Anda peminat subjek geografi?

Jika ya, pasti anda mengetahui tentang kewujudan negara Iceland, sebuah negara kepulauan Nordik dan Greenland, sebuah wilayah autonomi yang diletakkan di bawah pemerintahan kerajaan Denmark.

Pernahkah anda terfikir, kenapa Iceland - sebuah negara yang dipenuhi tanaman hijau dinamakan sedemikian rupa; merujuk kepada maknanya 'Tanah Ais'? Sementara Greenland pula, yang bermakna 'Tanah Hijau' dipenuhi oleh ais.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimana situasi itu boleh berlaku? Kedua-duanya tidak berkait, tetapi dalam masa yang sama konteks sebabnya hampir-hampir serupa.

Mengapa 'Iceland' dinamakan 'Tanah Ais'?

iceland tanah ais

Kisah bagaimana Iceland mendapat namanya mempunyai kisah yang sukar untuk disahkan kebenarannya. Ini kerana unsur-unsur mitos dan hikayat turut sama menjadi latar belakang sejarah kisah ini.

Seorang Viking bernama Hrafna-Floki Vilgeroarson atau lebih dikenali sebagai Floki cuba menjejaki sebuah kawasan yang dikatakan sesuai untuk diduduki, telah ditemui oleh seorang penjelajah Viking lain bernama Garoar Svavarsson.

Tidak mengetahui di mana kedudukannya, Floki membawa ahli keluarganya serta beberapa orang rakan belayar bagi mencari kawasan tersebut.

Malang bagi Floki dalam perjalanan melalui kawasan kepulauan Shetland, salah seorang anak perempuannya lemas dalam kemalangan. Nasib buruk Floki berterusan setelah seorang lagi anak perempuannya memilih untuk berkahwin dengan seorang lelaki, semasa mereka berhenti dalam persinggahan.

Tidak menyerah kalah, Floki meneruskan perjalanan beliau meninggalkan anaknya bersama suami baru, sebelum mereka hilang arah. Floki membiarkan nasib menentukan arahnya, melepaskan 3 ekor burung gagak peliharaannya bagi menjadi pemandu jalan.

Seekor terbang kembali ke arah kawasan kepulauan di mana anaknya tinggal, satu lagi terbang masuk ke dalam kapal sementara seekor lagi terbang ke arah timur laut, tidak lagi kelihatan.

Floki meneruskan perjalanan mengekori arah burung tersebut dan tiba ke sebuah kawasan yang cantik, hijau dan cuacanya juga nyaman, tidak sejuk dan tidak terlalu panas.

Tidak lama selepas itu nasib keluarganya berubah....buruk.

Bencana mula melanda keluarga Floki

the first nordic norwegian settler in iceland

Memulakan penempatan di situ bersama ahli keluarganya serta rakan yang ada, kehidupan mereka pada awalnya tenang, namun musim sejuk mula tiba menyebabkan tanaman dan haiwan peliharaan mereka musnah dan mati.

Mula merasakan keputusannya salah, Floki memanjat bukit paling tinggi bagi meninjau kawasan sekitarnya membolehkan dia dapat melihat kawasan fiod yang dipenuhi ais beku, menandakan kawasan tersebut sebenarnya sukar untuk didiami - tidak seperti yang diperkatakan.

Floki mengambil keputusan untuk pulang ke kawasan asalnya, lalu mula menasihatkan orang ramai yang ingin mencuba nasib berhijrah agar tidak menjadikan 'Tanah Ais' atau 'Iceland' yang ditemuinya sebagai pilihan, kerana kawasan itu dipenuhi ais.

Walau bagaimanapun, kawasan yang cuba didiami Floki sebenarnya bukan kawasan yang ditemui Garoar. Ini kerana Garoar berjaya menemui sebuah kawasan yang betul-betul sesuai sebagai sebuah penempatan, agak jauh daripada kawasan ekspedisi Floki mendarat.

Namun nama 'Iceland' mula lekat untuk merujuk kepada kawasan tersebut, sehinggakan ke hari ini kita merujuk kepada negara tersebut sebagai Iceland walaupun kawasan itu sebenarnya subur dan menghijau.

Bagaimana Greenland mendapat namanya?

tugu erik the red di greenland

Jika Iceland mendapat namanya kerana Floki Vilgeroarson cuba menasihatkan orang ramai jangan ke sana, 'Greenland' pula mendapat namanya kerana cubaan pengasasnya untuk mengaburi mata orang ramai.

Erik Thorvaldsson atau lebih terkenal dengan gelarannya, 'Erik the Red' merupakan orang buangan di kalangan masyarakat Iceland akibat jenayah yang dilakukan, selepas dia terlibat dalam kes pembunuhan melibatkan beberapa orang mangsa.

Sebagai hukuman, Erik diperintah untuk keluar daripada Iceland selama 3 tahun.

Ini memaksa Erik dan pengikutnya melarikan diri ke kawasan yang kini kita kenali sebagai Greenland, memulakan tamadun baru Viking Greenland pada tahun 980.

Bagi meluaskan pengaruh dan mengumpulkan pengikut, Erik memilih untuk menamakan tanah yang diterokainya sebagai 'Greenland', walaupun kawasan yang terpilih dipenuhi ais dan salji.

Erik percaya nama yang menjentik kalbu, akan menarik minat orang ramai untuk berpindah ke situ - berlawanan dengan gelaran Iceland.

Taktik itu walaupun ringkas, sangat berjaya.

Membina empayar kecil Viking Greenland

iceland erik the red viking greenland

Selepas tempoh hukumannya tamat, Erik kembali ke Iceland menceritakan berkenaan 'Tanah Hijau' kawasan penempatan barunya yang dipercayai lebih sesuai.

Hasil pujukan Erik, 25 buah kapal sarat dengan penduduk asal Iceland mencuba nasib belayar ke 'Greenland' bagi mengubah nasib hidup mereka.

Di sinilah bermulanya sejarah 500 orang kumpulan penduduk asal Greenland yang memulakan Tamadun Viking Greenland, sebelum bencana dan kesukaran hidup melenyapkan tamadun itu secara beransur-ansur.

Begitulah bagaimana seorang penjenayah mampu menipu sekelompok orang ramai, untuk berpindah meninggalkan tanah subur bernama Iceland bagi memulakan hidup di kawasan sukar bernama Greenland.

Jangan sama sekali ungkapkan 'mak kau hijau' pada orang Greenland.




Hakcipta iluminasi.com (2017)