, merah tua, merah jambu dan sebagainya. Kirmizi adalah gelaran sebenar yang digunakan masyarakat kita bagi merujuk kepada warna merah tua.

Banyak digunakan dalam bidang kesusasteraan, kirmizi biasanya diguna untuk merujuk warna langit dalam ayat 'seperti langit kirmizi.'

6. Langking

hitam langking vanta black

Kita tahu warna hitam itu bagaimana rupanya, tetapi bagaimana kita nak menamakan warna hitam yang sebenar-benarnya hitam - sehinggakan kelihatan seperti warna itu telah menyedut semua cahaya? 

Dari situlah kewujudan istilah langking atau hitam langking ini dibuat. Kalau warna hitam itu dikatakan langking, ini bererti hitam itu tersangatlah pekat tonanya sehingga tak nampak apa lagi dah.

7. Layung

nama warna yang kita tak amalkan kirmizi

Cuba anda sebutkan warna langit yang terbentuk ketika waktu petang. Apa warnanya? Pasti ada banyak jawapannya; kuning, jingga, merah jingga, merah kekuning-kuningan dan sebagainya. Semua jawapan ini kita terima. 

Nak jawapan tepat? Warna langit ketika itu berwarna layung. Layung memang mewakili warna kuning langit pada waktu petang secara terang dan jelas.

8. Wilis

warna wilis biru kehijauan

Walaupun nama warna ini seakan-akan menyerupai nama seorang pelakon kegemaran penulis di Hollywood yang kini sedang gering akibat penyakit, kedua-duanya tidaklah berkait. 

Wilis adalah istilah yang merujuk khusus untuk warna biru kehijau-hijauan biasanya diaplikasikan kepada warna permata. 

9. Biram

gajah biram

Siapa bekas pelajar SK Seri Biram yang terletak di Pekan, Pahang? Kenapa sekolah itu dinamakan sedemikian rupa? Tak tahulah penulis! Haha. Tetapi biram dalam bahasa Melayu mempunyai beberapa makna berbeza. Yang pertama merujuk kepada haiwan gajah dan yang kedua merujuk kepada makhluk mitos ular berkepala dua. Yang ketiga pula merujuk kepada warna merah. 

10. Jernang

buah rotan jernang merah

Di antara semua istilah warna dalam senarai ini, istilah jernang mungkin pernah anda dengari kerana Teras Jernang merupakan sebuah lokasi yang popular di kalangan penduduk negeri Selangor.

Jernang sebenarnya merujuk sejenis tumbuhan rotan, di mana getah buahnya sering digunakan sebagai cat atau pewarna barangan masyarakat terdahulu. 

Warna getah itu diistilahkan sebagai warna jernang, mempunyai sifat kemerah-merahan, -membolehkan istilah jernang dianggap alternatif kepada istilah merah.




Hakcipta iluminasi.com (2017)