Berpuasa merupakan satu ibadah orang Islam yang memerlukan Muslim menahan diri daripada makan dan minum. Kaedah untuk melakukan ibadah puasa sebenarnya sama saja di mana-mana saja di seluruh dunia.

Bagaimanapun, tempoh puasa pula akan mengikut kedudukan geografi individu itu. Akan wujud banyak perbezaan pada tempoh ibadah ini perlu dilaksanakan berdasarkan di mana dia berada, kerana ibadah puasa bermula pada detik bermulanya sinar fajar sehinggalah terbenamnya matahari.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di negara kita pun wujud perbezaan di antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur. Kebiasaannya Muslim di Malaysia Timur akan perlu bersahur dan berbuka lebih kurang satu jam lebih awal berbanding orang Malaysia Barat. Bagaimanapun tempoh berpuasa kita tetap serupa, lebih kurang 13 jam. Di manakah lokasinya tempoh berpuasa paling panjang di dunia?

5. Fairbank dan Anchorage, Alaska

orang muslim anchorage

Terletak di bahagian paling utara negara Amerika Syarikat, Alaska mempunyai komuniti orang Islam yang kecil dengan jumlah dianggarkan 3,000 lebih individu. Negeri ini juga mempunyai sebuah pusat komuniti yang dinamakan Islamic Community Centre of Anchorage Alaska (ICCAA) yang menjadi kawasan komuniti Muslim untuk bertemu dan berkenalan.

Berikutan kedudukannya, penduduk Alaska yang beragama Islam perlu dikehendaki berpuasa selama 18 jam dan 34 minit secara puratanya pada bulan Ramadan. Ada yang memilih untuk berpuasa mengikut tempoh fajar hingga terbenamnya matahari. Bagi mereka yang tidak mampu, mereka akan mengikut panduan tempoh berpuasa sama seperti yang diamalkan penduduk Arab Saudi, memendekkan masa puasa 4 ke 5 jam.

4. Oslo, Norway

muslims oslo norway

Sekiranya waktu tempatan Oslo dijadikan panduan, hari ini mereka akan menamatkan sahur pada jam 2.45 pagi seterusnya membuka puasa pada jam 9.27 malam. Ini bermakna umat Islam di Oslo, Norway perlu berpuasa selama hampir 19 jam atau lebih tepat lagi 18 jam 42 minit.

Oslo mempunyai 3 daerah yang mempunyai komuniti Muslim iaitu Toyen, Gronland dan juga Groruddalen. Komuniti Muslim di Oslo terbentuk akibat kedatangan kumpulan migran Muslim yang ditempatkan di tiga daerah tersebut sejak era 2000.

3. Rejkyavik, Iceland

komuniti muslim puasa lama

Seperti kebanyakan negara-negara Scandinavia, Iceland juga tidak terkecuali daripada mempunyai waktu siang yang sangat panjang - pernah mencapai 21 ke 22 jam keseluruhannya. Seramai 2,500 orang Muslim di bandar Rejkyavik, Iceland merasakan perkara itu sesuatu lumrah yang perlu mereka hadapi setiap tahun.

Bagaimanapun ramai penduduk Muslim di situ mengatakan berikutan cuacanya yang sejuk, banyak membantu mereka berpuasa dengan lebih tenang dan selesa walaupun tidak makan dan minum. Untuk tahun ini, penduduk Muslim di bandar Rejkyavik akan berpuasa selama 19 jam dan 26 minit.

2. Lulea, Sweden

puasa lebih 20 jam

Terletak betul-betul selari dengan garisan kutub utara bumi, Lulea merupakan sebuah pekan kecil yang mempunyai jumlah populasi 75,000 orang penduduk. Penduduk komuniti Muslim di bandar ini agak kecil namun mempunyai persatuan mereka sendiri yang dinamakan Lulea Islamic Organization, yang diberikan harapan menjaga kebajikan orang Islam di situ.

Mereka telah pun merancang untuk membina sebuah masjid di daerah tersebut namun sehingga kini, hasrat itu belum kesampaian lagi berikutan kekangan kewangan. Sekiranya berhasil, masjid yang bakal dibina itu bakal menjadi masjid paling utara kedudukannya di bumi. Komuniti kecil Muslim di Lulea ini menghadapi waktu siang yang sangat panjang, pernah mencapai 21 jam sehari. Nasib baiklah kini mereka hanya perlu berpuasa selama 19 jam dan 43 minit sahaja.

1. Murmansk, Rusia

bandar russia ruasa 20 jam panjang

Sebuah bandar pelabuhan, Murmansk terletak tidak jauh daripada sempadan dengan negara Norway dan Finland, menjadikannya berkongsi waktu siang panjang dengan negara-negara tersebut. Berikutan keadaan cuacanya yang agak ekstrim dengan kesejukan di bawah tahap beku selama beberapa bulan, jumlah populasi Murmansk mengalami penurunan ketara setiap tahun.

Dianggarkan komuniti Muslim di Murmansk hanyalah 2.06 peratus sahaja daripada jumlah populasi bandar tersebut, menjadikan jumlahnya dalam anggaran sekitar 5,000 ke 6,000 semuanya. Fajar di Murmansk kebiasaanya naik sekitar awal pagi pada jam 1 atau 2 pagi dan waktu Maghrib pula selepas jam 9 malam. Secara purata, penduduk Muslim di bandar Murmansk akan berpuasa selama 20 jam 45 minit sehari.

Panjang kan?




Hakcipta iluminasi.com (2017)